Alam & Sains 03 Apr, 2020

[VIDEO] PELAJAR UUM BUAT SENDIRI FACE SHIELD

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this
KESEDARAN dan keprihatinan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melihat kesukaran barisan hadapan atau frontliners dalam menangani wabak Covid-19 memberi pelajar-pelajar tersebut rasa tanggungjawab dan semangat untuk menghasilkan sendiri ‘Prowins face shield’ (pelindung muka Prowins). : KitaReporters

Staf dan pelajar UUM sedang menyiapkan pembuatan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan.


Pengetua Inapan Siswa (Inasis) Tradewinds dan Proton Dr Rohafiz Sabar berkata, pelindung muka yang dihasilkan ini dibuat selepas perbincangan dengan pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Madya Dr Hendrik Lamsali dan pelajar-pelajarnya.

‘Kami melihat kesukaran untuk mendapatkannya dan penjualan yang terlalu mahal di pasaran.

"Maka keputusan dibuat untuk menghasilkan sendiri, sekali gus menyokong saranan Menteri Pengajian Tinggi untuk mengalakkan pelajar di kampus melakukan aktiviti berfaedah," katanya ketika ditemui.

Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Dr Massudi Mahmuddin (kiri sekali) bersama Pengetua Inapan Tradewinds dan Proton Dr Rohafiz Sabar (tengah) menyiapkan face shields.


Sementara itu, Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) Dr Massudi Mahmuddin menyokong penuh tindakan pelajar di Inasis UUM untuk melakukan aktiviti yang berfaedah sepanjang mereka berada di kampus ini.

"Pihak JHEP telah mengarahkan semua pengetua di 15 Inasis universiti ini untuk memikirkan aktiviti yang membolehkan pelajar mengisi lapang mereka," ujarnya ketika menyaksikan sendiri dan membantu menyediakan pelindung muka berkenaan di Dewan Penginapan Inasis Tradewinds di Sintok, Kedah.



Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan sendiri pelindung muka.


Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemui bersemangat untuk menghasilkan face shield itu untuk kegunaan staf, pelajar dan Hospital di negeri ini yang memerlukannya.

Kem Komandan Covid-19 Prowins UUM Muhammad Idzam Rosidi, 22, berkata, walaupun proses menyediakan pelindung muka ini amat mudah dan mengambil masa hanya sepuluh minit setiap satu unit, tetapi mereka perlu menghasilkannya dengan teliti.

Katanya lagi, mereka akan berusaha untuk menghasilkan 100 unit pelindung muka itu setiap hari bergantung kepada permintaan dan mengedarkan kepada pelajar dan staf yang memerlukannya.

Resident Assistant Inasis Proton, Siti Nurul Shahira Dzulfikar Adzwa.


Manakala Resident Assistant Inasis Proton Siti Nurul Shahira Dzulfikar Adzwa, 22 berkata, penghasilan pelindung muka ini diharap dapat membantu pelajar dan staf yang berada di kampus ini menggunakannya termasuk menghantar kepada hospital yang memerlukannya.

"Kami sedia membantu mereka yang memerlukan termasuk masyarakat sekitar kampus dan keutamaan komuniti juga perlu dititikberatkan," sambungnya lagi.

Woo Fang Yi menyiapkan satu daripada beberapa bahan yang diperlukan dalam menghasilkan pelindung muka.


Bagi Woo Fang Yi, walaupun pihak Pusat Kesihatan Universiti (PKU) membekalkan pelindung muka kepada pelajar dan staf yang bertugas, tetapi bekalannya amat terhad.

"Kerana itu, kami mengambil langkah ini untuk membantu pihak PKU sementara bekalan sukar diterima.

"Harapan kami, penghasilan pelindung muka ini dapat membantu PKU, pelajar, hospital, komuniti setempat dan staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjadi tunjang utama di barisan hadapan atau frontliner dalam menangani penularan wabak Covid-19," tegasnya.

Pelindung muka yang dihasilkan ini juga, tambahnya, mengurangkan material serta menjimatkan masa dan menjimatkan kos melalui pembelian dan penghasilan sendiri. - KitaReporters 


2
0
0
0
0
You will be interested