Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan pelancaran Pemangkin Digital AgTech dan mengalu-alukan kerjasama ke arah pembangunan platform Digital AgTech Analytics (DATA).
Sejajar dengan sektor yang digalakkan Malaysia Digital (MD), platform Pemangkin DATA adalah inisiatif yang memperkasakan petani dan perniagaan tani di seluruh negara dengan teknologi termaju cerapan masa nyata (realtime) mengenai produktiviti dan analisis ramalan yang akan menangani sekuriti makanan negara.
Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri dari ketepatan pertanian kepada pemantauan kesihatan tanaman, ramalan cuaca, pasaran, pengurusan sumber dan analisis prestasi ladang, hanya pada hujung jari.
Melalui pendekatan inovatif ini, ia membolehkan petani membuat keputusan yang tepat dan meningkatkan produktiviti sambil meminimumkan jejak alam sekitar.
Platform Pemangkin DATA dijangka dapat menjana produktiviti daripada lebih 500 projek Digital AgTech baharu yang digunakan dan lebih 60,000 petani terlatih di seluruh negara.
Acara itu turut menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan ekosistem utama, iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian (DOA), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Agrobank.
Pertukaran MoU ini akan mengukuhkan lagi kerjasama serta membuka jalan kepada inisiatif bersama untuk mempercepat transformasi digital.
Hadir pada pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin; Pengerusi MDEC, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azah Hanim Ahmad; dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali. - KitaReporters/Kenyataan Media