Alam & Sains 09 Jul, 2021

Sultan benarkan! Solat fardu, Jumaat, Aidiladha mengikut keluasan masjid, surau! Tapi patuhi SOP!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Solat Jumaat di Terengganu dibenarkan mengikut keluasan masjid berkuat kuasa serta merta


UMAT Islam di Negeri Terengganu kini menarik nafas lega apabila pihak berkuasa agama memberi peluang lebih ramai kariah masjid dan surau negeri itu menunaikan solat fardu, Jumaat dan solat sunat Aidiladha diadakan mengikut keluasan masjid dan surau dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berkuat kuasa serta merta.

Keputusan tersebut melegakan masyarakat Islam kerana mereka dapat menunaikan solat tanpa hadir membuat pendaftaran awal dan menggunakan kad jemputan khas yang dikeluarkan oleh Jawatan Kuasa Masjid terbabit.

Sebelum ini, berikutan pelaksanaan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membabitkan negeri itu pihak berkuasa MAIDAM menetapkan hanya 40 jemaah dibenarkan hadir menunaikan solat Jumaat dan 12 jemaah untuk solat di surau.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MAIDAM

Gambar hiasan... Masjid di Terengganu.


Osman Muda


Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, perkara itu telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin setelah mendapat pandangan Mufti Terengganu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Terengganu dan Pengarah Kesihatan Negeri. 

Katanya, selain solat, aktiviti-aktiviti lain di masjid dan surau kekal tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran daripada MAIDAM.

“Kehadiran jemaah ke masjid dan surau hanya dibenarkan kepada ahli kariah yang bermastautin dan warganegara sahaja kecuali mana-mana yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, 8 Julai 2021.



Selain itu, katanya, hanya jemaah lelaki diberi kebenaran untuk solat sunat Aidiladha di masjid dan surau.

Beliau berkata, imam-imam di semua masjid dikehendaki membaca qunut nazilah ketika solat Jumaat dan melakukan solat hajat selepas solat Jumaat.

“Di samping itu, semua masjid dan surau perlu mengadakan solat hajat dan bacaan Surah Yasin setiap malam selepas solat maghrib secara berjemaah don berdoa memohon supaya Allah S.W.T mengangkat wabak ini,” tambah kenyataan itu.

Osman berkata, bagi  pelaksanaan ibadat  korban,  kenyataan  media oleh Yang Dipertua MAIDAM pada 1 Julai 2021 yang lalu masih terpakai. - KitaReporters


12
1
2
0
0
You will be interested