Alam & Sains 11 Nov, 2024

Minat memerhati bintang! KKB Star-Fest angkat Kuala Kubu Bharu! Lokasi unik pelancongan astronomi!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


APA yang anda ingat apabila menyebut Kuala Kubu Bharu (KKB)? 

Adakah pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Henry Gurney yang ditembak mati pengganas komunis ketika dalam perjalanan menghadiri mesyuarat di Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951 atau banjir besar di Sungai Selangor pada 1883 yang menyebabkan Empangan Kuala Kubu pecah lalu menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu?

Hakikatnya, banyak keunikan yang kekal menjadi sejarah apabila menyebut nama KKB. 

Bandar di daerah Hulu Selangor itu terletak di timur laut Selangor iaitu kira-kira 21 kilometer (KM) dari Tanjung Malim dan 60 KM dari Kuala Lumpur. 

Ia juga dihubungkan ke Bukit Fraser dan Kuala Lipis melalui Jalan Pahang dan dari Lebuh Raya Utara-Selatan melalui susur keluar Tanjung Malim selain susur keluar Lembah Beringin. 


Ahli kelab astronomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut menyertai KKB Star-Fest 2024.


Bagaimanapun, pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan yang bertujuan mempercepat perjalanan, menyebabkan pengguna kenderaan kurang menggunakan laluan di Kuala Kubu Bharu. Ini menjadikan bandar antara tertua di Selangor itu seperti dilupakan. Benarkah begitu?

KKB mempunyai banyak keunikan dan tarikan yang jarang terdapat di tempat lain. Tidak hairanlah penyanyi legenda Malaysia, Sudirman Arshad dalam lagunya, Joget Kenangan Manis menitip lirik ini, "Kalau pergi Kuala Kubu, Tulis nama atas batu, Saban hari ku menanti waktu, Pulanglah segera kepadaku".

Dari sudut sejarah, Kuala Kubu Bharu disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO di bawah kategori 'Garden City Heritage'. 

Jika dahulu, KKB popular kerana aktiviti perlombongan bijih timah, kini bandar bersejarah itu menjadi tumpuan untuk aktiviti ekopelancongan seperti mendaki di Bukit Kutu, menikmati kesejukan air terjun Chilling, 'water tubing' dan menunggang basikal gunung. 



Peserta diberi penerangan bagaimana menggunakan kamera untuk fotografi cahaya malap terutama untuk mengambil gambar objek seperti bintang di langit. 

Program lain yang diadakan setiap tahun ialah 'Wings of Kuala Kubu Bharu' yang diperkenal sejak 2012 bagi mempromosikan aktiviti memerhati burung di kawasan itu. 

Sejak ia dimulakan, banyak sekolah dan institut pengajian tinggi ikut serta dalam pelbagai program berkaitan antaranya pertandingan fotografi dan lukisan.

Satu lagi keunikan Kuala Kubu Bharu ialah menikmati kerdipan bintang di Empangan Sungai Selangor. 

Dikelilingi bukit-bukau, Kuala Kubu Bharu sentiasa menjadi destinasi utama yang terletak paling dekat dengan bandar Kuala Lumpur untuk aktiviti memerhati bintang. Anda boleh bermalam di sini dan berkhemah atau memerhati bintang dari puncak bukit. 


Meja pendaftaran KKB Star-Fest 2024 sibuk menerima kehadiran pengunjung di sekitar Kuala Lumpur, Selangor termasuk Terengganu dan Perlis.


Bagi merealisasikan impian menjadikan bandar itu lokasi memerhati bintang atau astronomi di Malaysia, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengadakan KKB Star-Fest 2024 di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.  

Ia mendapat kerjasama Sahabat Langit Utara (SALUT).

Ini adalah kali kedua KKB Star-Fest 2024 diadakan, dan berbanding pada 2023, program kali ini diadakan bersama KKB Outdoor Festival 2024 yang turut menghimpunkan aktiviti-aktiviti lain seperti Hari Sukan Negara peringkat daerah, Karnival Alam Sekitar peringkat negeri, dan Malaysia Adventure Festival.

