Umrah dalam norma baharu! SOP ketat! Lebih tenang dan selesa
@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.
Share this
SUATU pengalaman yang sukar diungkapkan melalui tutur kata mahupun untaian bicara bagi seorang insan terpilih melakukan ibadah umrah dalam suasana norma baharu dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat tetapi penuh aura luar biasa setelah dapat menatap Kaabah secara langsung di hadapan mata bersama umrah kumpulan pertama pada 4 Oktober 2020 Masihi bersamaan 17 Safar 1442 Hijrah lalu. : KitaReporters
Ketibaan jemaah umrah fasa pertama terdiri daripada warga Arab Saudi dan mereka yang tinggal di negara itu disambut oleh para pegawai semasa melangkah ke Dataran Kaabah, Makkah untuk menunaikan tawaf. - Kredit foto: FB Haramain Sharifain.
Umrah yang disifatkan paling tenang dan bersistem jika dibandingkan sebelumnya mampu memberi keselesaan dan hidayah kepada setiap individu terpilih melakukan ibadah suci itu dengan penuh ketaqwaan serta khusuq disebabkan suasananya terlalu berbeza.
Pengalaman ini dipaparkan oleh seorang jemaah umrah bagi kumpulan kedua fasa pertama, Salimah Hashim melalui paparan video yang dirakam untuk tontonan awam selepas beliau selesai mengerjakan semua rukun umrah antara lain bertujuan memberi gambaran keadaan semasa di Masjidil Haram Makkah dan sekitarnya ketika sebahagian daripada 6,000 jemaah mengerjakan umrah.
Daripada paparan tersebut jelas melihatkan begitu lengang dan selesa untuk setiap jemaah Umrah menunaikan semua rukun yang terkandung dalam ibadah tersebut tidak seperti sebelum penangguhannya berikutan COVID-19 terpaksa berasak-asak sama ada untuk tawaf, saei' dan solat sunat, lebih-lebih keadaan fizikal orang Arab atau Eropah berbeza saiz badan jika dibandingkan dengan orang Asia.
Dalam video berkenaan beliau memberitahu, pada umrah kali ini tidak ada tong-tong atau paip air zam-zam disediakan untuk jemaah minum atau berwuduk ketika di Masjidil Haram, sebaliknya ada petugas khas membahagi-bahagikan botol-botol mengandungi air zam-zam berkenaan.
Berasal dari Singapura dan menuntut di Universiti Umu Qurra Makkah, beliau menyifatkan pengalaman mengerjakan umrah istimewa ini merupakan yang paling tenang dalam sejarah hidup beliau berbeza dengan yang pernah dilalui beberapa kali sebelum ini.
Para jemaah umrah menunggu giliran menaiki bas khas dari Pusat Checkpoint di Kuddis ke Masjidil Haram, Makkah. - Kredit Foto: Salimah Hasim.
Menurutnya, ibadah umrah dalam norma baharu yang mempraktikkan SOP ketat agak mudah tanpa perlu berasak-asak bagi menyelesaikan semua rukunnya seperti tawaf, saei', solat sunat, berzikir, berdoa dan tahalul kerana bilangan individu terlibat tidak terlalu ramai jika dibandingkan sebelum ia ditangguhkan dahulu.
Katanya, setiap pergerakan yang dilakukan untuk tunai umrah terlalu mudah dan selesa sekalipun hanya diberikan masa yang terhad selama tiga jam bagi setiap orang. Jangka masa tersebut masih banyak ruang untuk melakukan berbagai ibadat lain.
Salimah terpilih pada kumpulan kedua fasa pertama diberi kebenaran menunaikan ibadah Umrah antara jam 6.00 hingga 9.00 pagi bermula dengan menaiki bas khas dari dataran tempat letak kereta di Kuddai setelah bermiqat di Masjid Aishah di Tanaem dengan menempuh tiga checkpoint pemeriksaan suhu badan iaitu ketika hendak menaiki bas, di dataran Masjidilharam dan di pintu gerbang sebelum masuk ke Masjidilharam.
Beliau bersyukur dan mengucapkan alhamdulillah kerana berjaya memasuki Masjidilharam dan menyelesaikan semua rukun ibadah umrah dalam suasana yang terlalu berbeza lagi mudah.
Sebelum ini, beliau menyatakan ada hasrat untuk menunaikan umrah pada Februari lalu tetapi terpaksa menangguhkannya kerana kesibukan semasa sehinggalah Kerajaan Arab Saudi merehatkan sementara kerja-kerja ibadah haji dan umrah disebabkan COVID-19.
Umrah dalam suasana norma baharu yang mengenakan SOP ketat lebih mudah dan selesa kerana tidak perlu bersesak-sesak malahan lebih kemas serta teratur. Aura keindahan Kaabah tetap teruja lagi menyerlah bila dipandang . - Kredit Foto: FB Haramain Sharifain.
Ibadah umrah yang mengenakan pelbagai SOP ketat berikutan penularan wabak pandemik tersebut di seluruh dunia dan turut melanda Arab Saudi dibenarkan kembali setelah tertangguh hampir tujuh bulan sejak Mac 2020 lalu, menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi sebagai mengambil kira hasrat ramai umat Islam seluruh dunia termasuk penduduk tempatan dan mereka yang tinggal di negara itu mahu menunaikan ibadah suci berkenaan selain haji.
