Alam & Sains 01 Aug, 2023

Akar kayu jadi sumber rezeki! Di Chong He berpengalaman 30 tahun! Masih jadi pilihan ubati penyakit!

@che saad noordin
Che Saad Noordin bekas stringer Bintang Timur, Utusan Malaysia/Utusan Melayu, Watan Harian, TV3, RTM dan Bernama untuk daerah Baling dan sekitarnya

Share this


Perubatan tradisional daripada hasil akar kayu rimba masih menjadi pilihan pengidap berbagai-bagai jenis penyakit dalam kalangan pelbagai bangsa. 

Sekarang ini amat sukar bagi mendapatkan berbagai-bagai jenis akar kayu untuk dijadikan ubat kerana tumbuhan liar ini hanya boleh ditemui di sekitar kawasan rimba bukit dan gunung sahaja.

Seorang pencari akar kayu untuk dijadikan ubat menyembuhkan berbagai-bagai penyakit memberitahu KitaReporters amat sukar untuk menemui tumbuhan itu jika tidak mahir mengenalinya. 


Di Chong He menunjukkan berbagai-bagai jenis akar kayu yang siap dipotong untuk dihantar kepada pembeli.


Pencari akar kayu dari masyarakat Orang Asli Suku Kentak, yang tinggal di Kampung Pong, Bukit Asu, Gerik, Perak memberitahu untuk mencari tumbuhan yang boleh dijadikan penawar berbagai-bagai penyakit ini amat sukar.   

Pencari akar kayu itu, Di Chong He, 48, yang berpengalaman lebih 30 tahun mencari akar kayu untuk dijual berkata, ramai yang mengunakan akar kayu sebagai ubat untuk menghilangkan penyakit kencing manis, darah tinggi, menyegarkan urat saraf serta untuk kegunaan wanita lepas bersalin.

Menurutnya, permintaan akar kayu untuk mengubati kencing manis dan darah tinggi amat banyak diperlukan oleh pelanggan.

Jelas beliau, pengidap penyakit hanya perlu merebus akar tersebut dan meminum airnya sebagai ubat.

Beliau berkata lagi, pengalaman mengenali berbagai-bagai jenis akar kayu dipelajari daripada orang-orang tua dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Gerik yang mahir soal akar kayu sejak beliau berusia 15 tahun lagi.

Kata Chong He, dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pendalaman, mereka jarang mengunakan ubat yang dijual di kedai atau farmasi tetapi hanya mengunakan akar kayu sebagai ubat untuk menyembuhkan berbagai-bagai penyakit.

Beliau menjelaskan, masyarakat Melayu dan Cina juga banyak mengunakan akar kayu sebagai ubat sejak sekian lama.

Menurutnya lagi, untuk mendapatkan akar-akar kayu ini dia terpaksa meredah rimba hampir separuh hari untuk mengumpulkan akar-akar kayu yang diminta untuk dibeli.


Di Chong He menunjukkan tumbuhan Bunga Pak Ma untuk diminum oleh wanita selepas bersalin.


Chong He yang menjadikan kerja mencari akar kayu ini sebagai punca sara hidup keluarganya memberitahu, setiap minggu dia dapat menjual sebanyak RM250 hingga RM350 berbagai-bagai jenis akar kayu yang dibeli oleh pelanggannya.

Katanya lagi, ilmu mengenali tumbuhan perubatan tradisional ini kini kurang diminati golongan muda dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Beliau juga membekalkan akar-akar kayu untuk dijadikan makjun oleh pengusaha makjun dari kalangan pengusaha Melayu sejak berbelas-belas tahun lalu.

Katanya, paling sukar untuk mendapatkan ialah Bunga Pak Ma untuk kegunaan wanita yang lepas bersalin kerana tumbuhan ini amat sukar ditemui.

Bagaimanapun katanya, jika ada pesanan dia akan cuba mencarinya walaupun tumbuhan Bunga Pak Ma ini tumbuh jauh di dalam rimba.

Menurut Chong He, ia menjual semua jenis akar kayu yang dipotong panjang sejengkal terdapat 22 hingga 25 batang akar kayu dengan harga RM45 dan harga Bunga Pak Ma yang belum kembang dijual sekuntum RM50. - KitaReporters


11
11
0
10
0
You will be interested