Alam & Sains 01 Jul, 2020

Terbaik Suhaimi Ali! Mural wira COVID-19 tanda penghargaan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this

Penularan pendemik COVID-19 yang diikuti dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meninggalkan pelbagai kenangan pahit dan manis kepada seluruh rakyat negara ini sama ada kehilangan ahli keluarga, pengalaman duduk di rumah, tidak dapat menjalankan aktiviti termasuk solat Jumaat malah ada yang kehilangan pekerjaan. Maka, daripada krisis ini, muncullah "wira-wira negara" yang boleh dijadikan ikon. : KitaReporters 

Suhaimi Ali sedang melakukan sentuhan pada mural wajah tokoh negara di Taman Cahaya Alam, Shah Alam, Selangor.


Dalam tempoh PKP sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pergerakan harian terbatas sebahagian masyarakat dan individu melakukan kerja-kerja mengikut norma baharu yang sebelum ini jarang dilakukan orang ramai.

Kehadiran krisis wabak berkenaan juga turut mengangkat beberapa ketua kerajaan, pemimpin negara, ketua jabatan dan barisan hadapan (frontliners) yang dilihat rakyat terbabit secara langsung dalam usaha menangani krisis berkenaan secara berperingkat-peringkat. 

Sudah tentu tokoh utama negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah adalah antara kenamaan yang menjadi kebanggaan rakyat. 

Suhaimi melakukan kerja-kerja melukis mural tokoh negara bagi memperingati penularan wabak COVID-19


Sebab itu, tidak hairanlah ada orang seni yang tampil menghambakan diri untuk mengabadikan kenangan kepada tokoh-tokoh terbabit dalam bentuk karya menerusi lukisan mural sebagai menghargai jasa, malah ada yang mengelarkan mereka sebagai “Wira Negara”.

Seorang pelukis mural yang merupakan anak kelahiran Terengganu, yang dikenali sebagai Suhaimi Ali mempunyai cara tersendiri untuk berbakti kepada negara apabila dia mengambil kesempatan untuk melukis mural kenamaan terbabit sebagai tanda kenangan dan penghargaan untuk semua rakyat Malaysia.

Suhaimi Ali, pelukis mural berasal dari Terengganu


Suhaimi anak kelahiran, Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu dan kini tinggal di Shah Alam, Selangor, sememangnya mempunyai kemahiran dalam bidang lukisan mural, yang mana sudah banyak karyanya dihasilkan dalam lelbagai bentuk mengikut situasa semasa.

Bagaimanapun lukisan mural pemimpin negara yang bertungkus lumus menghadapi krisis wabak COVID-19 mendapat sambutan dan penghargaan apabila beliau berkongsi pengalaman menerusi catatan Facebook miliknya Suhaimi Ali.

Suhaimi berkongsi kegembiraan melukis mural menerusi Facebook miliknya.


Orang ramai yang ingin melihat secara lebih dekat hasil lukisan Suhaimi boleh melihat sendiri wajah-wajah kesayangan rakyat di Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor (Belakang Restoran Maju).

Berkelulusan Seni Lukis Dan Seni Seni Reka, Universiti Teknologi Malaysia (UITM) Shah Alam, Selangor, memang selayaknya Suhaimi menggunakan kemahiran yang ada untuk menarik minat orang ramai menghayati hasil seni yang diusahakan sebagai kenangan negara  menghadapi COVId-19.

Suhaimi berehat di tengah-tengah lukisan Yang Dipertuan Agong dan Datuk Noor Hisham 


Malah, lokasi tersebut pastinya bakal menjadi tumpuan orang ramai yang ingin bergambar bersama karya  yang memaparkan sebahagian daripada lipatan sejarah negara. 

“Alhamdulillah, terima kasih rakyat Ganu..support saya, dan kawan2. Terima kasih semua. 

"Semoga rezeki anda murah sentiasa Amin,”  itulah antara coretan Suhaimi dalam Facebook merujuk kepada sokongan netizen terhadap hasil karyanya. - KitaReporters

 

13
3
1
0
0
You will be interested