Menurut laporan agensi berita Saudi Press, kebenaran semula ibadah umrah dan ziarah dalam norma baharu ini yang terpaksa melalui peraturan ketat dengan pelaksanaan SOP wajib dibahagikan kepada tiga peringkat dengan fasa pertama melibatkan rakyat tempatan dan pemastauatin berjumlah 6,000 orang pada setiap hari untuk fasa pertama yang dibahagikan kepada enam kumpulan bermula pada Ahad 4 Oktober 2020 lalu.
Fasa kedua juga melibatkan warga tempatan dan mereka yang tinggal di Arab Saudi dengan jumlahnya antara 15,000 ke 40,000 jemaah setiap hari menunaikan umrah di Masjidilharam di Mekah dan ziarah di Masjidil Nabawi termasuk Raudah Sharifeen di Madinah bermula pada Ahad 18 Oktober 2020 ini.
Sheikh Abdul Rahman Sudais meninjau jemaah umrah melakukan tawaf di Dataran Kaabah, Masjidilharam, Mekah. - Kredit Foto: FB Haramain Sharifain.
Manakala fasa ketiga mulai Ahad 1 November 2020, Kerajaan Arab Saudi membenarkan umat Islam seluruh dunia melakukan ibadah umrah dan ziarah dengan kadar jemaah antara 20,000 hingga 60,000 setiap hari dengan mengambil kira langkah berjaga-jaga mengenai kesihatan terutama di Majidil Nabawi di Madinah dan Masjidilharam di Makkah.
Ketibaan jemaah umrah luar negara dilaksana secara bertahap-tahap dengan menetapkan hanya negara-negara yang bebas risiko kesihatan berkaitan COVID-19 seperti diumumkan Kementerian Kesihatan negara itu.
Umrah dalam norma baharu hanya dibenarkan jika individu terlibat mendaftar melalui aplikasi khas Eatmarna yang dilancarkan Kementerian Haji dan Umrah dengan persetujuan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa bagi tujuan mengawal keadaan kesihatan para jemaah umrah. Manakala mereka yang berada di Arab Saudi perlu terlebih dahulu memuat turun aplikasi Tawakkalna bagi mendaftar identiti masing-masing terlebih dahulu.
Salimah Hasim membuat rakaman video dengan berlatarbelakangkan Dataran Kaabah. Kelihatan jemaah menunggu arahan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah merupakan antara rukun ibadah umrah.
"Kami buat umrah: Dengan tawaf kami mendapat keberkatan. Dengan saei' kami merasai kepuasan". Itulah slogan aplikasi Eatmarna yang merupakan medium permit bagi kebenaran umrah vesi baru kali ini.
Seorang warga Malaysia pengendali ruangan Makkah Kenangan Terindah, Muhammad Shaharuddin Shahari mencoretkan ruang kendaliannya, jemaah umrah diberikan masa tiga jam setiap seorang bagi menyelesaikan semua rukun ibadah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, yang berasal daripada Selangor dan menuntut dalam jurusan Syariah Universiti Umu Qurra Makkah, setiap jemaah boleh memanfaatkan tempoh masa permit dibenarkan kerana keadaan terlalu selesa tanpa perlu bersesak-sesak untuk solat sunat, berzikir dan berdoa di dataran Kaabah sebelum beredar menyelesaikan saei' dan tahalul kerana jalan masuk keluar Masjidilharam berlainan.
Jemaah tidak dibenarkan berpatah balik jika sudah ke kawasan Safa dan Marwa sebaliknya diarahkan keluar ke tempat bas khas menunggu untuk kembali ke Kuddai.
Muhammad Shaharuddin Shahari pelajar Universiti Ummu Qurra yang juga pengendali Ruangan Makkah Kenangan Terindah.
Coretan beliau pada Isnin 5 Oktober 2020 lalu turut memberikan beberapa tip berguna sebagai panduan kepada mereka yang berazam melakukan ibadah umrah dalam suasana norma baharu terutama bagi mereka yang belum pernah melakukannya.
Antaranya tempoh slot umrah yang sesuai, perlu ada ilmu mengenai umrah, pastikan berada dalam keadaan sihat dan fit, bawa barangan keperluan yang penting, pastikan permit umrah sah dan boleh dibuka, sediakan beg atau plastik kasut dan bekalkan duit kecil untuk bersedekah khusus kepada para pencuci di Masjidilharam dan Majidil Nabawi.
Semoga paduan diberikan bermanfaat. : KitaReporters
Jemaah umrah berkumpul untuk memulakan rukun saei yang bermula dari Bukit Marwa ke Bukit Safa. - Kredit foto: Salimah Hasim.
Keadaan laluan saei antara Bukit Marwa ke Bukit Safa lengang dan hanya kelihatan beberapa jemaah umrah menelesaikan rukun ibadah berkenaan. - Kredit foto: Salimah Hasim.
Beginilah antara paparan yang terdapat dalam aplikasi Eatmarna yang merupakan premit untuk kebenaran mengerjakan ibadah umrah yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. - Kredit foto: FB Haramain Sharifain