Alam & Sains 10 Jan, 2021

Kes positif COVID-19 di Terengganu meningkat! Berpunca daripada rentas negeri dari zon merah!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

TERENGGANU mencatat sejarah pada 8 Januari 2021 apabila sebanyak 34 kes baru COVID-19 menjadikan kes tertinggi pernah dicatatkan sejak berlakunya penularan wabak berkenaan sejak awal 2020. Pertambahan kes tersebut didakwa adalah berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir individu yang melakukan kegiatan rentas negeri. : KitaReporters


Taburan kes mengikut daerah di Terengganu pada 8 Januari 2021


Lagi laporan-laporan semasa berkaitan COVID-19:

https://kitareporters.com/coronavirus


Dari jumlah itu, seramai 26 orang adalah kontak rapat kepada kes positif sedia ada dan 8 adalah saringan individu bergejala.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Dr Nor Azimi Yunus yang kesal dengan pertambahan kes tersebut menyifatkan ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir individu yang melakukan kegiatan rentas negeri. 

Katanya, perkara itu berlaku kerana tiada kesedaran untuk membuat saringan seperti yang dinasihati walaupun mereka datang dari zon merah

Malah, katanya, ada yang tidak mengaku mereka datang dari zon merah atau mereka adalah kontak rapat kepada kes-kes positif.


Dr Nor Azimi Yunus



Dr Nor Azimi berkata, individu tersebut juga tidak datang membuat pemeriksaan walaupun mereka sudah bergejala selama beberapa hari 
Sudahlah melakukan rentas negeri tetapi masih melakukan aktiviti bersama-sama keluarga yang ramai seperti majlis keagamaan, majlis makan-makan, majlis hari jadi dan pelbagai majlis dalam skala besar tanpa ada rasa bersalah,” katanya menerusi hantaran Facebook pada 8 Januari 2020. 

Menurutnya, paling membimbangkan menerusi 34 kes tersebut  telah mencetuskan sembilan kluster baharu yang dipantau oleh JKNT. Semua kluster dicetuskan oleh indeks yang datang dari zon merah.


 

Kes COVID-19 mengikut daerah di Terengganu pada 10 Januari 2021


Kes COVID-19 mengikut daerah di Terengganu  pada 9 Januari 2021


Beliau berkata, agak malang ada beberapa keluarga sudah kembali ke negeri masing-masing baru membuat saringan dan didapati positif, meninggalkan puluhan kontak rapat di Terengganu untuk dikesan. 

“Tiada siapa halang anda untuk rentas negeri. Tapi jadilah individu yang rentas negeri dengan penuh tanggungjawab menjaga diri dan orang lain,” katanya lagi. 

Dr Nor Azimi berkata, jelas sekali sikap begini menunjukkan masyarakat ambil mudah pematuhan SOP serta nasihat dan larangan pihak KKM. Sedangkan mudaratnya sangat besar.

Sehingga ini, katanya, seramai 6,246 individu dari zon merah yang masuk Terengganu telah berjaya disaring. Hasil saringan berjaya mengesan seramai 65 kes positif COVID-19. 

Dari kontak rapat seramai 866 orang pula, berjaya mengesan seramai 45 orang lagi kes positif COVID-19.



Katanya, mengikut rekod JKNT jumlah kes positif COVID-19 hasil rentas negeri adalah seramai 110 orang. Yang disifatkan agak ramai. 

“Semua kes telah dimasukkan ke hospital manakala semua kontak rapat telah dikurantinkan,” katanya. 

Katanya, JKNT kena melipatgandakan usaha untuk pengesanan kes, saringan, rawatan dan isolasi. 

Semuanya perlu dilakukan dengan pantas supaya wabak lebih besar dapat dicegah bagi mengelak situasi COVID-19 di Terengganu kekal dalam kawalan.


 


Sementara itu, pada 10 Januari 2021, JKNT telah merekodkan pertambahan 12 kes sembuh dan 29 kes baru COVID-19 menjadikan terdapat 129 kes COVID-19 yang aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 484 kes.

Kesemua 129 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 di Hospital Hulu Terengganu (HHT),  Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), PKRC Marang dan PKRC Kuala Terengganu. - KitaReporters


0
0
1
1
3
You will be interested