Pengurus Unit Program SALUT, Nurul Fatini Jaafar berkata, KKB Star-Fest 2024 diadakan di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu, bermula jam 3 petang hingga tengah malam. 

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung tanpa mengira lapisan umur termasuklah bengkel membuat teleskop. 


Nurul Fatini Jaafar


Beliau berkata, Kuala Kubu Bharu memang daerah di Selangor yang mempunyai keunikan tersendiri dan tidak terdapat di tempat lain kerana di Empangan Sungai Selangor, keadaan langitnya kurang pencemaran cahaya dan antara paling gelap berbanding kawasan-kawasan lain di Lembah Klang.

"SALUT berterima kasih dengan MPHS yang memberi kepercayaan kepada kami untuk meneruskan program KKB Star-Fest untuk tahun kedua selepas pertama kali diadakan pada 2023 selain menjadikan daerah ini sebagai ekopelancongan astronomi di Malaysia. 

"Padang yang luas menghadap ke arah timur - arah terbit objek langit, kemudahan asas yang lengkap termasuk tandas, surau, dan parkir, serta tempat pemerhatian yang baik dan kurang gangguan cahaya amat sesuai untuk program itu. Tiada bayaran masuk dikenakan untuk menyertai KKB Star-Fest 2024." 


Peserta sibuk menyiapkan dekorasi glow sticks paling kreatif untuk dipakai sepanjang program KKB Star-Fest 2024 dijalankan.


Cantiknya peserta memakai glow stick bercahaya sehingga suasana menjadi lebih ceria dan menyeronokkan.


Menurutnya, keunikan KKB Star-Fest 2024 ialah suasana penerokaan astronomi yang santai dan menggalakkan penyertaan ahli keluarga selain rakan-rakan. 

Pada kali ini, pelbagai aktiviti poket berbentuk bengkel mini disediakan. Setiap slot bengkel membabitkan 10 hingga 15 peserta sahaja agar penyampaian dan komunikasi pengajar-peserta boleh dibuat secara lebih berkesan.

"Antara aktiviti yang disediakan ialah astro-navigasi, penentuan arah kiblat, pembuatan jam matahari, membaca peta bintang, jam bulan, bengkel fotografi cahaya malap, mewarna batik, mengecop sabun, pertandingan mewarna dan kuiz. 

"Pengunjung boleh mengunjungi reruai astro-pelancongan, jualan baju-T, siaran langsung bicara planetarium, bengkel pembuatan teleskop DIY serta membuat gelang dan galaksi berpandukan spektrum bintang," katanya lagi.


Suasana langit di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor yang gelap sesuai untuk melihat kerdipan bintang.  


Ditanya mengapa memilih Taman Tasik Milenium untuk program KKB Star-Fest 2024, beliau berkata pekarangan taman awam itu agak tersorok, jauh dari kawasan perumahan, dan masih mempunyai langit malam yang gelap dengan kadar pencemaran cahaya yang minima.

"Sebagai contoh, usai hujan berhenti dan awan menipis sekitar jam 4 hingga 5 pagi, pengunjung yang menginap di khemah berpeluang melihat keindahan langit yang dihiasi ribuan bintang bergemerlapan, malah ada di kalangan mereka berpeluang menyaksikan lintasan meteor.

"Akan tetapi, pembangunan pesat di sekitar kawasan KKB akhir-akhir ini menyebabkan ia memberi kesan langsung kepada pembangunan astro-pelancongan. SALUT mencadangkan pihak berkuasa mewarta KKB sebagai kawasan langit gelap dan memastikan pembangunan mengikut peraturan pencahayaan bijak dan lestari bagi memastikan ia kekal sebagai pusat pelancongan astronomi," katanya. 

Beliau mengakui, faktor cuaca dan hujan sedikit merencat program kali ini tapi ia tetap berlangsung seperti dirancang malah ada pengunjung yang datang dari Terengganu dan Perlis seronok menikmati aktiviti yang berakhir sehingga jam 11 malam. Dan, mereka yang membawa bersama khemah dapat bermalam sehingga esoknya. - KitaReporters


Peserta berbual dan berkenal-kenalan sementara menunggu program KKB Star-Fest 2024 bermula.

 

15
8
0
15
0
You will be interested