Alam & Sains 14 Nov, 2020

Berita baik Terengganu! Bakal kembali dalam zon hijau 22 Nov

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

JIKA tidak ada kes baharu COVID-19, menjadi harapan penduduk seluruh Negeri Terengganu bahawa mereka akan kembali berada dalam zon hijau dijangka pada 22 November 2020. Keyakinan itu berdasarkan sudah lima hari berturut-turut tiada kes baharu dilaporkan di negeri Terengganu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa mulai 9 November 2020. : KitaReporters


Pengarah JKNT Dr Nor Azimi Yunus


Lagi kisah-kisah berkaitan Dr Nor Azimi:

https://kitareporters.com/search?search=Dr+Nor+Azimi


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes terakhir yang direkod ialah di Mukim Rasau, Dungun, pada 8 November 2020 sehari sebelum pelaksanaan PKPB.

Dr Nor Azimi mengucapkan tahniah kepada penduduk Terengganu dan Mukim Rasau khususnya kerana sebab kepatuhan kepada SOP memungkinkan perkara ini berlaku dengan izin Allah.

“Alahai berdebar-debar nak tunggu tarikh 22 November tu lambat lagi pulak tu. Tapi nak bagi semangat awal-awal kepada orang Terengganu supaya kekal patuh SOP,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya.


Catatan Dr Azimi Yunus menerusi hantaran Facebook miliknya


Dalam perkembangan berkaitan, JKNT pada 13 November 2020 telah merekodkan pertambahan enam kes sembuh dan tiada kes baharu positif COVID-19 yang menjadikan terdapat 22 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan kekal sebanyak 225 kes.

Kesemua 22 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Semua enam kes sembuh tersebut berkaitan dengan Kluster Makeker. Tiga kes dari Mukim Rusila dan masing-masing satu kes dari Mukim Sura, Mukim Paloh dan Mukim Tepoh. 

“Secara keseluruhannya, hanya terdapat dua  zon yang masih aktif di Terengganu iaitu Zon Kuning di Mukim Rasau, Dungun dan Mukim Rusila, Marang.


Status terkini pada 13 November 2020 kedudukan kes COVID-19 di Terengganu


Menurut kenyataan JKNT itu sehingga 13 November 2020, jumlah keseluruhan kes aktif (sedang dirawat) di Mukim Rasau adalah kekal sebanyak 13 kes. 

Walaupun jumlah kes aktif terus berkurangan dan tiada pertambahan kes baru selama lima hari berturut-turut, penduduk terutama di kawasan Gugusan Felda Kerteh, Ketengah Jaya diingatkan supaya tidak merasa selesa dan sentiasa meneruskan langkah berjaga-jaga. 

Bagi mereka yang mempunyai sebarang gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, sakit tekak, batuk, selsema dan hilang deria bau (anosmia) diminta untuk segera hadir ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya atau mana-mana klinik kesihatan berhampiran bagi menjalani saringan oleh petugas kesihatan. 


Status COVID-19 mengikut Mukim di Terengganu pada 13 November 2020


“Terima kasih diucapkan kepada semua rakyat Terengganu dan khususnya penduduk Mukim Rasau yang telah menunjukkan kepatuhan yang tinggi terhadap Norma Baharu  dan SOP sehingga dapat menurunkan jangkitan COVID-19 di negeri ini,” tambah kenyataan itu. 

Sekiranya anda atau sesiapa yg anda kenali baru memasuki Terengganu dari zon kuning dan merah, segera arahkan ke klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk saringan risiko. 

Tindakan awal dapat menghalang perebakan dalam  komuniti kita. - KitaReporters

126
22
6
5
4
You will be interested