Alam & Sains 14 Jul, 2021

MyDIGO gabungkan belia bidang digital untuk kongsi ilmu! Kursus pemasaran digital 15 Julai 2021!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

MyDIGO ditubuhkan sekumpulan belia untuk berkongsi ilmu dalam bidang digital kepada masyarakat. - Kredit foto: MyDIGO



DUNIA kini semakin melangkah maju. Teknologi sentiasa ke hadapan dalam pelbagai aspek kehidupan. 

Bagi yang celik teknologi, sudah pasti tiada masalah yang menanti. Maklumlah semua pekara boleh dilakukan di hujung jari. Namun, bagi golongan yang sedikit terkebelakang, mereka mungkin berdepan kesukaran memanfaatkan teknologi yang ada.

Menyedari hakikat itu, beberapa anak muda yang berpengalaman luas dalam bidang digital tampil menubuhkan Pertubuhan Profesional Digital Kreatif atau dikenali sebagai MyDIGO sebagai platform penyebaran ilmu berkaitan bidang ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan teknologi digital

Setiausaha Agung MyDIGO, Mohd. Asrul berkata, pihaknya mahu memastikan masyarakat terutama usahawa peka dengan perubahan ekonomi digital masa kini. 


Setiausaha Agung MyDIGO, Mohd Asrul Abu Seman berkata, persatuan itu ditubuhkan pada tahun 2020 atas dasar untuk menggabungkan para belia yang mempunyai pengalaman khusus dalam bidang digital dan berkongsi ilmu dengan masyarakat.

“Inisiatif ini dibuat dalam usaha untuk memastikan masyarakat terutama usahawan supaya sentiasa peka dengan perubahan ekonomi digital di Malaysia.

“Misi kami adalah untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Malaysia supaya selari dengan era globalisasi ke arah dunia Internet Pelbagai Benda (IOT), manakala visi MyDIGO untuk menjadikan bidang digital sebagai kerjaya profesional di negara ini selaras dengan pelan digital ekonomi yang dirancang oleh kerajaan,” kata Mohd Asrul.


SALAH seorang wakil MyDIGO memberi taklimat kepada sekumpulan peserta dalam satu seminar yang dianjurkan. 


Tambah beliau, melalui pengalaman yang dimiliki selama lebih 10 tahun dalam bidang digital, mereka yakin kewujudan MyDIGO mampu memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Antara aktiviti pertubuhan ini adalah menjalankan seminar pendedahan digital, kursus jangka pendek tentang pemasaran digital, konsultasi atau sesi kejurulatihan khas, membuat kajian tentang perubahan ekonomi digital di Malaysia dan mengumpulkan lebih ramai pemain industri digital dalam negara.


Pelbagai program telah dilaksanakan sejak MyDIGO ditubuhkan pada tahun 2020 yang diharap memberi manfaat buat para peserta yang terlibat. 


“Alhamdulillah, sejak setahun yang lalu banyak program telah berjaya dilaksanakan MyDIGO dengan kerjasama pelbagai pihak. Ini termasuklah Program Digilab@Jeli bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed yang bertujuan memberi pendedahan mengenai ekonomi digital kepada para usahawan di kawasan tersebut.

“Selain itu, turut diadakan Program Pemasaran Digital bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli serta konsultasi percuma untuk para usahawan yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” jelas beliau.

Tidak ketinggalan, pertubuhan ini juga telah menjalin kerjasama dengan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


Pertubuhan ini turut menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha mencapai misi dan visi mereka. 



“Insya-Allah, terbaharu pada 15 Julai 2021 ini, kami akan menganjurkan satu lagi kursus pemasaran digital secara percuma melalui aplikasi Google Meet bagi membantu individu atau usahawan meraih pendapatan dengan cara yang lebih berkesan dalam platform online,” tuturnya.

Untuk rekod, MyDIGO telah didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook Malaysian Digital Creative Organization atau menghubungi talian 01121223506. - KitaReporters

Kelas online turut diadakan oleh MyDIGO bagi mereka yang berminat mendapatkan ilmu tentang dunia digital. 

3
0
0
0
0
You will be interested