Pokok mata kucing boleh hidup berpuluh-puluh tahun dan mencecah ketinggian sehingga 25 meter.
SUATU ketika dahulu atau lebih tepat sekitar tahun 70-an dan 80-an, daerah kecil Labis, Johor cukup sinonim dengan buah mata kucing yang mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah berjaya menembusi pasaran luar negara khususnya negara jiran, Singapura.
Seingat penulis yang masih di bangku sekolah rendah ketika itu, kawasan dusun yang sebelumnya terbiar dan ditumbuhi belukar bertukar menjadi "tapak pesta" dek kerana penangan buah mata kucing atau lebih dikenali sebagai buah bidara dalam kalangan penduduk kampung, di mana buah ini bagaikan "emas" yang mengatasi populariti buah-buahan tempatan lain seperti durian langsat, duku dan manggis ketika itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buah-buahan
Buah mata kucing yang baru dipetik dan belum dileraikan dari tangkainya.
Namun entah di mana silapnya, walaupun mendapat permintaan tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan kepada penduduk kampung, nasib mata kucing semakin suram dan mungkin sukar untuk kembali gah seperti dahulu jika tiada sebarang usaha membangunkan tanaman ini secara lebih teratur serta sistematik.
Penulis yang masih di bangku sekolah rendah ketika itu sempat merasai merasai kemeriahan zaman kegemilangan mata kucing di Kampung Pekan Ayer Panas sekitar lewat tahun 70-an dan kenangan tersebut masih terpahat dalam ingatan sehingga hari ini.
Muhammad Afiq Mohd.Ali mengeluarkan buah mata yang baru dipetik dari karung untuk dilerai dari tangkainya.
Kemeriahan mula terasa sebaik ratusan malahan mungkin ribuan pokok mata kucing yang tumbuh secara meliar di kawasan dusun penduduk kampung mula mengeluarkan bunga.
Ketika itu pemilik dusun akan sibuk membersihkan dusun mereka yang sebelumnya terbiar dan ditumbuhi belukar, sementara bagi pemilik dusun yang tidak mempunyai pondok di dusun masing-masing mula berkira-kira untuk mendirikan pondok menggunakan kayu hutan serta buluh untuk dijadikan tempat berteduh ketika menjaga buah-buahan daripada ancaman musuh tanaman sepanjang musim buah-buahan.
Ketika bunga bertukar menjadi putik dan buah mula besar, tuan kebun semakin sibuk terutama pada waktu malam kerana peringkat ini, biji mata kucing sudah mula bertukar menjadi hitam atau pada peringkat mata belalang bagi penduduk setempat di mana isinya mula berasa manis merupakan petanda akan bermula serangan musuh tanaman seperti keluang, kelawar dan beberapa spesis burung lain.
Lazimnya waktu itu pemilik dusun akan "berpindah" ke dusun masing-masing untuk menghalau keluang dan kelawar yang datang untuk memakan buah mata kucing pada waktu malam membuatkan dusun yang sebelumnya sunyi sepi dan dipenuhi semak samun menjadi riuh rendah dengan sorakan pemilik dusun yang bersahutan memecah keheningan malam bagi menghalau musuh tanaman dan adakalanya kemeriahan itu berlarutan sehingga menjelang subuh.
Kelawar selalunya datang memakan buah yang hampir masak dalam kumpulan yang besar sehingga mencecah ratusan ekor dan mampu 'melicinkan' ratusan kilogram buah mata kucing dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Muhammad Afiq dan Muhammad Faiszat sedang meleraikan buah mata kucing dari tangkainya.
Beberapa kaedah secara tradisional digunakan oleh penduduk bagi mengatasi masalah gangguan musuh tanaman itu seperti membuat bunyi bising, menyalakan pelita yang digantung pada dahan pokok serta menyalakan unggun api bagi menghasilkan asap setiap malam.
Keluang dan kelawar selain tidak suka pada cahaya terang, kedua-dua haiwan ini juga tidak suka asap yang dihasilkan unggun api.
Apa yang lebih menarik adalah kaedah menyalakan pelita pada waktu malam yang mana pelita akan dinyalakan dan dinaikkan ke bahagian pucuk pokok menggunakan tali seperti cara menaikkan bendera.
Kadang-kadang jika pokok tersebut rendang dan tinggi, lebih banyak pelita perlu dipasang dan ada kalanya sehingga lima atau enam biji pelita perlu dinyalakan bagi setiap pokok.
Jika dilihat dari kejauhan, api pelita yang meliuk ditiup angin akan kelihatan seperti kelip-kelip yang memenuhi pokok-pokok mata kucing dan menghasilkan pemandangan yang begitu indah serta luar biasa khususnya bagi orang luar yang pertama kali berkunjung ke Labis.
Sekiranya hari hujan, pelita dan unggun api tidak dapat dinyalakan, 'perenduh' boleh menjadi penyelamat. 'Perenduh' adalah beberapa tin kosong akan diikat menggunakan dawai dan digantungkan di dahan pokok sebelum disambungkan menggunakan tali ke pondok tempat pemilik dusun berteduh.
Pemilik kebun perlu menarik dan melepaskan tali tersebut bagi mengoncang tin yang tergantung di dahan pokok untuk menghasilkan bunyi bising bertujuan menghalau musuh tanaman yang datang.
Buah mata kucing yang lebat boleh mencecah hampir satu kilogram setangkai.
Namun itu semua cerita lama yang sudah menjadi lipatan sejarah, harapan untuk melihat kembali kemeriahan serta ‘fenomena’ yang dicetuskan mata kucing suatu ketika dulu di bumi Labis mungkin akan hanya tinggal harapan.
