
Staf Perbadanan Putrajaya turut turun padang bagi memeriahkan Kempen BeST@Putrajaya.
PERBADANAN Putrajaya (PPj) memandang serius peningkatan jumlah gagak di pusat pentadbiran negara itu terutama di kawasan komersial dan premis makanan, sekali gus memberi gambaran negatif mengenai pencemaran sampah dan tahap kebersihan yang belum memuaskan.
"Ya, banyak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan drastik menembak gagak kerana itu cara paling cepat "membunuh" burung yang dianggap pengotor dan memakan bangkai di kawasan mereka.
"Tapi, PPj belum terfikir menghapuskan haiwan itu dengan menembak kerana masih ada kaedah lain yang lebih praktikal" kata Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud sempena Kempen BeST@Putrajaya di Pusat Komersial Presint 9, Putrajaya.

Fadlun memeriksa saliran longkang di kawasan komersial Presint 9 bagi memastikan ia dibersihkan pemilik dan PPj.
Beliau berkata, antara langkah yang sudah dan akan diambil ialah memangkas serta memotong dahan atau ranting-ranting yang menyebabkan pokok di sekitar Putrajaya terlalu merimbun sehingga menjadi lokasi sesuai gagak membuat sarang.
"PPj memang ada melakukan usaha itu tapi saya mengakui tindakan itu belum berjaya sepenuhnya bagi menghapuskan gagak seratus peratus, cuma bilangannya berkurangan.
"Jadi, kami akan berbincang untuk melakukan langkah-langkah lain, tidak semestinya menembak.
"Saya mengakui menembak salah solusi paling drastik tapi kita mahu melihat kaedah lain lebih praktikal. Insya-Allah ia antara usaha kita memastikan jumlah haiwan itu dihapuskan sepenuhnya. PPj akan melihat langkah-langkah mana paling sesuai," katanya.

Fadlun berjumpa secara bersemuka dengan pemilik restoran bagi memastikan mereka peka penjagaan kebersihan di premis mereka.
Mengenai tikus pula, katanya usaha PPj meletak sejenis racun memang berkesan kerana haiwan itu akan membawa balik racun ke sarangnya sehingga membunuh seluruh koloni makhluk pembawa penyakit itu.
"Kami pernah melakukan cara itu di Presint 15 yang mempunyai banyak restoran dan premis makanan, hasilnya amat memuaskan.
"Walaupun haiwan itu masih ada, populasinya tidak membimbangkan, cuma pemilik premis dan orang ramai perlu memastikan tiada sisa makanan dibuang yang boleh menarik minat tikus hadir di kawasan terbabit," katanya.

Sementara itu, Kempen BeST@Putrajaya (Bersih Setiap Tempat) yang diadakan sejak tiga tahun lalu adalah inisiatif PPj bersempena "Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 2025" Peringkat Kebangsaan dan Negeri yang diadakan pada 15 Jun sehingga 14 Julai 2025.
Beliau berkata, program itu bagi menyemarakkan semangat komuniti dan pengunjung memelihara kebersihan melalui pendekatan libat urus bersama pemilik premis perniagaan, aktiviti plogging, pencucian saliran longkang, serta penyediaan perkhidmatan khas oleh Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj.

Murid Sekolah Kebangsaan Presint 9 (2) turun padang bagi memastikan kawasan komersial di Putrajaya kekal bersih.
"Program BeST@Putrajaya mendapat kerjasama strategik SWCorp, Alam Flora Sdn. Bhd selain wakil komuniti, pemilik premis perniagaan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Sekolah Kebangsaan Presint 9 (2) yang turun padang bagi memastikan kawasan komersial kekal bersih.
"Kita mahu memastikan kebersihan di Putrajaya di tahap tertinggi selaras visi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa iaitu CHASE CIty (Bandar CHASE) yang memberi fokus kepada Clean, Healthy, Advanced, Safe, Eco‑friendly (Bersih, Sihat, Maju, Selamat, Mesra Alam).
"Ia juga adalah inisiatif bandar pintar yang diperkenal Kerajaan Persekutuan untuk memacu pembangunan bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam di Wilayah Persekutuan seperti Putrajaya.

Ahli Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (PROCJAYA) turut hadir bagi memberi sokongan sempena Kempen BeST@Putrajaya.
"Kita juga mahu memacu Putrajaya sebagai model bandar contoh yang menekankan rakyat dan kecekapan, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Melalui program itu, pihaknya berjumpa dan memberi penerangan secara bersemuka kepada pemilik restoran, kedai makan, kedai runcit dan pasar raya mini.
"Ini bagi memastikan mereka menjalankan usaha-usaha pembersihan kerana jika premis mereka bersih, kita dapat menghapuskan makhluk perosak seperti tikus, lipas, gagak. Malah, jumlah pelanggan mereka pasti bertambah.

Fadlun mahu memastikan kebersihan di Putrajaya di tahap tertinggi selaras dengan visi CHASE City.
"Kita juga meninjau sistem perparitan, yang belum dibersihkan, kita akan minta pemilik dan pihak bertanggungjawab bersihkan. Ini bukan program bermusim tapi sepanjang masa.
"Saya sangat peka mengenai kebersihan premis di PPJ terutama kehadiran tikus. Jika kebersihan tidak dijaga, mereka akan menjadikan kawasan di sekitar premis komersial tempat tinggal mereka," katanya.
Beliau berkata, Program BeST itu akan diteruskan ke kawasan komersial lain dan ia juga sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 kerana Putrajaya akan menerima kehadiran ramai pelancong dari dalam dan luar negara. - KitaReporters
