Alam & Sains 14 Aug, 2021

Video| Ada bilik khas simpan koleksi HW! Hobi mahal Mohd Nazim! Ada yang berharga RM15k sebiji!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Antara koleksi Hot Wheels milik Mohd Nazim Badruddin.


APAKAH hobi anda? Adakah ia hobi yang mahal, murah atau tidak memerlukan sebarang kos, cuma kreativiti sahaja? Tidak kira mahal atau murah, hobi boleh dianggap sebagai terapi jiwa bagi sesetengah orang

Dalam keadaan pandemik yang tidak tahu bila akan berakhir, terapi jiwa seperti ini sangat diperlukan agar dapat mengurangkan tekanan yang ditanggung.

Bagi Mohd Nazim Badruddin, 44, atau lebih dikenali sebagai Gigs Hokwil dalam kalangan rakan-rakan sehobi, minatnya terhadap kereta mainan jenama Hot Wheels (HW) bukan sekadar hobi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hobi

Mohd Nazim bergambar bersama Ketua Pereka Grafik HW dan Pengarah Seni untuk semua produk premium dan pengumpul, Steve Vandervate.


Ayah kepada seorang anak yang menetap di Seri Kembangan, Selangor ini tidak menyangka hobi mengumpul kereta mainan HW yang pada mulanya sekadar suka-suka dan mencari hobi murah bertukar menjadi sebaliknya.

“Pada mulanya saya sekadar nak cari hobi yang kononnya murah, mudah dibeli dan tak perlu penjagaan rapi seperti pelihara binatang. Tapi apabila nak masuk scene HW, ia bukanlah murah seperti yang disangka,” ujarnya membuka cerita detik permulaan berjinak dengan hobinya ini.

Walaupun menyedari hobi tersebut memerlukan modal yang tinggi, namun kecintaan terhadapnya membuatkan dia tekad untuk meneruskannya. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Sekali jatuh cinta, lautan api sanggup diredah.

Menurut Mohd Nazim, kini dia mempunyai koleksi HW lebih kurang 3,000 biji dan paling mahal mencecah belasan ribu ringgit. Satu angka yang boleh membuatkan mulut anda terlopong!


Item paling mahal, Datsun Bluebird 510 Party Car bernilai RM15,000 sebiji.


Namun, mainan ini tidak semuanya mahal kerana paling murah ada yang tidak sampai RM10 pun.

“Saya mempunyai koleksi HW lebih kurang 3,000 biji dan paling mahal yang ada dalam simpanan saya berharga RM15,000 sebiji. Harganya mahal kerana keluarannya hanya 5,000 biji dalam dunia dan nombor sirinya 00003/05000. Manakala paling murah yang saya ada berharga RM8 beli di pasar raya tempatan,” ceritanya.


Item ini juga bernilai RM15,000 setiap satu.


Dalam banyak HW, pasti ada satu yang paling disayangi dan sukar didapati. Menurut Mohd Nazim, ada satu HW yang paling disayangi kerana itulah detik permulaan dia membeli mainan tersebut dengan harga yang mahal.

“Paling sayang Datsun BRE 510 kerana ia item pertama paling mahal yang saya beli waktu itu harganya RM1,300 seunit. Sekarang harganya RM4,000 seunit,” katanya.

Hobi bukan sekadar hobi kerana ia juga memerlukan kesungguhan dan tahap kerajinan yang tinggi. Sementelah kalau hobi tersebut melibatkan benda yang mahal dan memerlukan penjagaan rapi.



Inilah bilik khas menempatkan koleksi HW milik Mohd Nazim.


Bagi Mohd Nazim, koleksi HW dijaganya begitu rapi agar tidak rosak. Ada yang disimpan di dalam kotak dan ada juga yang dipamerkan. Tertanya-tanya juga, bagaimana reaksi isterinya, Sharini Sharif mengenai hobi mahalnya itu.

Menurut Mohd Nazim, dia bersyukur kerana isterinya tidak menghalang.

“Isteri takde masalah sebab dia tahu duit tak dihabiskan pada benda tak berfaedah. Kadangkala saya juga jual HW dan dapat keuntungan daripada situ,” jelasnya.

Oleh kerana HW adalah benda kecil yang mudah hilang, bagi memastikan keselamatannya, Mohd Nazim menyediakan bilik khas dengan sedikit peraturan.


Dilarang masuk! Bilik khas ini tidak dibenarkan sewenang-wenangnya masuk tanpa kebenaran.


Malah, dia bersyukur anaknya faham dan tidak sesekali masuk ke situ tanpa kebenaran.

“Saya memang ada dua bilik khas simpanan HW. Bilik ni dilarang masuk tanpa kebenaran dan anak faham perkara tersebut. Koleksi ini ada yang saya jual dan ada yang tidak dijual,” akhirinya.

Mohd Nazim juga merupakan Vice President Indie Hotwheelers Malaysia dan founder bersama TT Havoc dan Havoc The Grand (tempat jualan HW)

Semoga hobi ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengisi masa lapang mereka dan sebagai terapi minda. - KitaReporters



Kerana minat, Mohd Nazim sanggup berhabisan wang ringgit untuk mendapatkan koleksi yang disukainya.

2
0
0
0
0
You will be interested