Alam & Sains 20 Feb, 2021

Video| Aneh tapi benar! Lungfish, ikan purba yang diceritakan dalam al-Quran, surah al-Kahf!

@desi ernita dahnin
Bertugas sebagai wartawan lebih 20 tahun di beberapa buah syarikat penerbitan. Terakhir di syarikat Utusan dan kini menjadi penulis bebas.

Share this

 

Lungfish, ikan zaman purba.


Lungfish (ikan paru-paru), sejenis ikan zaman purba. Spesis ikan ini yang dikatakan sudah hidup sejak jutaan tahun lampau boleh ditemukan di Afrika, Australia dan Amerika Selatan.

Menerusi penelitian terhadap fosil Lungfish, spesies ikan ini telah dikesan wujud sejak zaman Devon, sekitar 410 hingga 360 juta tahun dahulu

Devon merupakan zaman perkembangan populasi pelbagai jenis ikan. Maksudnya, ikan ini telah hidup di muka bumi selama lebih dari ratusan juta tahun dahulu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan al-Quran:

https://kitareporters.com/search?search=al-Quran



Dipercayai pada zaman lampau, jumlah ikan ini jauh lebih banyak berbanding hari ini. 

Namun, selepas pecahnya benua Pangea, Gondwana dan Laurasia, sebahagian besar spesies Lungfish musnah. Yang tinggal hanyalah apa yang ada pada hari ini.

Sebagai haiwan tertua di bumi, Lungfish masih mengekalkan struktur dan bentuk fizikal primitif, yakni memiliki mulut muncung dan berbadan seperti ular. Paling unik, spesies ini mempunyai kaki dan tangan yang seakan menempel pada ekor dan berdekatan kepala

Panjangnya boleh mencapai sehingga dua meter dengan berat melebihi 40 kilogram.

Satu keistimewaan Lungfish, ikan purba ini mampu hidup tanpa air. Sesuatu yang di luar norma hidup ikan yang kebiasaannya akan mati jika tiada air.

Lungfish tergolong sebagai ikan air tawar dan hidup di kawasan berlumpur dan mampu hidup di daratan walaupun tanpa kehadiran air.

Ikan ini biasanya akan berkelakuan pelik apabila tiba musim kemarau. Sebelum air tasik atau sungai mengering, ikan tersebut akan masuk ke dalam tanah dan mengerong, perlakuan aneh yang jarang sekali dilakukan oleh seekor ikan.


Ikan ini akan mengerong apabila tiba musim kemarau.


Apabila tanah dan lumpur mulai kering, ikan ini akan menutup badannya dengan ‘sekresi’, iaitu sejenis zat berupa lendir yang dikeluarkan oleh kelenjar tubuh. Dengan menggunakan zat tersebut, ia kemudian membina kulit menyerupai kepompong untuk mengekalkan kelembapan badannya daripada kekeringan sepanjang musim kemarau.

Selama waktu itu, Lungfish melakukan trik, di mana ia akan memperlahankan kadar metabolismanya. 

Dengan cara ini, ia dapat menyimpan dan menjimatkan banyak tenaga untuk keperluannya selama mengerong di bawah tanah. Teknik yang digunakan itu menyamai konsep seperti ‘makan hari ini, kenyang selama berbulan-bulan’.

Lungfish berbeza dengan ikan-ikan lain terutama dari segi sistem pernafasan

Jika ikan lain bernafas menggunakan insang, tetapi Lungfish pula agak unik kerana ia bernafas dengan paru-paru dan boleh mengembang serta berkontraksi. Mungkin ini yang membuatkan ikan tersebut dapat bertahan hidup di darat tanpa air selama empat tahun, bahkan ada yang lebih lama daripada itu.

Ikan purba ini akan kekal begitu sehinggalah air kembali memenuhi tasik. Pada saat itu, ia mulai keluar meninggalkan ruang istirahatnya dan menjalani kehidupan seperti biasa. 

Demikian betapa hebatnya keupayaan spesies ikan purba ini.


Ikan ini mampu hidup di daratan kering sehingga empat tahun.


Ternyata, ikan dengan perlakuan keistimewaan aneh ini ada diceritakan dalam kisah perjalanan Nabi Musa a.s bersama temannya.

Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran, surah al-Kahf: 

"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun." (Surah al-Kahf, ayat 60)

Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelongsor menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah. (Surah al-Kahf, ayat 61)

Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita, sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”. (Surah al-Kahf, ayat 62)

Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan dan ikan itu telah menggelongsor menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan.” (Surah al-Kahf, ayat 63)


Dalam buku berjudul Shahih Tafsir Ibnu Katsir, menjelaskan, teman Nabi Musa a.s. bernama ‘Yusya’. Mereka dalam perjalanan menemui Nabi Khidir a.s. 

Ketika berkelana, mereka telah membawa bersama ikan tangkapan. Ketika kedua-duanya sampai di sebuah tempat pertemuan antara dua buah laut,  terdapat mata air yang disebut sebagai 'mata air kehidupan'. Mereka kemudian tidur di situ. 

Tanpa disangka, ikan yang mereka bawa mulai bergerak-gerak, hidup semula. Lalu ikan itu melompat dan kembali ke laut dengan cara yang aneh sekali.

Dikatakan ikan yang diceritakan dalam kisah itu adalah spesis ikan Lungfish (ikanb paru-paru) yang bertahan hidup tanpa air.

Demikianlah antara bukti kekuasaan dan kebesaran Allah. - KitaReporters



1
2
1
0
1
You will be interested