Alam & Sains 13 Jul, 2022

Tolong kami! Bantu kami mangsa ribut malam raya korban! 140 keluarga terjejas dengan rumah rosak!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Sebuah rumah di Kuala Besut yang dihempap pokok dalam kejadian ribut pada 9 Julai 2022 iaitu pada malam Hari Raya Aidiladha.


KEJADIAN ribut yang melanda di beberapa kampung sekitar daerah Besut, Terengganu pada malam menyambut Aidiladha masih menghantui mangsa yang terbabit dalam bencana apabila mereka terpaksa melupakan sambutan Hari Raya Aidiladha pada esok harinya, 10 Julai 2022. 

Selain terkejut dengan kejadian tersebut, mangsa terbabit sehingga kini terpaksa menumpang di rumah sanak saudara dan tempat perpindahan sementara kerana kebanyakan rumah mereka mengalami kerosakan teruk akibat dipukul oleh ribut.

Kejadian itu menyebabkan 140 keluarga menyambut Aidiladha dalam keadaan hambar apabila rumah mereka rosak akibat dibadai ribut ketika umat Islam bersiap untuk menyambut perayaan tersebut.


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan bencana angin ribut

Gerai perniagaan mengalami kerosakkan teruk selepas  dilanda ribut 


Dalam kejadian pada 9 Julai 2022 itu kira-kira 130 rumah rosak membabitkan 10 kampung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)  Kuala Besut, manakala selebihnya di Kampung Batu 13 dan Kampung Bekok di DUN Hulu Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, dalam kejadian pada kira-kira 8 malam itu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan oleh angin kuat dan ada yang dihempap pokok tumbang.


Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman


Antara kawasan yang terjejas teruk di DUN Kuala Besut ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pantai, Kampung Tengah, Kampung Nail dan Kampung Payang.

"Kejadian ribut kuat berlaku serentak dengan hujan lebat, namun nasib baiklah tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku," katanya.


Atap sebuah rumah runtuh selepas dipukul oleh ribut kencang di Kuala Besut


Berikutan kejadian itu, Tengku Zaihan berharap Kerajaan Negeri Terengganu diminta segera menyelesaikan proses baik pulih rumah penduduk terbabit yang terjejas dengan bencana tersebut.

Katanya, susulan kejadian itu mangsa yang terbabit terpaksa berpindah sementara waktu di balai raya atau menumpang di rumah ahli keluarga masing-masing.


Tengku Zaihan (kanan) menunjuk atap sebuah rumah yang tercabut dipukul ribut


Tengku Zaihan (kanan) melihat struktur sebuah rumah yang rosak akibat dipukul ribut


Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Pengkalan Atap, Napisah Hussin, 67, berkata dia berdepan detik cemas apabila sebahagian bumbung rumahnya diterbangkan oleh angin dalam sekelip mata. 

"Ketika kejadian berlaku, saya hanya berdua bersama seorang anak lelaki saya berusia 34 tahun yang terlantar akibat penyakit strok.

"Pada mulanya hujan lebat kemudian diikuti ribut dan secara tiba-tiba bumbung rumah terbang. Saya amat takut terutama memikirkan keadaan anak lelaki saya yang tidak dapat bergerak," katanya. 

Beliau berkata bagaimanapun tidak lama kemudian beberapa jiran datang membantu mengangkat anaknya ke rumah berhampiran yang lebih selamat. - KitaReporters


Keadaan sebuah rumah papan yang rosak dipukul ribut

10
15
1
14
0
You will be interested