AYUH kita lihat dan analisis fakta-fakta nombor berkaitan virus Covid-19 setakat 8 Mac 2021, iaitu menghampiri genap setahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan di negara ini.
Setakat 8 Mac 2021, jumlah kes kumulatif positif Covid-19 di negara kita sudah mencecah sebanyak 314,989 dengan 19,778 kes yang masih positif di keliling kita.
Semua angka ini bukanlah suatu perkembangan baik untuk kehidupan kita di negara ini, sebaliknya ia akan memburukkan lagi keadaan jika kita tidak mengambil langkah membendung dengan berani dan berkesan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan COVID-19:
https://kitareporters.com/coronavirus
Atas iltizam itulah, Kerajaan Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan secara bersama antara Dato' Seri Dr. Adham Baba (KKM) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (MOSTI).
Tugas JKJAV ini adalah untuk mencari, mendapatkan, membeli, membawa pulang dan membekalkan vaksin Covid-19 ke Malaysia untuk diagihkan kepada penduduk di negara ini.
Ramai yang tidak tahu, usaha untuk mencari solusi vaksin Covid-19 ini telah bermula sejak April atau Mei 2020 lagi melalui sebuah perbincangan khusus antara Dr. Adham, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (KLN).
Akhirnya pada 21 Februari 2021, vaksin pertama telah tiba di Malaysia iaitu Pfizer-BioNTech yang dikilangkan di Belgium.
Tiga hari selepas itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sekali gus beliau menjadi individu pertama yang dicucuk vaksin berkenaan.
Bermulalah proses vaksinisasi Covid-19 kepada barisan hadapan di negara ini, termasuk barisan pemimpin negara sejak hari berkenaan.
Maka suka untuk kita kongsikan jumlah terkini penduduk di Malaysia yang telah divaksinkan sejak 24 Februari 2021 lalu mengikut negeri.
Berdasarkan laporan harian JKJAV, setakat 8 Mac 2021, seramai 166,363 orang telah divaksin untuk dos pertama di seluruh Malaysia.
Jumlah ini mencatatkan negeri Sarawak menjadi penerima suntikan terbanyak setakat ini iaitu 25,271 orang, diikuti Pahang sebanyak 15,521 orang dan Selangor sebanyak 15,357 orang.
Menurut data tersebut, negeri paling rendah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini ialah Labuan iaitu hanya 2,259 orang sahaja yang telah divaksin.
Memeranjatkan juga, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya berada di tempat kedua paling rendah penerima vaksin Covid-19 setakat 8 Mac 2021.
Ia mencatatkan hanya 2,573 orang sahaja di Putrajaya yang dicucuk vaksin bagi fasa pertama tersebut.
Negeri-negeri lain mencatatkan jumlah angka yang agak besar iaitu melebihi 5,000 orang kecuali Perlis hanya 3,062 orang sahaja dan pusat pelancongan terkemuka negara, Melaka hanya 4,411 orang sahaja.
Kita mengharapkan makin ramai penduduk di Malaysia mempunyai kesedaran tinggi untuk mengambil vaksin Covid-19 dalam usaha negara ini ingin membentuk imuniti kelompok sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus daripada keseluruhan penduduk yang ada. - KitaReporters