KEBIMBANGAN penduduk Kampung Chebong dan Kampung Selimbar, mukim Tembeling Tengah daerah Jerantut sedikit reda apabila tertangkapnya seekor gajah liar di lokasi berdekatan Kampung Chebong, Jerantut. Haiwan liar itu dilaporkan 'merayau' serta menceroboh di kebun sawit dan getah di kedua-dua buah kampung tersebut sejak awal Oktober 2020. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan gajah:
https://kitareporters.com/search?search=gajah
Pejabat Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan penduduk berterima kasih atas usaha Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang berjaya menangkap haiwan liar itu yang 'merayau' serta menceroboh di kebun sawit dan getah di kedua buah kampung tersebut pada 22 Oktober 2020.
Kejadian pertama pencerobohan kawanan gajah liar yang terdiri antara empat hingga enam ekor di Kampung Selimbar pada 2 Oktober 2020 lalu pada pukul 2 pagi membabitkan kemusnahan tanaman sawit dan getah penduduk.
Kredit foto: FB Jabatan PERHILITAN Semenanjung
Jabatan Perhilitan Semenanjung menerusi hantaran dalam laman sosial Facebooknya menyebut seekor gajah betina berjaya ditangkap oleh UTG Perhilitan Pahang dalam satu operasi di Kampung Chebong, Tembeling Tengah dekat Jerantut pada pada 22 Oktober 2020 lalu.
"Operasi tangkapan dilakukan setelah menerima aduan berkaitan kehadiran seekor gajah yang memakan pokok kelapa bersebelahan rumah pengadu. Operasi tangkapan ini melibatkan UTG Jabatan Perhilitan Negeri Pahang.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati kaki belakang kiri gajah tersebut bengkak. Operasi diteruskan kerana terdapat seekor lagi gajah jantan dan seekor anak gajah berkeliaran di lokasi tangkapan," katanya menerusi laman sosial Facebook Jabatan Perhilitan Semenanjung itu.
Gajah denak Abot dan Rambai dibawa oleh UTG Perhilitan Pahang untuk 'menjinakkan' gajah betina liar semasa operasi penangkapan di Kampung Chebong, Jerantut itu. - Kredit foto: Bernama
Sementara itu, sumber laporan Bernama dipetik sebagai berkata, khidmat dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah digunakan bagi memindahkan gajah betina liar yang ditangkap itu dari Kampung Chebong, Jerantut.
Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, gajah itu dipercayai mula mengganggu ladang kelapa sawit di kampung tersebut sejak pertengahan bulan ini sebelum berjaya ditangkap pada Khamis 22 Oktober 2020 lalu dengan menggunakan kaedah tembakan pelali.
"Sepanjang lima hari ditangkap, gajah itu berada dalam keadaan baik cuma didapati mengalami sedikit kecederaan pada bahagian kaki kiri belakang yang didapati bengkak.
"Operasi memindahkan gajah liar itu bermula pada 9 pagi dengan kerja menembak ubat pelali sebelum Abot dan Rambai dibawa masuk ke kawasan operasi kira-kira 15 minit kemudian untuk ‘memujuk’ gajah itu menaiki lori," katanya semasa dihubungi Bernama pada Selasa, 27 Oktober 2020.
Laporan Bernama itu juga menyebut Rozidan sebagai berkata, gajah betina itu diberikan rawatan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, Terengganu.
Dua ekor gajah denak Abot dan Rambai (depan) berjaya 'menjinakkan' serta menarik gajah betina liar untuk dinaikkan ke atas lori dengan dikendalikan oleh kakitangan Unit Tangkapan Gajah Perhilitan semasa operasi pemindahan di Kampung Chebong, Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Kampung Chebong.
SYED ALLOIDIN SYED HASAN
Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Chebong/Selimbar, Syed Alloidin Syed Hasan berkata, penduduk berterima kasih kepada Perhilitan negeri dengan usaha memantau kehadiran gajah liar itu sebelum ini sehinggalah berjaya menangkapnya pada 22 Oktober 2020.
"Walau bagaimanapun, penduduk di sini masih berada dalam 'kebimbangan' kerana dua ekor lagi haiwan liar ini dipercayai gajah jantan mempunyai gading dan seekor anak masih berada di kawasan hutan berdekatan kampung ini dan menimbulkan kerisauan penduduk ketika keluar bekerja di kebun sawit dan pertanian.
"Apapun, saya berharap pihak Perhilitan dapat memastikan gajah liar ini yang 'bersembunyi' di kawasan hutan berdekatan kampung ini tidak lagi menceroboh ke kawasan kebun di sini sebelum meneruskan operasi tangkapan," katanya.
ZULKEFLY ZAADUN ZABIR
Mengulas mengenai operasi tersebut, Penghulu Mukim Tembeling Tengah, Zulkefly Zaadun Zabir berkata, pejabat penghulu mukim itu berterima kasih kepada Perhilitan yang berusaha bersungguh menangkap gajah liar itu yang sejak awal bulan ini berkeliaran di kedua buah kampung tersebut.
"Beberapa buah kampung di pesisir Sungai Tembeling di mukim Tembeling Tengah yang menjadi sasaran pencerobohan gajah liar dengan merosakkan tanaman sawit dan pertanian penduduk yang dilaporkan berlaku sejak tahun lalu.
"Saya berharap penduduk berwaspada dengan fenomena pencerobohan gajah liar ini dan segera melaporkan kepada pejabat penghulu dan Perhilitan supaya tindakan berupa langkah keselamatan dapat ditangani dengan segera," katanya. - KitaReporters
Kakitangan Unit Tindakan Gajah Perhilitan Pahang berusaha menaikkan gajah betina ke atas lori dengan dibantu dua ekor gajah denak untuk dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, Terengganu. - Kredit foto: Penduduk Kampung Chebong