Alam & Sains 27 Jun, 2021

PKPD di 3 lokaliti di Terengganu ditamatkan! 3 daerah berstatus zon kuning! 5 masih zon merah!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


KEPUTUSAN Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan tiga lokaliti di Negeri Terengganu menjadikan negeri itu kini terkeluar daripada pelaksanaan perintah tersebut.

Tiga lokaliti terbabit yang sebelum ini dikenakan PKPD ialah Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada di Kuala Terengganu serta Kampung Tajin di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

PKPD di Kampung Tajin dilaksanakan pada 12 Jun 2021 dan ditamatkan pada 25 Jun 2021, manakala bagi Mukim Bukit Besar dan Mukim ditamatkan pada 26 Jun 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD



Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan menamatkan PKPD di Mukim Bukit Besar dan Mukim Serada itu dibuat setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 3,374 ujian saringan dan 31 daripadanya disahkan positif COVID-19.

"KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu 26 Jun 2021.

Katanya, pelaksanaan PKPD diadakan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut susulan berlaku peningkatan kes yang ketara.



Manakala bagi lokaliti Kampung Tajin, Kuala Berang, KKM telah melakukan 940 ujian saringan dan 52 daripadanya disahkan positif COVID-19. 

Beliau berkata, KKM  telah mengesahkan berlaku penurunan kes di lokaliti berkenaan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan.

PKPD tersebut membabitkan seramai 1,403 orang penduduk dan 270 kediaman merangkumi kawasan seluas 10 kilometer persegi dan terletak kira-kira 8 kilometer dari Pekan Kuala Berang.


Dr Alias Razak


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkembangan terbaharu kini kes COVID-19 di Terengganu menunjukkan trend penurunan yang amat baik.

Katanya, walaupun kes positif sebanyak dua angka setiap hari sejak dua minggu lalu, namun itu bukan jaminan Pelan Pemulihan Negara fasa kedua dapat dikuatkuasakan di Terengganu. 

Beliau berkata, berdasarkan keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN), penguatkuasaan peralihan fasa dibuat berdasarkan perkembangan seluruh Malaysia.

"Kita tidak boleh keluar sebuah negeri, sebuah negeri, jika semua baik pada peringkat nasional, baru semua akan keluar daripada  fasa pertama ke fasa kedua,” katanya.



Namun, katanya, Terengganu dan beberapa buah negeri yang dapat mengawal penularan ini dengan baik sedang berunding pada peringkat nasional supaya negeri-negeri yang telah mencapai target ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk keluar lebih awal daripada fasa pertama.

"Jika dilihat daripada kriteria yang ditetapkan oleh MKN untuk keluar daripada fasa pertama dijangka pada 1 Julai (2021) nanti, kes harian pada peringkat nasional mestilah kurang daripada 4,000 kes sehari, pengisian katil di ICU kurang daripada 70 peratus dan peratus vaksinasi mesti lebih 10 peratus," katanya.

Dr Alias berkata, status terkini mengikut daerah di Terengganu, tiga daerah iaitu Setiu, Dungun dan Kemaman dikategorikan dalam zon kuning, manakala lima lagi daerah itu Besut, Hulu Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang berstatus merah. - KitaReporters


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau Pusat Pemberian Vaksin Bergerak secara pandu lalu di Marang, Terengganu

1
1
1
1
1
You will be interested