MALANG berganda menimpa seorang wanita dari wilayah Chaiyaphum, Thailand yang baru saja sembuh dari jangkitan pandemik Covid-19, apabila didapati dijangkiti wabak itu sekali lagi, dua minggu kemudian. Menurut portal berita The Nation Thailand, wanita berusia 38 tahun itu disahkan positif Covid-19 buat kali pertama selepas pulang dari luar negara pada awal Mac.
Kredit foto: benarnews.org
The Nation Thailand pada Khamis, 9 April 2020 melaporkan wanita berkenaan dirawat di Hospital Phyathai 2 di Bangkok dan disahkan sembuh dari wabak itu dan dibenarkan keluar dari hospital kira-kira dua minggu setelah itu.
Kesemua kontak rapat wanita itu juga turut dipanggil untuk menjalani ujian pengesanan semula.
Difahamkan, itu kes kedua jangkitan berulang Covid-19 yang dikesan berlaku di Thailand. Satu lagi kes membabitkan pesakit lelaki berusia 42 tahun yang disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Qatar.
Setakat tengah hari Jumaat, 10 April 2020, Thailand telah merekodkan 2,473 kes positif Covid-19, manakala angka kematian akibat pandemik tersebut tercatat sebanyak 33 orang. - KitaReporters
Kredit foto: IG https://twitter.com/BKKIVF