MELANGSUNGKAN perkahwinan pasti meninggalkan memori terindah pasangan pengantin baharu. Malah konsep perkahwinan juga pasti menjadi pilihan penting sempena hari bahagia.
Namun berbeza di India yang sememangnya kaya dengan adat budaya apabila sepasang bakal pengantin tampil dengan cara unik apabila memilih konsep luar biasa sempena hari perkahwinan mereka.
Pasangan sejoli dari Chennai itu akan melangsungkan perkahwinan dan memilih menggunakan ‘metaverse’ (metasemesta) iaitu versi realiti alam maya Internet untuk masa depan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan perkahwinan unik
Memetik Daily Mail, Dinesh Sivakumar Padmavathi, 24, dan Janaganandhini Ramaswamy, 23, akan mengadakan majlis perkahwinan mereka secara dalam talian pada 6 Februari 2022 depan.
Majlis tersebut dijalankan secara maya itu dibuat berikutan pelaksanaan perintah berkurung di Tamil Nadu, sekali gus menghalang tetamu daripada menghadiri majlis perkahwinan secara fizikal. Pasangan berkenaan terdahulu melangsung perkahwinan secara fizikal pada 4 September 2021.
Di majlis resepsi unik tersebut, Dinesh akan menjemput para pengikutnya di Twitter dan Instagram untuk menyaksikan hari bahagia. Malah sehingga kini, kira-kira 2,000 tetamu telah mengesahkan kehadiran mereka manakala 5,000 lagi menyatakan ‘mungkin’ hadir.
Lebih mengujakan, majlis yang unik yang dianjurkan secara realiti maya yang bertemakan Harry Potter itu juga bakal menyaksikan ‘kehadiran’ tetamu istimewa yang kini tiada lagi di dunia fana.
Majlis itimewa tersebut bakal dihadiri mendiang bapa pengantin perempuan yang sudah meninggal dunia pada tahun 2021 menerusi kaedah penggunaan avatar.
“Saya tahu ramai pasangan pernah berkahwin menggunakan aplikasi Zoom namun kami mahu melangkau lebih jauh lagi dan menjadi pasangan pertama mengadakan majlis perkahwinan secara metaverse.
“Saya juga mahu memperkenalkan teknologi metaverse kepada rakyat India,” katanya.
Dinesh yang bekerja di Institut Teknologi India Madras (IIT-Madras) di Chennai turut mencipta panduan kepada metaverse di YouTube bagi membantu memberi keterangan teknologi itu kepada ahli keluarga dan saudara maranya. - KitaReporters