Alam & Sains 10 Jul, 2020

Jom beli barangan Malaysia! Sokong Shopee pulihkan ekonomi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Perniagaan tempatan hanya boleh pulih sekiranya pengguna mula berbelanja dan mengutamakan barangan tempatan bagi merancakkan ekonomi domestik. Atas sebab itu kerjasama dibuat dengan Shopee melalui Kempen Beli Barangan Malaysia bagi menyediakan pelbagai insentif kepada pengguna supaya membeli daripada peniaga-peniaga tempatan. : KitaReporters

Alexander Nanta Linggi (tiga dari kanan) merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia di Shopee bersama Tan Ming Kit (dua dari kanan) serta para pegawai dari KPDNHEP di ibu pejabat Shopee, di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Kredit foto: @mykpdnhep.


Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kementeriannya menyasarkan jualan sebanyak RM513 juta melalui Kempen Beli Barangan Malaysia dengan platform e-dagang itu sepanjang Julai hingga akhir tahun ini. 

Mengumumkan demikian, Datuk Alexander Nanta Linggi yakin jumlah itu dapat dicapai berbanding nilai jualan RM430 juta yang dicapai pada tempoh sama tahun lalu. 

Alexander berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di Shopee menerusi portal aplikasi baharu yang dikenali sebagai 'Buy Malaysia', di Kuala Lumpur pada 7 Julai 2020 lalu.

Hadir bersamanya, Ketua Produk Konsumer Cepat Laris (FMCG) Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Portal dalam aplikasi, 'Buy Malaysia' yang bercirikan Jalur Gemilang ini boleh dikenal pasti dengan mudah pada halaman utama kedua-dua Aplikasi Shopee dan juga laman web Shopee.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan lebih kurang 13,000 produk tempatan pelbagai kategori termasuk barangan dan perkhidmatan dapat diketengahkan melalui kempen sekali gus membantu usahawan terlibat.

Kempen Beli Barangan Malaysia kembali lagi di platform Shopee untuk tahun kedua dengan menawarkan lima kali ganda tawaran berbanding tahun lepas di mana ia akan melibatkan pelbagai segmen peruncitan seperti barangan runcit, kecantikan, kesihatan, fesyen pakaian, barangan keperluan isi rumah, permainan, buku, produk sukan waima automotif sekali pun .

Di samping itu, ia turut melibatkan  tawaran dari sektor perkhidmatan seperti makanan, minuman dan banyak lagi sehingga kempen tamat pada bulan Disember 2020 nanti.

Kerjasama berterusan antara KPDNHEP dan Shopee ini membuktikan keyakinan susulan kejayaan yang telah dicapai pada tahun lalu, di mana purata pesanan harian bagi produk buatan Malaysia di platform tersebut meningkat sebanyak 330%.

"Pada tahun ini, platform e-dagang nombor satu ini telah ditugaskan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dalam merancakkan semula ekonomi pasca-COVID-19," sambung Alexander.

Sehubungan itu, Tan Ming Kit (bawah) dalam ucapannya mewakili Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee, melahirkan rasa teruja Kempen Beli Barangan Malaysia tahun ini dilancarkan dengan lebih besar meliputi 11,500 produk berbanding 2,300 unit penyimpanan stok tahun lalu.


“Kami memahami matlamat Kementerian adalah untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap barangan import bagi membawa ekonomi domestik kembali kepada landasan yang tepat,” ujar Ming Kit.

Untuk tujuan itu, tambahnya Shopee yang kini mempunyai sejumlah 800,000 pembeli dalam talian, akan melangkah lebih jauh demi membantu membawa produk buatan Malaysia dan Halal kepada pasaran eksport dengan terlebih dahulu memastikan ia boleh didapati di Shopee Singapura.

Pemilik dan penjual produk Buatan Malaysia di Shopee yang ingin mempamerkan produk mereka dalam kempen ini boleh mengisi borang melalui link shopee.com/ShopeeKBM sementara maklumat lanjut berkaitan kempen boleh layari https://shopee.com.my/m/buatanmalaysia. - KitaReporters


0
1
0
0
0
You will be interested