ANGGOTA tentera berkawal di Dataran Pahlawan yang lenang di ibu negara Hungary, Budapest, ketika lockdown dikuatkuasakan dahulu untuk mengekang penularan Covid-19. - Kredit foto: Reuters.
“Selamat tinggal pelitup muka”. Ucapan yang pastinya menggembirakan penduduk Hungary ini diluahkan oleh Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, pada 23 Mei 2021. Tiada lagi keperluan memakai pelitup muka di tempat awam di negara itu. Pelbagai sekatan yang dikenakan sebelum ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 juga dilonggar atau ditarik balik.
Hungary mengambil langkah berani ini setelah Orban mengisytiharkan negara itu berjaya mengekang gelombang ketiga pandemik tersebut dan setelah lima juta atau hampir 65 peratus penduduk negara itu menerima suntikan vaksin. Hungary mempunyai 7.8 juta penduduk.
Di samping tiada lagi pelitup muka, penjarakan fizikal juga sudah diketepikan. Orang ramai bebas keluar berkumpul atau menjamu selera beramai-beramai di tempat makan tertutup atau terbuka.
Lagi cerita-cerita berkaitan
PENDUDUK Hungary bersantai di hadapan sebuah bar setelah negara itu mengisytiharkan bebas daripada gelombang ketiga Covid-19. - Kredit foto: Reuters.
Perintah berkurung pada waktu malam yang dikenakan sebelum ini juga ditarik balik. Premis bisnes pula boleh dibuka tanpa had waktu ditetapkan, sebaliknya menurut budi bicara pemilik premis. Kegiatan sukan di tempat awam juga kembali dibenarkan, baik secara individu atau berpasukan.
Memetik eureporter, Orban dalam siaran radio ke seluruh negara memaklumkan, pemakaian pelitup muka di tempat awam bukan lagi wajib. Perhimpunan hingga 500 orang dibenarkan di tempat terbuka sementara acara di tempat tertutup hanya dibenarkan kepada pemegang kad suntikan vaksin.
Acara persendiran dan keluarga juga kembali dibenarkan hingga 50 orang untuk majlis keluarga dan hingga 200 orang untuk majlis perkahwinan.
Untuk rekod, pemakaian pelitup muka diwajibkan kepada semua penduduk Hungary mulai November 2020 dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Dengan perisytiharan ini juga sebahagian besar industri perkhidmatan Hungary mula beroperasi semula seperti hotel, restoran, spa, teater, pawagam, gimnasium serta tempat bersantai dan berhibur lain.
Untuk memastikan rentak ‘kebebasan’ ini bertahan, Orban meminta rakyat negara itu yang masih belum mendapat suntikan agar segera mendapatkannya bagi melindungi diri dan dan memastikan pandemik terus dapat dikekang.
Hungary merupakan satu-satunya negara Kesatuan Eropah (EU) yang meluluskan penggunaan vaksin keluaran Rusia dan China dalam kuantiti yang banyak tanpa menunggu pemeriksaan dan kelulusan Agensi Perubatan Eropah.
Langkah ini membolehkan Hungary muncul antara negara yang mencatatkan jumlah vaksinasi tertinggi di EU dengan lebih separuh daripada penduduknya telah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama.
TIADA lagi pelitup muka, tiada lagi penjarakan fizikal. Penduduk Hungary kini bebas berkumpul dan bersantai di tempat terbuka. Orang ramai bersantai di Dataran Erzsebet, Budapest. - Kredit foto: newscaf.cgtn.com
Selepas ini Hungary tidak akan menyertai EU dalam program mendapatkan bekalan vaksin kerana negara itu telah mendirikan kilang vaksinnya sendiri di Debrecen, di timur negara itu. Kilang ini dijangka beroperasi akhir 2022.
Pada masa sama,
negara itu juga mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi bagi memenuhi keperluan
sehingga 2022 apabila kilang miliknya siap.
Hungary turut merasai
kesan ekonomi global akibat Covid-19 dengan sektor ekonominya merosot lima
peratus tahun lalu. Bagaimana pun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) tahun ini dijangka melepasi jangkaan kerajaan sebanyak 4.3 peratus.
Pasti seronok mendengar Hungary berjaya mengekang gelombang ketiga Covid-19 dan negara itu hampir bebas sepenuhnya daripada pandemik tersebut.
Semoga ini menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk "lindungi diri, lindungi semua". “Kita jaga kita” dan patuhilah prosedur operasi standard (SOP) serta ambillah suntikanvaksin. Insya-Allah Malaysia boleh menurut jejak Hungary. - KitaReporters.com
Hungary merupakan satu-satunya negara Kesatuan Eropah (EU) yang meluluskan penggunaan vaksin keluaran Rusia dan China dalam kuantiti yang banyak tanpa menunggu pemeriksaan dan kelulusan Agensi Perubatan Eropah. - Kredit foto: Al Jazeera