SEMUA orang suka tinggal dalam persekitaran bersih kerana kebersihan juga menjamin kesihatan yang baik. Namun ramai daripada kita suka buang sampah dan tidak menjaga kebersihan persekitaran tanpa rasa bersalah.
Bagaimanapun sebuah video yang memaparkan seorang pelancong mengutip sampah di bandar raya Kuala Lumpur pada bulan lalu menjadi tular dalam TikTok.
Sikap pelancong itu sepatutnya membuatkan kita berasa malu kerana warga asing itu punya sifat yang sangat murni kerana suka melihat persekitaran bersih dan sanggup mengutip sampah walau di mana beliau berada.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan budaya jijik membuang sampah
Bruce Benson pelancong dari Kanada dan seorang nelayan berkata tindakannya mengutip sampah menunjukkan rasa hormat dan rasa sayangnya pada negara yang dilawatinya.
Oleh itu dia mengutip sampah sebagai satu cara menyalurkan rasa kemanusiaan kepada negara Malaysia, pada pandangannya, merupakan negara yang cantik dan aman damai.
Sebagai rakyat Malaysia pasti kita rasa terharu kerana ada golongan pelancong yang seperti ini. Juga rasa malu kerana rakyat kita masih ramai yang suka membuang sampah merata-rata.
Beberapa orang yang ditanya mengenai isu ini berkata sepatutnya masyarakat Malaysia sudah boleh menjadi seperti negara Jepun yang sentiasa menjaga kebersihan kerana negara sudah merdeka 65 tahun yang lalu dan kita bukan lagi tergolong dalam negara dunia ketiga.
Kebersihan perlu diajar di rumah diamalkan di sekolah dan dipraktikan dalam diri masyarakat kita walau di mana pun mereka berada.
Bagi Hailen Pajar Osman, Mantan Penolong Pengarah Bahagian Latihan LHDN, "kebersihan adalah sebahagian daripada iman kita sebagai orang Islam, kebersihan mendidik jiwa menjadi manusia yang berakhlak mulia. Jika kita tak mampu mengekalkan kebersihan sesuatu kawasan atau tempat jangan pula kita jadi punca penyebab sampah yang bersepah merata tempat.
"Kita patut mencontohi sikap masyarakat Jepun yang sentiasa mengamalkan sikap bersih dan sikap bertolak ansur dan bekerjasama. Persekitaran yang bersih bukan sahaja memberi kedamaian tetapi juga menjaga kesihatan diri setiap penduduk."
Hailen memuji sikap pelancong yang sanggup mengutip sampah kerana menunjukkan rasa hormat pada negara yang dilawatinya, semoga masyarakat kita dapat mencontohi sikap rajin dan pembersih dari pelancong berkenaan.
Sementara itu seorang guru Norita Akma Mustafa dari Shah Alam berkata, kebersihan mestilah dipupuk dari rumah dan diamalkan di sekolah serta dipraktik secara meluas di merata tempat.
"Peranan ibu bapa di rumah dan guru-guru di sekolah sangat penting untuk mendidik anak anak khususnya generasi sekarang mengenai kebersihan.
"Sikap tidak bertanggungjawab dengan membuag sampah merata-rata menunjukkan peribadi seseorang yang kurang sikap sivik dan tidak ada akhlak yang mulia," jelasnya.
Menyentuh mengenai sikap mulia pelancong yang mengutip sampah di Kuala Lumpur, Norita memberitahu video itu memberi sedikit pengajaran dan rasa malu pada masyarakat kita yang kurang prihatin terhadap kebersihan di negara sendiri. - KitaReporters