Alam & Sains 05 Nov, 2025

Ramal bencana alam lebih cepat! Data lebih tepat! Agih bantuan lebih pantas! Dengan ada teknologi AI!

Share this

Pendedahan dan pembangunan ilmu kecerdasan buatan atau AI mampu memudahkan, memperkasa dan memberi data tepat dalam sebaran bantuan banjir atau bencana alam yang lain dengan lebih cepat pada masa akan datang.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, berkata, Program Intelligent World 2035 yang diadakan adalah usaha gambaran masa depan yang sedang kita bentuk, di mana menjelang 2035 pendedahan AI ini mampu membantu pelajar serta penduduk setempat dalam aspek kehidupan termasuk kawalan bencana alam.

"Program anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang ini adalah satu inisiatif berimpak tinggi yang memfokuskan kepada pendedahan dan pembangunan ilmu kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar universiti serta pelajar sekolah menengah sekitar Parlimen Sekijang.



"Sebagai contoh teknologi seperti AI, IoT (Internet Pelbagai Benda), 5G dan cloud computing (pengkomputeran awan) di mana semuanya akan menjadi sebahagian daripada setiap aspek kehidupan kita kini dan akan datang.

"Misalnya, hari ini, teknologi sudah membolehkan kita meramal banjir lebih awal berdasarkan data taburan hujan dan aliran sungai. Itu satu tahap kemajuan yang besar.

"Namun, bayangkan dalam 10 tahun lagi, sistem boleh one step advance dengan mencadangkan juga mungkin pelan pemindahan, mengagihkan sumber bantuan secara automatik dan memberi amaran terus kepada setiap isi rumah melalui telefon bimbit mereka. Inilah yang kita sebut sebagai evolusi teknologi.

"Tetapi, untuk kita sampai ke tahap itu, kita perlukan kepimpinan yang jelas, kerana teknologi tidak boleh hanya menguntungkan segelintir individu semata-mata, tetapi ia mesti digunakan untuk memperluaskan keadilan sosial serta meningkatkan taraf hidup rakyat," katanya.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program “Intelligent World 2035”: Perkukuh Literasi AI di UiTM Cawangan Johor di Segamat. Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr. Saunah Zainon; CEO Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd, Simon Sun; serta barisan pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Johor.

Tambah beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Sekijang, dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM5.9 bilion untuk penyelidikan, pembangunan dan inovasi merentasi kementerian bagi menyokong transformasi teknologi seperti AI.

"Untuk pembangunan infrastruktur AI negara pula, diperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi mewujudkan Sovereign AI Cloud atau cloud ecosystem kita yang tersendiri bagi menjaga kedaulatan data-data negara. 

"Malah satu dana besar, sejumlah RM53 juta diperuntukkan untuk Digital Acceleration Grant bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana mengadaptasi teknologi terkini dan potongan cukai tambahan bagi latihan AI serta keselamatan siber.



"Ini semua membuktikan bahawa Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini, serius dalam membina kapasiti rakyat untuk menguasai teknologi baharu dan di daerah Segamat ini, khususnya untuk Parlimen Sekijang, kita sokong hasrat ini, maka disebabkan itulah kita berkerjasama dengan UiTM cawangan Johor serta Huawei bersama-sama dengan kita pada hari ini.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UiTM cawangan Johor yang menjadi platform perlaksanaan program ini serta pihak Huawei atas kolabrasi bersama dalam usaha pemampatan teknologi AI ini di kalangan pelajar," katanya. - KitaReporters


15
11
0
14
0
You will be interested