Alam & Sains 12 Feb, 2021

Malaysia darurat Covid-19! Myanmar darurat tentera! Somalia isytihar darurat belalang juta!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SOMALIA sudahlah miskin, kini sumber makanannya diancam pula oleh serangan jutaan belalang juta. - Kredit foto: Brittanica


INI bukan kisah Belalang dalam filem 'Nujum Pak Belalang' arahan P. Ramlee. Tetapi ia adalah belalang pemusnah yang melanda Somalia dan merosakkan tanaman makanan di negara itu. Kerana itu jutaan belalang ini perlu dihapuskan segera.

Malaysia mengisytiharkan darurat untuk mengekang pandemik Covid-19. Myanmar mengisytiharkan darurat selepas tentera merampas kuasa menjatuhkan kerajaan awam dipilih rakyat. 

Tetapi di Somalia lain halnya. Negara di timur benua Afrika itu juga mengisytiharkan darurat pada 2 Februari 2021, tetapi bukan kerana Covid-19 atau rampasan kuasa. Sebaliknya ia kerana serangan belalang juta (desert locust) sehingga menjejaskan dengan teruk tanaman di negara itu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan belalang:

https://kitareporters.com/search?search=belalang


BELALANG juta menyerupai belalang kunyit tetapi lebih besar dan lebih berbahaya sehingga boleh merosakkan seluruh tanaman. - Kredit foto: BBC.Com


Untuk rekod, Somalia adalah antara negara dalam kelompok Tanduk Afrika atau Horn of Africa yang juga merangkumi, Djibouti, Eritre dan Habshah.

Petaka menimpa Somalia bertimpa-timpa. Negara itu juga menghadapi masalah Covid-19 dan banjir. Serangan belalang pemusnah tersebut menambah lagi beban ditanggung oleh negara miskin itu.

Belalang juta atau belalang gurun pasir atau nama saintifiknya Schistocerca Gregaria, hidup di padang pasir antara Afrika Barat dan India. Ia meyerupai belalang kunyit tetapi saiznya lebih besar. 

Belalang ini membiak selepas musim hujan. Tanah lembab selepas hujan paling sesuai menjadi tempat bertelur.

Sebelum ini Arab Saudi juga diserang oleh belalang ini. Turut terjejas ialah negara lain di timur Afrika, juga Yaman, Iran, Pakistan dan India. Namun negara-negara ini tidak sampai mengisytiharkan darurat.



Memetik laporan Al-Jazeera, Kementerian Pertanian Somalia menyifatkan serangan belalang juta itu sebagai ancaman besar terhadap sektor makanan negara yang memang sudah dalam keadaan goyah.

Menurut Menteri Pertanian, Said Hussein Iid, sumber makanan untuk penduduk dan haiwan peliharaan kini berada dalam keadaan genting.

Belalang tersebut bersaiz besar yang belum pernah dilihat di Somalia. Jutaan belalang tersebut memakan serta memusnahkan sejumlah besar tanaman dan sumber makanan lain.  

Menurut kementerian tersebut, pengisytharan darurat adalah untuk membolehkan usaha bersepadu dilakukan mencari dana untuk membanteras belalang tersebut. Ini sangat penting dilakukan sebelum menjelang musim menuai pada April ini.

Dalam menghadapi serangan belalang ini, kerajaan menyeru seluruh pemimpin dan rakyat bersatu tenaga untuk melindungi keselamatan sumber makanan serta kehidupan rakyat Somalia. Jika masalah itu tidak dapat diatasi, Somalia akan menghadapi krisis makanan yang sukar dibendung.

Negara-negara Horn of Africa yang rata-rata miskin, sememangnya sudah menghadapi masalah makanan serius dengan sejumah 19 juta penduduk berdepan dengan kebuluran.

Serangan belalang menambah teruk keadaan ini dan disifatkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) sebagai ‘keadaan paling buruk dalam 25 tahun’ di Horn of Africa

FAO menganggap apa yang berlaku sekarang merupakan serangan serangga yang memberi kesan kepada seluruh kawasan Horn of Africa. Jika ia bertambah buruk dan gagal dikekang dalam tempoh setahun, ia akan menjadi wabak belalang juta.


 

JUTAAN belalang juta menyerang Somalia dan merosakkan tanaman sementara petani bertungkus lumus menghapuskannya. - Kredit foto: BBC.Com


Sehingga ini terdapat enam kejadian wabak akibat serangan belalang juta ini dalam tahun 1900-an. Antara yang terakhir ialah pada 1987 hingga 1989 dan 2003-2005.

Keadaan keselamatan di Somalia yang tidak stabil tidak membolehkan kapal terbang digunakan untuk menyembur racun serangga dari udara.

Memetik laporan BBC.News, FAO meminta bantuan dunia untuk mengekang masalah belalang juta di Somalia dan negara Horn of Africa. Jika tidak, belalang akan membiak sehingga 500 kali. Belalang ini boleh bergerak sehingga 150 kilometer dalam sehari.

Ia bukan sahaja berbahaya kepada tanaman, malah pada kapal terbang. 

Pada Disember tahun 2020, sebuah kapal terbang beralih haluan di Habsyah selepas belalang tersebut memasuki bahagian enjin, serta memenuhi cermin depan dan moncong pesawat. Tetapi kapal terbang itu selamat mendarat di Addis Ababa. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested