KATA orang pertanian adalah perniagaan. Tetapi ini tentunya melalui usaha berskala besar. Namun pertanian untuk suka-suka dan keperluan sendiri juga amalan baik diterapkan, terutama dalam kalangan penduduk taman.
Inilah yang dilakukan oleh Rakan Mesra Kabin, Taman Danau
Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Mereka bercucuk tanam campuran seperti keledek,
jagung, cili dan betik di kawasan kabin yang terletak di taman permainan
kanak-kanak.
Kabin ini merupakan pusat aktiviti penduduk taman. Di kabin inilah diadakan segala aktiviti penduduk seperti pusat pengumpulan dan agihan bantuan makanan kepada mereka yang terkena tempias Covid-19.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bercucuk tanam
UBI kayu juga di tanam di kabin Danau Kota.
Kabin juga menjadi pusat mengumpul barang bantuan seperti pakaian dan makanan untuk diagih kepada mangsa banjir pada pertengahan Disember 2021. Selain itu majlis kesyukuran, mesyuarat, bersantai juga aktiviti sukan seperti bermain ping pong diadakan di kabin.
Memandangkan di kawasan kabin ada tanah lapang tidak
digunakan, Rakan Mesra Kabin mengambil inisiatif menjadikan kawasan itu tempat bercucuk
tanam. Walaupun kawasannya tidak begitu luas, cukup untuk menanam beberapa
jenis tanaman secara sedikit-sedikit.
Rakan Kabin bersama-sama membersihkan kawasan lapang berkenaan dan kemudian membuat batas bagi tanaman jagung, keledek dan cili.
Projek tanaman yang dimulakan beberapa tahun lalu sudah hampir menampakkan hasil. Pokok betik telah mengeluarkan buah dan menunggu untuk masak sahaja. Begitu juga dengan tanaman lain.
KELEDEK melata menuggu masa untuk dituai.
Rakan Kabin sama-sama menjaga dan memantau tanaman dan
menaruh baja untuk memastikan semua pokok hidup segar menghijau. Dengan itu
diharapkan hasil tanaman juga bagus untuk dinikmati bersama.
Memang geram memandang pokok betik yang mengeluarkan buah
yang besar dan panjang. Seronok melihat pokok peria menjalar di pagar, pokok keledek
melata, atau jagung dan cili, halia serta ubi kayu yang menghijau di atas
batas. Semuanya menunggu untuk dituai hasilnya.
Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Rakan Kabin ini
melambangkan kegigihan mereka untuk memastikan kawasan aktviti penduduk
sentiasa meriah, dengan melebarkannya kepada kegiatan pertanian.
Begitu membanggakan kerana aktiviti yang dijalankan oleh Rakan Kabin sehingga ini membuahkan kejayaan berkat persefahaman dan kerjasama penduduk.
Buah betik yang besar dan segar di kebun Rakan Kabin, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.
Ketika ramai terkena tempias Covid-19, Gerobok Rezeki
diwujudkan bagi menyediakan sumbangan makanan seperti beras, sadin, telur, biskut,
minyak masak, tepung, gula dan bihun kepada yang memerlukan. Ini dijayakan
melalui sumbangan penduduk dan masyarakat luar.
Ketika banjir besar melanda, Rakan Kabin mengumpulkan
bantuan pakaian dan makanan untuk diagihkan kepada mangsa. Sumbangan antaranya
dihantar ke Pahang dan Hulu Langat, Selangor.
Kini projek pertanian pula. Sememangnya Rakan Kabin sentiasa sahaja ada idea untuk memeriahkan aktiviti kabin dan pada masa sama mengeratkan silatul rahim di kalangan mereka. - KitaReporters
POKOK halia menghijau di kabin Danau Kota.
POKOK jagung hidup segar menghijau di atas batas.