Alam & Sains 04 Nov, 2020

Terima kasih Cikgu Rosafandi! Kongsi ilmu ICT sama guru-guru

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

GURU-GURU di daerah Beluran dan Kinabatangan, Sabah terus mempertingkatkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh negeri itu mulai 13 Oktober 2020. Usaha itu juga selaras norma baharu apabila proses pembelajaran diteruskan oleh guru-guru secara dalam talian. : KitaReporters


Walaupun di daerah Beluran menghadapi masalah capaian internet namun bengkel yang dikendali oleh Cikgu Rosafandi dapat berjalan lancar.


Lagi cerita-cerita berkaitan pembelajaran:

https://kitareporters.com/search?search=pembelajaran


Pembelajaran itu pula boleh diikuti murid-murid di rumah menerusi aplikasi atau perisian (software) seperti Google Meet, Microsoft Whiteboard, Sticky Note, Google Keep dan Google Docs. 

Sebagai inisiatif Guru Penyelaras Bestari Sekolah Kebangsaan Jaya Bakti, Beluran (SKJBB), Cikgu Rosafandi Rosli mengadakan Bengkel Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) secara dalam talian kepada rakan guru di Beluran dan Kinabatangan, pada 31 Oktober 2020.

Beliau ketika dihubungi berkata, bengkel itu dilaksanakan sebagai langkah membantu rakan setugas mendalami dan mempraktik ilmu ICT yang akan digunakan ketika proses PdP serta meneruskan pengajaran dalam talian kepada murid sekarang ini.

Menurutnya, 14 guru yang menyertai bengkel berkenaan mengajar pelbagai subjek dan mereka didedahkan beberapa aplikasi dan perisian yang akan membantu mevariasikan cara mengajar dalam kelas termasuk menerusi dalam talian sepanjang PKPB.


Terletak jauh ke pedalaman Sabah namun tidak mematahkan semangat guru di daerah Beluran dan Kinabatangan mempraktik penggunaan ICT dalam PdP.


Cikgu Rosafandi Rosli 


“Penggunaan aplikasi dan perisian itu akan mampu menarik perhatian murid dengan cara pengajaran yang lebih interaktif  terutama pengajaran dalam talian selain meningkatkan percambahan ilmu dalam PdP.

“Saya berasa bertuah walaupun bengkel ini diadakan secara dalam talian untuk tempoh beberapa jam sahaja, namun turut menarik perhatian wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran untuk menjadi salah seorang peserta selain mendapat dorongan serta sokongan daripada Guru Besar SKJBB, Salasiah Said,” katanya yang berasal dari Perlis.

Wakil PPD, Nancy Ng Yut Kuan yang mengikuti bengkel itu memuji langkah serta inisiatif yang dilakukan oleh Cikgu Rosafandi membantu meningkat penambahan ilmu rakan guru dalam ICT untuk proses PdP bertepatan dengan normal baharu pandemik Covid-19.


Bengkel kendalian Cikgu Rosafandi memberi informasi terkini dalam bidang ICT pendidikan.


“Bengkel ini memberi informasi terkini dalam bidang ICT untuk dipraktikkan oleh guru bagi meningkat kualiti dan kuantiti PdP, Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.

Guru Subjek Bahasa Inggeris, SK Ulu Muanad, Beluran, Cikgu Mohamad Tarmizi Mohamad, berkata bengkel itu mencapai objektif mendedahkan aplikasi dan perisian untuk digunakan guru dalam proses PdP supaya lebih berkesan dan memberi banyak manfaat kepada murid. 


Cikgu Rosafandi membantu guru menggunakan pelbagai aplikasi dalam PdP termasuk pembelajaran secara dalam talian berikutan PKPB.


“Pendedahan yang diberikan oleh Cikgu Rosafandi ternyata bermanfaat dan banyak ilmu ICT dapat dipelajari guru terutama mengenai  cara penggunaan aplikasi bagi tujuan PdP sama ada dalam kelas atau sesi pembelajaran dalam talian,” katanya.

Menurut Guru Subjek Bahasa Melayu SKJBB, Cikgu Mohd Riezman Ramli pula, pendedahan pelbagai aplikasi dan perisian oleh Cikgu Rosafandi dalam bengkel itu ternyata dapat dilaksanakan guru dalam proses PdP termasuk ketika PKPB sekarang ini.

“Ramai rakan guru berharap bengkel ini dapat diadakan untuk sesi kedua atau diperluaskan ke daerah lain supaya lebih ramai guru dapat menimba ilmu  ICT bagi meningkatkan proses PdP dan PdPR yang berkesan kepada murid,” katanya. - KitaReporters

46
2
1
0
0
You will be interested