PANDEMIK COVID-19 membuatkan banyak sektor ekonomi di seluruh negara mengalami pengucupan keuntungan, hasil dan operasi harian. Lebih teruk lagi, terdapat juga pemain ekonomi yang menyerah kalah dengan menutup operasi mereka akibat kesan negatif dari serangan wabak ini. : KitaReporters
Lagi laporan-laporan berkaitan koperasi:
https://kitareporters.com/search?search=koperasi
Namun begitu, situasi berbeza dialami oleh sebuah agensi kewangan yang berlandaskan koperasi di negara kita ini.
Agensi berkenaan bukan sahaja mampu bertahan dalam kekangan perkembangan ekonomi negara, malah lebih ajaib lagi mereka mencatatkan peningkatan kepada hasil perniagaan yang dijalankan.
Agensi yang dimaksudkan adalah Co-opbank Pertama (CBP) yang terbukti telah banyak membantu orang ramai dalam kesempitan akibat dibuang kerja, dikurangkan upah atau gaji dan sebagainya.
Menurut CBP, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai pelanggan mereka yang datang untuk beruru sniaga di premis tersebut bagi pelbagai tujuan berbeza.
Ini sekali gus telah meyakinkan mereka untuk berada di landasan tepat bagi menyalurkan RM350 juta pembiayaan Ar-Rahnu CBP menjelang 2021 berbanding RM194.5 juta setakat November 2020.
Ketika mengesahkan perkara ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai menerusi kesedaran orang ramai yang beralih dari pajak gadai konvensional kepada pajak gadai Islam (Ar-Rahnu), terutama ketika musim PKP ini (bermula Mac 2020).
Selain orang perseorangan yang terkesan dengan pandemik ini, CBP juga menjangkakan akan berlaku peningkatan para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan khidmat mereka dan berkunjung ke Ar-Rahnu pada tahun 2021.
Untuk itu, CBP telah mencatatkan peningkatan sehingga 200 peratus bagi segmen Ar-Rahnu sejak ia dilancarkan sekitar tahun 2018 yang lalu.
"Kami merancang menjadikan perkhidmatan Ar-Rahnu CBP sebagai produk utama dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan segmen ini menyumbang 2.5 peratus kepada aset pembiayaan CBP setakat November 2020.
"Kami optimis meningkatkan jumlah sumbangan ini antara empat ke lima peratus pada tahun depan," katanya.
Bagi mengembangkan lagi perusahaan mereka, CBP akan memperkenalkan Ar-Rahnu 2.0, konsep Ar-Rahnu yang berlandaskan konsep Tawarruq menjelang tahun 2021.
Dalam pada itu, untuk membantu lebih ramai individu dan PKS yang berada dalam kesempitan atau ingin mengembangkan bisnes mereka masing-masing, jumlah pembiayaan terkumpul bagi perkhidmatan Ar Rahnu akan dinaikkan kepada RM350,000 berbanding RM200,000, sebelum ini.
"Selain itu, CBP juga mempunyai perancangan membuka sekurang-kurangnya 20 lagi cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara.
"Kini, semua 28 cawangan CBP di seluruh negara menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu dan cawangan baharu di Setapak yang akan menjadi Centre Ar-Rahnu bagi CBP sebelum konsep ini dikembangkan lagi pada masa akan datang," katanya.
"Kelebihan lain, Ar-Rahnu CBP mempunyai perlindungan takaful. Oleh itu, pelanggan tidak perlu risau sekiranya berlaku kecurian emas atau hilang emas di CBP kerana dengan perlindungan ini, kami membayar balik kepada pelanggan nilai emas apabila berlaku kejadian tidak diingini," katanya.
Kita berharap agensi-agensi kewangan sebegini akan tumbuh bak cendawan selepas hujan hingga dapat membantu orang ramai atau PKS untuk melakukan pajak gadai secara Islam, bukan konvensional. - KitaReporters