Penduduk Kampung Anak Ikan, Besut menunggu giliran menjalani saringan COVID-19
PENINGKATAN kes harian COVID-19 dalam kalangan komuniti membantut usaha Kerajaan Terengganu untuk bergerak ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sebaliknya, Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 lokaliti membabitkan tiga mukim di negeri itu bagi mengawal penularan COVID-19, bermula pada Selasa 3 Ogos 2021 hingga 16 Ogos 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan terhadap seorang kanak-kanak di Kampung Anak Ikan, Besut
Lokaliti terbabit ialah di Mukim Jabi membabitkan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan di Besut. Manakala di Dungun ia melibatkan sembilan lokaliti di Mukim Kuala Dungun iaitu Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar.
Selain itu, Mukim Sura sebanyak 11 lokaliti terlibat dengan pelaksanaan PKPD iaitu Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata, PKPD di kesemua lokaliti tersebut dilaksanakan setelah kerajaan meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan menilai risiko serta trend jangkitan COVID-19.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata demikian dalam kenyataan media mengenai PPN dan PKPD, pada Ahad 1 Ogos 2021.
Pelaksanaan PKPD tersebut adalah untuk mengawal pergerakan penduduk dan mengurangkan jangkitan dalam komuniti.
Katanya,
PKPD akan memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penduduk di 21 lokaliti tersebut.
"Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.” tambahnya.
Polis menutup laluan masuk ke Perumahan PAKR Anak Ikan, Besut
Sementara itu, kira-kira 500 penduduk Kampung Anak Ikan, dekat Jertih, Besut, diarah menjalani ujian saringan COVID-19 selama dua hari bermula Isnin, 2 Ogos 2021 bagi mengesan kemungkinan berlakunya jangkitan pandemik tersebut.
Ia susulan kedudukan kampung tersebut berjiran dengan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan yang dikenakan PKPD bermula 3 Ogos 2021.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi Dr Azman Ibrahim berkata, ujian saringan bersasar tersebut yang diadakan di Dataran Masjid Kampung Anak Ikan membabitkan 250 penduduk pada Isnin, manakala selebihnya pada Selasa 3 Ogos 2021. - KitaReporters
Dr Azman Ibrahim