Alam & Sains 24 Dec, 2019

AMARAN!!! 17 KIPAS SILING ELMARK DITARIK BALIK

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this
WALAUPUN kini secara majoriti kediaman memilih untuk memasang penghawa dingin, namun ada yang kekal menggunakan kipas siling. : KitaReporter.com

Satu daripada model kipas siling yang ditarik balik dari pasaran Singapura.


Terbaharu di Singapura, 500 unit daripada 17 jenis model kipas siling jenama Elmark yang dijual di pasaran negara itu ditarik balik ekoran berisiko dan berpotensi mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Penarikan itu dikeluarkan oleh Agensi Pembangunan Usahawan Singapura selepas pemeriksaan dijalankan dan mendapati penggunaan kipas jenama berkenaan mendatangkan bahaya seperti renjatan elektik, menyebabkan kebakaran selain bilah kipas yang agak longgar dan berisiko mengakibatkan kecederaan.

Notis penarikan semula 17 model kipas tersebut telah dimuat naik menerusi laman web rasmi syarikat berkenaan (www.elmark.com.sg) bagi mendedahkan kepada umum dan pengguna berpeluang menukarkan model yang terlibat dengan baucer bernilai $150 (RM458).

Memetik kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web berkenaan, walaupun tiada laporan kecederaan oleh pengguna jenama berkenaan, namun difahamkan kesemua 17 model berkenaan tidak berdaftar.

Lebih membahayakan kesemua produk itu dijual tanpa arahan keselamatan yang sah di bawah undang-undang keselamatan pengguna di Singapura.

Enterprise Singapore memandang serius dengan pembekal yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak teragak-agak untuk mengenakan denda .


“Pihak berkuasa keselamatan, Enterprise Singapore, menasihati para pengguna supaya menghentikan penggunaan 17 model kipas siling oleh Elmark Marketing (Elmark) kerana berisiko kepada keselamatan seperti renjatan elektrik, bahaya jatuh, kecederaan dan kebakaran. 

“Kesemua 17 model yang dimaksudkan adalah AC 4054, E502 Aeratron, EC 888, EC 999, ED 866, EL03 Cane, EL03 Leaf, ELS 52 HHA, EL 3888 Elegant, ES 380S, ES 803, ES 803 Mini, Fanay, Fantasy UFO 38 , V6 Mini, V8 Jazz, dan VIP 99,” kata syarikat itu menerusi kenyataan dalam laman web berkenaan.

Berikutan dengan penarikan itu, pengguna diminta untuk menghentikan penggunaannya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

"Pelanggan yang membeli model berkenaan layak menukar ganti kipas lama dengan baucar sebanyak S$150 (RM458)," katanya.

Baucar tersebut dapat digunakan selama lima tahun dan boleh dimanfaatkan sesiapa sahaja bagi pembelian di Singapura. Khidmat penanggalan percuma juga akan disediakan kepada pelanggan terjejas.

Gambar dirakam dari laman web Elmark Marketing di https://www.elmark.com.sg/.


Dalam masa sama, Enterprise Singapore berharap pelanggan juga boleh menghubungi Persatuan Pengguna Singapura (CASE) bagi bantuan selanjut.

Menurut agensi keselamatan berkenaan, kipas siling, yang dikategorikan sebagai barangan terkawal, mesti diuji, disahkan memenuhi piawai keselamatan relevan, berdaftar dengan Enterprise Singapore dan disertakan dengan tanda ‘Safety’ sebelum dibekalkan, dipamerkan atau diiklankan bagi pasaran Singapura.

"Enterprise Singapore memandang serius terhadap pembekal yang tidak mematuhi tuntutan di bawah CPSR (Peraturan Tuntutan Keselamatan Perlindungan Pengguna) dan tidak teragak-agak mengambil tindakan  yang melanggar peraturan," menurut agensi keselamatan tersebut.

Elmark ditubuhkan pada 1988 itu mengedarkan produk kipas siling jenamanya di seluruh Singapura dan Malaysia. - KitaReporter.com

 

1
33
0
1
3
You will be interested