Alam & Sains 27 Sep, 2023

Video| Tahniah SMK St Anthony, Sarikei! Johan DIY Made Simple! Jumlah 439 penyertaan dari 180 sekolah!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Pasukan projek yang terdiri daripada lima ahli dari SMK St. Anthony, Sarikei, Sarawak dinobatkan sebagai juara ‘DIY Made Simple’, satu pertandingan tahunan sengit yang melibatkan 439 penyertaan dari 180 buah sekolah di seluruh negara yang bersaing untuk merebut anugerah tertinggi ini. 

Tema tahun ini, 'Membaharui Sisa, Menangani Kos Hidup', menyeru para pelajar untuk meningkatkan kemudahan sekolah dengan menggunakan bahan sisa dengan bijak bagi mengurangkan kos dan menggalakkan kelestarian. 

Ia juga menekankan integrasi prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus), terutama aspek alam sekitar.

'ET Block' ciptaan SMK St. Anthony menampilkan sebuah 'kerusi' mesra alam, tahan lama, dan kos rendah yang diperbuat daripada bekas menyimpan telur, kain kitar semula, plastik, dan kepingan kayu, direka untuk melengkapi kemudahan sekolah dan meningkatkan pengalaman pembelajaran murid-murid mereka.

‘DIY Made Simple’ adalah satu pertandingan tahunan di seluruh negara yang dianjurkan bersama oleh peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan Mr DIY (M) Berhad (Mr DIY), dan Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares) dan Fakulti Alam Bina UM, dengan sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum, dan Seni Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Dr. Amer Siddiq Amer Nordin (enam dari kiri), and Azlam Shah Alias  (tujuh dari kiri) bersama johan pertandingan DIY Made Simple 2023, SMK St. Anthony dari Sarikei, Sarawak


Pertandingan yang kini dalam tahun ketujuhnya bertujuan untuk memupuk budaya kelestarian dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Dalam majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Dewan Tunku Canselor, UM pada 21 September 2023, Pengerusi Kumpulan Mr DIY, Dato’ Azlam Shah Alias berkata, "Perkembangan pertandingan ini benar-benar luar biasa memandangkan kami hanya menerima tujuh penyertaan dari satu negeri pada tahun pertama. 

"Bukan itu sahaja, hasil kerja yang kami terima juga sangat hebat dan memberi inspirasi - ini membuat saya yakin bahawa Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang kelestarian. 

"Kelestarian adalah keutamaan dalam semua yang kami lakukan di Mr DIY, dan kami sangat berbangga dengan perkembangan program ini. 

"Setakat ini, program DIY Made Simple ini telah berjaya mendidik lebih daripada 3,800 pelajar tentang aspek-aspek utama kelestarian, mempersiap mereka untuk menjadi ejen perubahan negara."

Azlam juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kongsi syarikat tersebut, dan berkata, "Kami tidak mungkin dapat sampai ke tahap ini tanpa kerjasama dengan Universiti Malaya, sokongan Kementerian Pendidikan, dan komitmen para pelajar, guru, dan ibu bapa - terima kasih kepada anda semua kerana membantu kami membina Malaysia yang lebih baik."


Penyertaan 'ET Block' ciptaan SMK St. Anthony


Mengulas tentang pertandingan tersebut, Pengarah UMCares, Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin berkata, "’DIY Made Simple’ adalah contoh terbaik kerjasama yang berjaya antara universiti-industri-kerajaan-komuniti dan kami sangat berbangga dapat menjadi sebahagian daripadanya. 

"Ia bukan sekadar memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari seluruh negara untuk berkumpul dan belajar dari satu sama lain, tetapi juga mempromosikan budaya 'do-it-yourself', yang penting dalam membina keyakinan, kemandirian, dan kemahiran dalam kalangan para pelajar. 

"Universiti Malaya komited untuk terus menginovasi dan memperbaiki program ini, menjadikannya platform kelestarian yang penting untuk komuniti-komuniti sekolah di seluruh Malaysia."

Sebagai juara, SMK St. Anthony, Sarikei, Sarawak membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000, manakala SMK Kunak Jaya, Kunak, Sabah berada di tempat kedua dengan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000. 

SM Sains Sultan Iskandar, Mersing, Johor menduduki tempat ketiga dan menerima wang tunai sebanyak RM2,000; SMK Elopura 2, Sandakan, Sabah berada di tempat keempat dengan wang tunai sebanyak RM1,000; dan SMJK Kwang Hua, Klang, Selangor berada di tempat kelima dengan wang tunai sebanyak RM500. 

Selain itu, setiap pasukan juga menerima baucar tunai Mr DIY, sijil, dan piala.

SMK Chong Hwa, Kluang, Johor, dan SMK St. Anthony, Sarikei, Sarawak masing-masing dianugerahkan wang tunai sebanyak RM500 kerana berjaya mendapatkan jumlah ‘like’ terbanyak untuk video pertandingannya dalam YouTube dan TikTok.



Anugerah Inspirasi berupa baucar tunai Mr DIY sebanyak RM300, sijil, dan piala dianugerahkan kepada:

  • MRSM Bentong, Pahang
  • SMA Majlis Agama Islam, Kuala Lumpur
  • SBPI Rawang, Selangor, SMK Putrajaya Presint 9 (2), Putrajaya
  • SMK Merapok, Lawas, Johor
  • SMK Impian Emas, Johor Bahru
  • SMK Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
  • SMK Kuala Pegang, Baling, Kedah
  • SMJK Yuk Kwan, Batu Gajah, Perak
  • SMK Seri Rompin, Pahang
  • Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Kuantan

Program tersebut juga turut mengiktiraf jabatan pendidikan negeri yang telah membantu mendorong penyertaan tertinggi dari negeri masing-masing, dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menduduki tempat pertama, diikuti Jabatan Pendidikan Putrajaya, Labuan, Melaka, dan Johor.

Sejak pelancarannya pada tahun 2017, pertandingan DIY Made Simple telah melibatkan lebih daripada 3,800 pelajar dari 529 sekolah di seluruh negara, dengan 788 penyertaan projek. 

Pada tahun 2022, Mr DIY mengumumkan bahawa ia akan meneruskan kerjasama dengan UM selama tiga tahun lagi, untuk pertandingan pada tahun 2023-2025. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
12
0
13
0
You will be interested