Sungai Kuala Jengal, Dungun,Terengganu berpotensi melimpah dan kemungkinan berlaku banjir
LEBIH 1,000 penduduk enam kampung di daerah Dungun,Terengganu diminta bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di kawasan terbabit dalam tempoh terdekat.
Peringatan itu susulan jangkaan dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bahawa berkemungkinan akan berlaku banjir.
Kampung terbabit termasuklah Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Kampung Jongok Batu, Kampung Nila, Kampung Jerangau dan Kampung Kuala Jengal yang dikatakan berisiko menghadapi bencana berkenaan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan daerah Dungun
MOHD ROSMAN ABDULLAH
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata semua aset darat dan air membabitkan lori, kenderaan pacuan empat roda dan ambulan serta bot berada dalam keadaan siap sedia.
"Aset-aset berkenaan bersedia digerakkan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan-kawasan yang dijangka terjejas terutama di Dungun khususnya sekitar Kampung Pasir Raja.
"Seramai 2,800 individu pelbagai agensi termasuk anggota (APM) Terengganu sudah bersiap sedia dengan kekuatan aset bagi menghadapi banjir gelombang ketiga yang diramalkan berlaku pada 30 dan 31 Disember 2021.
"Antara persediaan dan langkah awal perlu diambil oleh penduduk termasuk menyimpan barangan ke tempat selamat dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila air melimpah," katanya.
Tambah beliau, pihaknya berharap semua penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dengan kemungkinan banjir dan sekiranya air naik segera keluar dari rumah dan berpindah ke PPS.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Kempen Derma Darah di Hotel Rai, Kuala Terengganu pada Ahad, 27 Disember 2021.
Katanya lagi, pihak APM bersama semua agensi kerajaan sudah bersiap sedia untuk mengawal selia jika berlaku keadaan luar biasa di Sungai Dungun yang dijangka melepasi paras bahaya pada tarikh ramalan berlakunya banjir gelombang ketiga.
APM meninjau kawasan yang sering dinaiki air di Dungun
Sementara itu, berhubung Kempen Derma Darah, Mohd Rosman berkata pihaknya menyasarkan lebih 250 pek darah dapat dikumpul sepertimana kutipan yang berjaya dikumpul dalam program dalam sebelum ini.
“Apa yang dilaksanakan itu adalah sebagai tanda sokongan dan kerjasama kepada kempen murni mengumpul darah oleh Unit Tabung Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),”katanya. - KitaReporters
Anggota APM Terengganu menyertai program derma darah.