Alam & Sains 09 Sep, 2025

Teruskan, perluas MyDigital ID! Integrasi ke MyGOV! Tambah baik akses Internet di semua IPT! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

MyDigital ID akan diteruskan dan diperluas lagi dengan sasaran 15 juta pendaftaran menjelang akhir tahun ini (2025), selain dibantu proses pengesahan melalui melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus melangkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi AI Nation 2030 (atau Negara Kecerdasan Buatan (AI) 2030), dengan sasaran menjadi peneraju kecerdasan buatan serantau.

"Dalam mesyuarat yang saya pengerusikan, saya tegaskan bahawa kemajuan teknologi mesti seiring dengan pulangan nyata dari segi produktiviti dan kesejahteraan rakyat.

"Sebagai langkah pendigitalan perkhidmatan awam, MyGOV dibangunkan sebagai platform sehenti semua urusan kerajaan. Justeru, saya telah mengarahkan agar semua kementerian dan agensi segera mengintegrasikan perkhidmatan mereka ke dalam aplikasi ini.

"Selain itu, usaha memperluas MyDigital ID perlu juga diteruskan dengan sasaran 15 juta pendaftaran menjelang akhir tahun (2025), dibantu proses pengesahan melalui JPN," ujar beliau.



Perdana Menteri menegaskan demikian selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital Dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada Selasa, 4 September 2025.

MyGOV Malaysia merupakan aplikasi yang dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti bagi perkhidmatan umum yang ditawarkan kerajaan Malaysia.

Manakala, MyDigital ID pula adalah inisiatif kerajaan bagi penyelesaian identiti digital yang selamat dan dipercayai. Ia juga memudahkan akses ke aplikasi dan portal dalam talian dengan menggunakan hanya satu kata laluan.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga mahu akses Internet di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) agar ditambah baik.

"Saya turut menyarankan akses tersebut diperluas ke Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional, institut pendidikan guru (IPG) serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Pesanan saya, infrastruktur digital yang kukuh adalah asas penting dalam memacu ekonomi digital dan memastikan teknologi benar-benar memanfaatkan rakyat," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
9
0
13
0
You will be interested