SUHU panas bukan sahaja meninggalkan kesan kepada manusia semata-mata tetapi turut menjejaskan hidupan lain.
Di Gujarat, India pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengutip ratusan ekor burung setiap hari yang ‘tewas’ akibat terkesan gelombang panas haba di negara tersebut.
Kebanyakan binatang tersebut mengalami kelesuan dan kekurangan air.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan suhu panas
Pasukan doktor veterinar di sebuah hospital yang diuruskan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Ahamedabad memaklumkan, mereka sudah merawat ribuan burung sejak beberapa minggu lalu. Malah menjangkakan keadaan bakal jadi lebih parah dalam masa terdekat.
Antara burung yang berdepan situasi tersebut adalah merpati dan layang-layang.
Doktor veterinar, Manoj Bhaavsar berkata, tahun 2022 ini merupakan paling teruk terkesan sehingga ribuan burung terkesan dan perlu diberikan rawatan segera.
Katanya, situasi panas menyaksikan peningkatan 10 peratus melibatkan jumlah burung yang perlu dirawat segera kerana musim panas ini.
“Kesemua burung yang dirawat akan diberi vitamin dan air yang mencukupi,” katanya.
Katanya, situasi suhu panas menyebabkan ribuan burung-burung bertaburan di jalan raya yang mati kelesuan. Situasi berkenaan meninggalkan kesan trauma dan sangat menyedihkan.
Jabatan Meteorologi India (IMD) memaklumkan bahagian barat laut dan tengah India merekodkan suhu tertinggi bagi April 2022 dalam tempoh 122 tahun.
Menurut IMD, purata suhu maksimum pada April 2022 direkodkan pada 46 darjah Celsius sebagai yang tertinggi bagi kawasan tengah India. - KitaReporters