Alam & Sains 29 Sep, 2023

Penyelidikan MARDI mampu kurangkan kadar import bawang! Berjaya lancar tiga varieti bawang merah!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Bawang merah merupakan ramuan masakan yang sangat penting di seluruh dunia termasuklah di negara kita. Boleh dikatakan hampir semua jenis masakan di Malaysia memerlukan bawang merah.

Walau bagaimanapun, pengeluaran bawang merah di Malaysia hanya terhad kepada penghasilan daun bawang (spring onion) sahaja. 

Pengeluaran yang rendah ini mengakibatkan negara bergantung kepada import yang tinggi kerana tidak mampu memenuhi permintaan yang ada terutama pada saat menjelang hari-hari perayaan .

Data dari Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih Malaysia (2018-2022) telah menunjukkan Malaysia mengimport bawang merah segar iaitu besar, kecil dan putih dari India sebanyak 62%, diikuti Natherlands (15%), China (9%), Pakistan (8%), Thailand (2%), Egypt (2%) dan negara-negara lain (2%).

Menurut data tersebut, jumlah import bawang pada tahun 2022 bagi ketiga-tiga jenis (besar, kecil dan putih) berjumlah 685.4 Mt (RM1,578.4 juta) , peningkatan sebanyak 9% dari 622.2 ribu Mt (RM1,477.6 juta) pada 2021.

Data itu juga mencatatkan bawang besar merupakan jenis paling banyak diimport, 71% (485.1 ribu Mt) diikuti bawang putih, 22.1% (161.7 ribu Mt) dan bawang kecil 6.3% (38.6 ribu Mt).

Penggunaan per kapita pula mengesahkan bawang besar paling banyak digunakan (14.8 kg/tahun), diikuti bawang kecil (1.2 kg/tahun) dan bawang putih (4.9 kg/tahun).

Walaupun penggunaan keseluruhan bawang besar lebih banyak, namun dari aspek nilai dan pulangan ke atas jualan, bawang merah kecil lebih tinggi di mana harga import bernilai RM1,880/Mt manakala harga bawang besar RM1,759/Mt.



Menyedari hakikat ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) giat menjalankan penyelidikan penanaman bawang bagi membantu meningkatkan pengeluaran tanaman bawang, sekali gus diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bawang merah import yang tinggi.

Baru-baru ini, MARDI telah melancarkan tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 bersempena Show Tech MARDI 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 25 Ogos 2023 lalu.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata pencapaian ini adalah hasil daripada kajian pengadaptasian dan penilaian oleh MARDI melibatkan pengumpulan bahan genetik daripada pasaran tempatan, syarikat biji benih dan agensi penyelidikan antarabangsa serta koleksi benih sedia ada hasil kajian terdahulu.

“Secara umumnya, MARDI telah menjalankan beberapa kajian berkaitan bawang bermula tahun 1970-an antaranya melibatkan kajian varieti bawang pada tahun 1974; kajian potensi bawang besar di tanah alluvium/tanah bris (1993); kajian keperluan nutrien bawang merah di tanah bris (1994) dan kajian bawang merah di tanah gambut (1998).

“Strategi kajian yang telah dijalankan melibatkan pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah peningkatan produktiviti, adaptasi tanaman di tanah rendah, pengurangan masalah perosak, penyakit dan kerosakan lepas tuai serta pengukuhan pemasaran.

“Ia juga melibatkan pengenalpastian/pengadaptasian varieti bawang yang tahan panas, sesuai dengan cuaca/agroiklim Malaysia serta meningkatkan kecekapan pengeluaran biji benih/bawang tempatan di negara ini,” katanya.



Beliau menambah, tiga varieti bawang merah MARDI yang baru dilancarkan itu berpotensi untuk membuahkan hasil yang tinggi di samping mempunyai ciri-ciri dan keunikannya yang tersendiri.

“Varieti BAW-1 sebagai contohnya mempunyai saiz di antara 25-35mm, beradaptasi di tanah mineral dan tanah bris, berwarna merah terang berbanding BAW-2 yang berwarna merah muda dan mempunyai saiz sederhana 28-32mm serta beradaptasi di tanah mineral dan gambut.

“Manakala BAW-3 pula berwarna merah muda, mempunyai saiz yang lebih kecil iaitu antara 18-25mm serta beradaptasi di tanah bris, tanah mineral dan tanah gambut,” tambahnya.

Zabawi menjelaskan bahawa bebawang ini boleh mula dituai setelah 60 hingga 75 hari selepas penanaman bagi memastikan bawang-bawang yang terhasil berkualiti baik, bersaiz sempurna dan bebas penyakit.

“Selepas dituai, bebawang akan melalui proses pengeringan (curing) menggunakan kaedah semula jadi iaitu pengeringan terus di bawah cahaya matahari atau menggunakan rumah pengeringan (secara in-door) dengan suhu sekitar 30-32°C dan kelembapan relatif 65-70% selama 3-7 hari.

“Kemudian, bawang merah diikat secara rumpun atau bunjut dan boleh terus dipasarkan. 

"Bawang merah boleh disimpan di dalam bilik penyimpanan pada suhu persekitaran dan tempoh hayat penyimpanan bawang merah antara 3-5 bulan dengan pengekalan kualiti baik dan diterima pasaran.

“Penyimpanan bebawang untuk kegunaan sebagai bahan tanaman pula sekitar 1-2 bulan sebelum digunakan untuk penanaman semula,” jelasnya.



Zabawi berkata, pengawalan penyakit dan perosak secara kimia juga perlu bagi mengelakkan perebakan yang cepat sehingga menjejaskan hasil bawang.

Walau bagaimanapun katanya, dengan menggunakan hanya satu racun kimia secara berulang akan menyebabkan tanaman menjadi rintang dengan racun kimia tersebut yang mana racun tersebut tidak lagi berkesan untuk mengawal perosak.

“Oleh itu, penggunakan racun kimia perlu diselang selikan dengan beberapa racun kimia yang lain, antara racun kulat yang boleh digunakan bagi pengawalan penyakit antraknos adalah yang terdiri daripada bahan aktif propiconazole, tebuconazole atau benomil.

"Semburan racun kimia dilakukan sekali seminggu bergantung kepada tahap keterukan penyakit dan terdapat kesan serangan yang signifikan,” ujarnya.

Selain itu jelasnya, biji benih serta bebawang juga perlu dirawat dengan menggunakan racun kulat thiram sebelum ditanam.

“Manakala untuk pengawalan perosak, racun perosak yang terdiri daripada bahan aktif abamectin atau emamectin benzoateboleh digunakan,” tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
11
0
12
0
You will be interested