Alam & Sains 05 May, 2021

Berita Terkini| PKP di Kuala Lumpur, beberapa daerah di Johor, Perak, Terengganu! 7 hingga 20 Mei

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

PELAKSANAAN PKP dilakukan bagi memudahkan KKM menjalani ujian saringan besar-besaran. Kredit Foto tripcarte.asia


KERAJAAN memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula Jumaat, 7 Mei sehingga 20 Mei 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dilaksanakan selepas meneliti pembentangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan terdapat 17 kluster baharu direkodkan di ibu kota dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP Kuala Lumpur sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Antara SOP yang ditetapkan ialah pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan, kecuali atas urusan kerja dan kecemasan.

"Premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kios dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 12 tengah malam sahaja.

"Selain itu, bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat, namun keputusan untuk meneruskan ataupun menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur pada Rabu, 5 Mei 2021.

Pada masa yang sama, PKP juga dilaksanakan di beberapa daerah di Johor, Terengganu dan Perak pada tarikh yang sama dilaksanakan di Kuala Lumpur.

Ismail berkata, pelaksanaan PKP di Johor membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi, manakala 14 mukim dalam daerah Besut kecuali Mukim Hulu Besut di Terengganu dan Mukim Taiping, daerah Larut, Matang dan Selama di Perak. 

Bagi PKP di tiga daerah di Johor ia dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kes aktif adalah tinggi dengan kebanyakan kes adalah sporadik dalam komuniti.

"Selain itu, ketiga-tiga daerah ini berstatus zon merah dengan jumlah kes tinggi melebihi 150 kes, manakala kapasiti hospital dan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 70 peratus," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP bagi memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran selain menyekat penularan jangkitan ke luar lokaliti ini selain memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan dijalankan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

ISMAIL berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi PKP Kuala Lumpur sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

0
0
4
0
0
You will be interested