Alam & Sains 16 Sep, 2023

Penderma organ dari Kelantan terendah? Isu agama dikatakan punca? Perlu cetus pemahaman, kesedaran!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Memetik laporan oleh beberapa media utama seperti portal Harian Metro berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkenaan peratus penderma organ dari Kelantan paling rendah berbanding negeri lain adalah disebabkan isu agama.

Keadaan itu berbeza kerana permintaan daripada mereka yang memerlukan organ adalah sangat tinggi.

"Sehingga kini, kadar pengikrar kita untuk menderma organ hanya 0.4 peratus daripada jumlah populasi penduduk di Kelantan seramai 3 juta.

"Kelantan merekodkan peratusan paling rendah berbanding negeri lain. Malah, sejak 1976 hingga kini, hanya tiga orang penderma dari penduduk di Kelantan.

"Yang pertama adalah kesedaran masyarakat sendiri, selain persepsi mereka yang kebanyakannya mengatakan jika pendermaan dilakukan akan menyeksa mayat.

"Faktor lain adalah isu agama di mana waris yang tidak mahu melengahkan urusan jenazah,” katanya memetik laporan daripada portal Harian Metro bertarikh 12 September 2023.



Isu pendermaan organ pernah diulas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini. Ia diulas secara terperinci dalam website mereka pada tahun 2015. Kemudian pada tahun 2019 ia dikemas kini sekali lagi.

Mungkin masih ada yang tidak tahu apa itu pendermaan organ. Pendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut.

Selepas transplantasi (pemindahan) organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan dan hidup dengan kualiti yang lebih baik.



Isu pendermaan organ

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23-24 Jun 1970 telah membincangkan berkaitan pemindahan jantung dan mata. 

Persidangan ini telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambil kira:

  • Dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
  • Dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
  • 3Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
  • 4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota dalam kematian biasa atau daripada kaum keluarga atau keluarganya dalam kematian akibat kemalangan.
  • 5. Pemindahan organ juga dibenarkan bagi memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia yang merupakan salah satu daripada tuntutan maqasid al-syariah (objektif syariah). 

Ia berasaskan kepada beberapa sumber seperti firman Allah SWT bermaksud: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”  Surah al-Baqarah (185).

Justeru, dapat disimpulkan setelah meneliti isu-isu dan masalah yang telah dikemukakan, pendermaan organ dan tisu adalah harus dan amat digalakkan.

Apatah lagi dengan perkembangan teknologi dan penemuan perubatan masa kini, maka Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat perlunya diperluas organ-organ yang boleh didermakan seperti buah pinggang, jantung, hati (heper), paru-paru dan pankreas. - KitaReporters


 

11
11
0
14
0
You will be interested