Hakikat tersebut turut diakui seorang pemilik dusun buah-buahan di Kampung Juaseh, Labis yang pernah merajuk dan bertindak menebang lebih 50 pokok mata kucing miliknya yang sedang lebat berbuah pada penghujung tahun 80-an gara-gara tidak berpuas hati dengan permainan orang tengah.
Aziz Mohd. Yassin, 73, berkata, ketika itu dia dan ramai lagi pemilik dusun begitu kecewa dengan orang tengah yang disifatkannya sebagai lintah darat yang memainkan harga selain musuh tanaman yang tidak terkawal ekoran aktiviti penerokaan kawasan hutan berhampiran kampung yang tidak terkawal menyebabkan habitat asal haiwan musuh tanaman terganggu.
"Kami pemilik dusun bersusah payah berjaga tidak tidur malam menghalau musuh tanaman seperti keluang, kelawar dan burung berbulan-bulan lamanya sebelum buah masak, tetapi peraih mengaut keuntungan yang tidak sepatutnya dengan menawarkan harga yang tidak masuk akal sedangkan harga pasaran ketika itu agak tinggi.
"Jika harga yang ditawarkan sekadar bawah satu ringgit sekilogram apa yang kami dapat selepas ditolak upah orang memetik. Berapa sen pula yang patut kami bagi kepada mereka yang mengadai nyawa memanjat pokok untuk memetik buah yang sudah masak," katanya hanya mempunyai dua pokok mata kucing untuk dimakan oleh keluarga.
Katanya, walaupun keadaan sudah berubah dan harga jualan mata kucing di dusun ketika ini mencecah lebih RM6 sekilogram berikutan kurang bekalan, namun dia masih belum berhasrat untuk menanam semula pokok mata kucing kerana dia masih belum menemui kaedah terbaik menangani musuh tanaman selain faktor pokok mata kucing yang memerlukan masa terlalu lama untuk mengeluarkan hasil sehingga mencecah sekurang-kurangnya 10 tahun.
Biji buah mata kucing yang sudah masak berwarna hitam sementara isinya akan berair.
Menurutnya, ketika ini jumlah pokok mata kucing di beberapa kampung di sekitar Labis boleh dikira dengan jari kerana kebanyakkan pemilik dusun sudah mengantikannya sama ada dengan tanaman durian atau tanaman komoditi lain seperti getah mahu pun kelapa sawit kerana kecewa serta beranggapan tanaman buah mata kucing seperti dianaktirikan pihak berwajib.
Dalam masa sama dia turut bersetuju sekiranya terdapat usaha pihak tertentu untuk membangunkan semula tanaman mata kucing di sini secara lebih tersusun kerana berpendapat mata kucing tempatan lebih digemari dan berpotensi untuk dimajukan.
Dia yakin permintaan mata kucing tempatan masih tinggi dan mampu bersaing dengan mata kucing Thailand memandangkan mata kucing tempatan mempunyai keistimewaan tersendiri buahnya walaupun bersaiz agak kecil, namun lebih manis, berair serta mempunyai aroma tersendiri berbanding mata kucing negara jiran.
"Namun sebelum usaha tersebut dijalankan, beberapa perkara utama seperti bagaimana cara untuk mengawal gangguan musuh tanaman serta kaedah memetik buah yang lebih mudah serta selamat perlu diberi perhatian terlebih dahulu.
"Ini kerana antara faktor penduduk tidak lagi berminat untuk menanam pokok mata kucing adalah disebabkan gangguan musuh tanaman serta masalah semakin sukar untuk mencari individu yang berkemahiran untuk memetik buah selain masalah orang tengah," katanya. - KitaReporters
Aziz Mohd.Yassin
Jauh di sudut hati, penulis juga berharap pihak berwajib tampil untuk membanggunkan semula tanaman mata kucing di kampung-kampung sekitar Labis dengan kaedah yang lebih moden melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) bukan hanya disebabkan nilai komersial yang ada pada tanaman ini, tetapi nilai warisannya yang tidak harus dibiarkan pupus begitu sahaja.
Harapan ini ada asasnya kerana tanpa diketahui sebabnya bolehlah dikatakan hanya di bumi Labis sahaja mata kucing boleh tumbuh subur dan berbuah lebat.
Perkara tersebut terbukti apabila percubaan beberapa rakan dari negeri dan daerah lain untuk menanam pokok mata kucing di tempat mereka sebelum ini menemui kegagalan walaupun pokok mata kucing mampu tumbuh dan membesar, namun buahnya bersaiz kecil, kurang manis dan tidak berair seperti mata kucing di Labis.
Apa yang penulis harapkan mata kucing atau lebih dikenali sebagai buah bidara dalam kalangan penduduk setempat dapat diselamatkan dari kepupusan kerana kita tidak mahu buah bidara satu hari nanti akan hanya dikenali oleh generasi akan datang melalui ungkapan bait pantun sahaja tanpa berpeluang melihatnya secara dekat malah jauh sekali menikmati keenakkannya.
Biarlah buah bidara terus wujud dan tidak lenyap serta terus mekar seperti namanya yang diabadikan dalam warisan pantun Melayu kita ini:
"Nasi lemak buah bidara,
"Sayang selasih hamba lurutkan,
"Buang emak buang saudara,
"Kerana kasih hampa turutkan." - KitaReporters
Galah khas yang diperbuat daripada buluh kering merupakan alat penting untuk memetik buah mata kucing.