Alam & Sains 20 Aug, 2021

Terengganu sasar capai syarat peralihan 1-2 minggu lagi! Boleh beralih ke Fasa 3 PPN Sept 2021!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Penduduk Terengganu memberi sambutan menggalakkan ketika program pemberian vaksin COVID-19 diadakan di seluruh negeri itu


TERENGGANU hanya memerlukan sebanyak lima peratus lagi jumlah penerima dos suntikan vaksin COVID-19 untuk melayakkan negeri itu mencapai syarat memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jika sasaran tersebut tercapai, Terengganu dijangka dapat beralih ke Fasa 3 PPN pada September 2021 ini selepas proses vaksinasi telah mencapai 60 peratus penerima bagi dos pertama dan 35 peratus penerima dos kedua.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menjangkakan  dapat mencapai syarat itu dalam seminggu dua ini, sekiranya bekalan vaksin yang tiba lancar diberikan sebagaimana yang dirancangkan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Fasa 3 PPN

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar


Katanya, dari sudut perkara lain seperti situasi di wad rawatan rapi (ICU) dan sebagainya, situasi di Terengganu dalam keadaan terkawal.

"Insya-Allah, kalau semuanya mengikut perancangan, pada bulan September 2021, kita mampu ke fasa seterusnya," katanya.

Pada Selasa 17 Ogos 2021, Terengganu merekodkan 28,479 pemberian vaksin di negeri terbabit dan merupakan dos tertinggi pernah disuntik.


PPV bergerak anjuran Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional turut membantu proses vaksin COVID-19 di Terengganu.


Selain itu, kata Menteri Besar, Terengganu juga turut termasuk dalam pembukaan 11 kategori aktiviti ekonomi yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).  

Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik keputusan MKN tersebut dan akan buka aktiviti-aktiviti ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN. 

"Kepada rakyat, saya nasihatkan kita sama-sama ikut SOP, jaga diri dan keluarga supaya kita tidak membentuk kluster baru dalam masyarakat, barulah kita boleh beralih ke fasa seterusnya," kata Dr Ahmad Samsuri.


Pengayuh beca turut menerima pemberian vaksin COVID-19. Kredit  Gambar:UPDI


Dalam perkembangan lain, Terengganu mencatatkan peningkatan hampir dua kali ganda dalam pemberian dos vaksin harian berbanding minggu lepas, menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV)

Berdasarkan sumber Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), jumlah pemberian dos vaksin pada 17 Ogos 2021 adalah sebanyak 28,479 suntikan terdiri daripada 19,825 dos pertama dan 8,654 dos kedua.

Ia merupakan kenaikan berbanding sejumlah 10,179 dos pada 9 Ogos 2021 lalu menerusi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, Terengganu yang kini mempunyai 25 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) merupakan negeri ketiga tertinggi dalam suntikan vaksin pertama di bawah Johor (33,092 dos) dan Sabah (30,602 dos). - KitaReporters


Warga Terengganu menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. - Kredit foto: Media sosial

 

0
1
1
0
0
You will be interested