Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (duduk dua dari kiri), Dr Alias Razak dan Dr Nor Azimi Yunus menunjukkan poster lindungi diri vaksin selepas selesai menerima suntikan.
“Alhamdulillah. Kita ikhtiar dengan suntik vaksin, selebihnya kita tawakal kepada Allah SWT. Namun begitu, SOP tetap perlu dipatuhi agar negara segera pulih dari wabak COVID-19.
"Terima kasih semua yang terlibat pada petang ini terutama barisan petugas kesihatan Negeri Terengganu,” begitulah catatan ringkas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi entri Facebook miliknya selepas pemimpin nombor satu negeri itu menerima suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech.
Dr Ahmad Samsuri menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin tersebut yang dilakukan oleh Ketua Jururawat Kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Sujanah Muhimin pada jam 4.05 petang Jumaat 26 Februari 2021.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan vaksin:
https://kitareporters.com/search?search=vaksin
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menerima suntikan vaksin COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah,Kuala Terengganu. - Kredit gambar: Media MB Terengganu
Selain Menteri Besar, turut menerima suntikan vaksin ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Suntikan itu sebagai tanda simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan.
Vaksin COVID-19
Bercakap kepada media selepas suntikan itu Dr Ahmad Samsuri secara berseloroh berkata, semut gigit lagi sakit, jarum pun tidak ada apa-apa kesukaran, tidak ada rasa pening-pening semasa melalui rawatan tersebut.
"Oleh itu, saya seru semua rakyat supaya tidak perlu takut dan teruja menanti saat giliran masing-masing," katanya.
Dr Nor Azimi Yunus menunjukkan poster melindungi diri hasil daripada suntikan vaksin COVID-19
Suntikan ke atas individu-individu berkenaan dibuat sempena pelancaran Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Rawatan Ibu Dan Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sementara Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKN) Dr
Nor Azimi Yunus berkata, lebih 16,000 dos vaksin COVID-19
keluaran Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan selamat tiba di Terengganu pada Khamis 25 Februari 2021.
“Sebelum dihantar ke HSNZ, van syarikat
penghantaran yang membawa dos vaksin COVID-19 itu singgah di Kemaman dan Setiu,”
katanya. - KitaReporters