Alam & Sains 06 May, 2022

Gangguan bekalan air musim perayaan! Ranhill SAJ laksana tiga projek naik taraf! Siap Jan 2023!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Isu gangguan bekalan air setiap kali menjelang musim perayaan di Labis serta kawasan sekitarnya sudah berlarutan beberapa tahun. 

ADUN Tenang, Haslinda Salleh mendengar penjelasan Pengurus Operasi Ranhill SAJ Segamat, Khairul Nizam Pardi mengenai masalah gangguan bekalan air ketika musim perayaan di Labis.


MASALAH gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan Labis, Johor dan sekitarnya setiap kali musim perayaan bukan perkara baharu, malah sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Dakwaan sesetengah pengguna di kawasan terbabit kononnya masalah tersebut tidak diberi perhatian oleh pemimpin setempat serta pihak berwajib ketika ini adalah sesuatu yang tidak tepat dan tidak benar.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menjelaskan bahawa masalah tersebut merupakan antara keutamaan untuk diselesaikan oleh beliau dan ADUN Bekok, Tan Chong memandangkan kawasan terlibat terletak di kedua-dua DUN tersebut.

ADUN Tenang, Haslinda Salleh (kanan) dan ADUN Bekok, Tan Chong (kiri) bekerja sama dalam usaha menangani masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan di Labis.

Katanya, masalah tersebut antara lain berpunca daripada  peningkatan pengunaan air yang mendadak pada  musim perayaan ekoran jumlah penduduk kota yang pulang ke kampung pada musim perayaan

"Maklum balas pihak Ranhill SAJ bahawa pihaknya telah berusaha meningkatkan pengeluaran loji rawatan air (LRA) Ayer Panas yang menjadi sumber bekalan air bersih ke tahap maksimum bagi menampung peningkatan  pengunaan air pada musim perayaan ini. Namun gangguan bekalan elektrik yang berlaku bermula pukul 1 hingga 4 petang 4 Mei 2022 sedikit sebanyak telah menjejaskan usaha tersebut.

"Selain itu SAJ juga telah mengerakkan bantuan air melalui lori-lori tangki bermula awal pagi hingga lewat malam pada tarikh tersebut di kawasan terjejas, namun usaha tersebut tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan kawasan terlibat agak luas," katanya.


Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Panas C sudah hampir siap.

Menurutnya, memandangkan masalah tersebut sudah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan, beliau juga  telah mengambil inisiatif membincangkan isu berkenaan pihak berwajib iaitu Ranhill SAJ Segamat pada 17 March 2022 lalu bagi mengenal pasti punca masalah.

Haslinda menjelaskan, pihak Ranhill SAJ turut memaklumkan berikutan berlaku peningkatan pengunaan setiap kali musim perayaan, terdapat keperluan menaik taraf sistem bekalan air di kawasan Segamat Selatan melalui pembinaan infrastruktur yang sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran kepada 26 juta liter sehari (MLD) di LRA Ayer Panas C berbanding 11 MLD ketika ini.


Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Panas C yang menjadi sumber bekalan air bersih bagi kawasan Labis serta kawasan sekitarnya.

Katanya, selain kerja-kerja menaik taraf LRA tersebut, turut dilaksanakan adalah pemasangan paip bersaiz 350mm sepanjang 6.5 kilometer bermula dari Chaah ke Desa Temu Jodoh serta pembinaan tangki air baharu berkapasiti 4.5 MLD di Labis yang sedang giat dilaksanakan yang dijangka dapat mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih di kawasan Labis apabila siap sepenuhnya  nanti

Semua projek yang sedang dilaksanakan ini dijangka siap menjelang Januari 2023

Ini bermakna selain jumlah pengeluaran yang semakin bertambah dengan ketara serta kewujudan tangki air baharu di Labis nanti bermakna usaha membekalkan air bersih kepada pengguna di kawasan terbabit tidak lagi hanya bergantung kepada dua tangki sedia ada yang hanya mampu menampung jumlah 3.18 MLD sahaja ketika ini.


Lori tangki digunakan untuk membekalkan air bersih kepada penduduk Felda Chemplak Barat pada 4 Mei 2022.

Jelas Haslinda lagi, ketika ini tangki pertama berkapasiti 0.91 MLD membekalkan air ke kawasan Jalan Muar hingga ke Felda Chemplak Barat sementara tangki kedua dengan kapasiti 2.27 MLD pula meliputi kawasan pekan Labis serta kawasan sekitar hingga ke Tenang Stesen.

"Usaha yang dilakukan itu jelas menunjukkan isu gangguan bekalan air merupakan isu yang mendapat perhatian semua  pihak sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya masalah tersebut  tidak diberi perhatian selama ini.

"Saya harap pengguna bersabar dan memahami situasi yang berlaku kerana sebarang  usaha  yang dilakukan termasuk perancangan jangka panjang tidak mampu menyelesaikan masalah dalam sekelip mata dan sudah pasti memerlukan sedikit masa memandangkan banyak perkara yang perlu diperhalusi selain memerlukan peruntukan yang besar," katanya. - KitaReporter


Haslinda Salleh bersama Khairul Nizam Pardi selepas berbincang mencari jalan mengatasi masalah gangguan bekalan air ketika musim perayaan di Labis.

15
12
0
14
0
You will be interested