ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan sekeras-kerasnya pesanan nota suara yang tular dalam media sosial yang mengatakan pasukan pertahanan itu dibenarkan untuk memukul mana-mana orang awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. : KitaReporters
Pesanan nota suara (voice mail) yang tular itu dikatakan tidak menunjukkan kerjasama yang akan diberikan oleh ATM untuk membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal PKP seperti yang telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata masyarakat diingatkan agar memberhentikan penyebaran maklumat palsu itu serta-merta sebelum tindakan drastik boleh diambil.
“ATM menafikan sekeras-kerasnya bahawa rakaman nota suara dan mesej informasi (anggota tentera diberi kuasa pukul orang awam dan memohon bantuan veteran ATM) adalah menggambarkan kaedah yang diguna pakai oleh ATM dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguat kuasa PKP.
“Masyarakat diminta berhenti menyebarkannya serta-merta kerana mesej atau informasi itu boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat.
"Mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
"Masyarakat juga tidak perlu bimbang melihat kehadiran tentera semasa Kawalan Pergerakan dilakukan," tegasnya melalui sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, 21 Mac 2020.
Bagaimanapun, kata Jeneral Affendi, ATM masih menjalankan diplomasi terpuji dan tidak mengetengahkan aspek kekerasan terhadap mana-mana orang awam yang masih berdegil.
Pada Jumaat, 20 Mac 2020, kerajaan mengumumkan ATM akan dikerahkan untuk sama bertugas bagi membantu polis dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Ahad, 22 Mac 2020.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Menteri Pertahanan, meskipun anggota tentera digerakkan, namun ia bukan bermakna situasi darurat di negara ini. - KitaReporters