Kredit foto: FB Dr Noor Hisham Abdullah
PERTAMBAHAN kes dari sehari ke sehari sangat mendebarkan rakyat walaupun pemberian vaksin telah mula diagihkan kepada masyarakat.
Namun hari ini tidak semua yang berpeluang dan masih ramai lagi yang menunggu nama dipanggil untuk janji temu bagi diberikan suntikan vaksin.
Keadaan sama turut berlaku kepada semua peniaga Pasar Moden Seksyen 16, Shah Alam di Selangor yang merayu agar dipercepatkan pemberian vaksin kepada para peniaga basah tersebut supaya mereka dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Shah Alam
PENIAGA Pasar Moden Seksyen 16, Shah Alam merayu kepada pihak berkuasa untuk menyegerakan pemberian vaksin supaya peniaga dan penduduk dapat kembali menjalani kehidupan normal.
Pemangku Pengerusi Persatuan Pasar Moden Seksyen 16 Shah Alam, Radzuan Sulaiman, 43, berkata, sebelum ini pasar berkenaan terpaksa ditutup berikutan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.
Katanya, penutupan segera pasar tempat mereka mencari rezeki seperti mimpi ngeri kepada semua peniaga di pasar berkenaan kerana bukan sahaja kerugian selepas berbelanja besar membeli bahan mentah untuk dijual tetapi juga pening memikirkan kelangsungan hidup.
Radzuan Sulaiman berharap pihak kerajaan memberi segera vaksin kepada golongan peniaga yang terdedah kepada risiko Covid-19.
"Kami tiada pilihan lain terpaksa patuh lagipun ini melibatkan soal nyawa, namun dalam masa sama kami turut memikirkan keadaan kami untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Sehubungan itu kami berharap dapat menyegerakan pemberian vaksin untuk kami kembali mencari rezeki demi kelangsungan hidup," ujarnya.
Katanya apabila pemberian vaksin kepada peniaga diberikan ia sekali gus menyebabkan pembeli tidak takut untuk berbelanja di pasar.
PENIAGA kerugian sekitar RM1,000 hingga RM3,000 selepas notis penutupan pasar dikeluarkan segera.
Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali Ahmad berkata dia berdepan dengan kerugian RM1,000 apabila pihak berkuasa mengeluarkan arahan supaya menutup operasi pasar serta merta (pada 13 Jun 2021 lalu).
Katanya, sehari sebelum notis penutupan pasar dia telah membelanjakan RM1,000 untuk membeli barangan untuk jualan di lot kedai miliknya.
"Semua itu barang basah dan tidak boleh disimpan dalam tempoh lama, jadi barang itu menjadi busuk dan terpaksa dibuang begitu saha," ujarnya yang sedih keadaan menimpa dirinya dan beberapa peniaga di pasar basah berkenaan.
Katanya, kerugian itu disebabkan dia telah menggunakan modal berkenaan untuk membeli barangan untuk dijual di kedai miliknya.
Penjual sayur itu berkata, bukan dia seorang berdepan dengan kerugian malah semua peniaga di situ rata-rata kerugian apabila barang jualan menjadi busuk menyebabkan terpaksa dibuang begitu sahaja.
"Ini kali pertama berlaku dalam hidup saya menyebabkan semua rugi sepanjang menjadi peniaga.
"Saya bukan mahu menyalahkan pihak berkuasa namun sangat berterima kasih kerana membantu menyelamatkan nyawa kami semua tetapi turut berharap suaya dipercepat mendapat vaksin dan kembali berniaga semula.
Lebih menyedihkan apabila melibatkan rakan-rakan yang berniaga ikan dan daging, semua modal yang dikeluarkan besar dan terpaksa dibuang begitu sahaj kerana sudah rosak dan busuk.
Sehubungan itu, Ahmad merayu kepada pihak berkuasa untuk mempercepatkan pemberian vaksin.
"Bukan kami tidak boleh sabar tapi bantulah kami, ini sahaja kami perlu memandangkan inilah punca pencarian pendapatan kami semua.
"Fahamilah kami, anak di rumah perlu makan. Jika kami tidak berniaga di mana lagi kami mahu mencari rezeki," ujarnya.
Katanya, keadaan ini jika berpanjangan akan menyebabkan para peniaga Pasar Moden Seksyen 16 Shah Alam itu kerugian lagipun hanya ini sahaja punca pendapatan mereka semua. - KitaReporters
Kredit foto: FB Majlis Bandaraya Shah Alam