Alam & Sains 28 Aug, 2024

Anda stres? Cuba terapi diri melalui ikan hiasan! Berkasih sayang dengan binatang! Raih ketenangan!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

IKAN hiasan jenis arowana gold (kelisa emas) yang dibela Adi sebagai terapi ketenangan diri di rumahnya.


KESIBUKAN tugas sebagai anggota keselamatan adakalanya mampu memberi tekanan buat Adi Khusaini Saripudin. Memegang lencana anggota seragam biru membuatkan lelaki berusia 37 tahun itu sentiasa berdepan pelbagai kes untuk dikendalikannya di balai. 

Malah ada ketika, beliau terpaksa meninggalkan anak isteri selama beberapa hari dek tuntutan tugas yang tidak mengenal masa.

Bagi mengatasi masalah tekanan atau stres yang dirasai, Adi mengambil langkah dengan membela ikan hiasan di pejabat.

"Sebenarnya hobi ini bermula apabila ada kawan memberitahu bahawa dengan membela ikan hiasan, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan tekanan di tempat kerja. Oleh itu, tanpa menunggu lama saya terus membeli ikan hiasan dan membelanya di pejabat. 

"Selepas beberapa ketika, apabila melihat kesan positif yang dirasai dalam diri, saya terus membeli ikan hiasan lain untuk dibela di rumah pula," ujar bapa kepada dua orang cahaya mata ini kepada KitaReporters.


ADI Khusaini Saripudin bersama isteri dan dua anaknya yang sentiasa memberi sokongan terhadap minat beliau.


Menurutnya lagi, daya tarikan setiap individu itu berlainan dan begitu juga dengan dirinya.

"Bagi saya, melihat pergerakan ikan secara perlahan di dalam akuarium dengan badan dan sisiknya yang cantik serta komponen ikan tersebut yang bergerak seiring antara satu sama lain memberi ketenangan dalam diri. Malah, bunyi air yang mengalir turut menambah rasa damai dalam jiwa.

"Selain itu, apabila membela ikan hiasan, ia juga secara tidak langsung menunjukkan sikap berkasih sayang terhadap binatang yang juga makhluk Tuhan dan perlu disantuni," jelas beliau lagi. 


ADI mengakui hobi ini membuatkannya seronok menyantuni makhluk Tuhan.


Membela ikan hiasan jenis arowana gold (kelisa emas), Adi berkongsi bahawa perbelanjaan untuk menyelenggara akuarium dan sebagainya tidaklah begitu mahal. 

"Cuma, untuk permulaan sahaja kerana kos membeli ikan arowana (ikan kelisa) agak tinggi mengikut jenis ikan tersebut.

"Saya membeli penapis air dan barangan media yang berkualiti. Semua itu saya beli di platform Shopee yang memang banyak pilihan. Kemudian air pula hanya akan ditukar sekitar tiga hingga enam bulan sekali kerana saya hanya membela seekor ikan.

"Untuk makanan pula, saya beli anak ikan hidup yang hanya memakan kos sekitar RM50 sebulan, manakala selepas enam bulan barulah saya keluarkan duit sebanyak RM150 untuk membeli barangan dan menukar air," katanya lagi.

Ditanya mengapa memilih ikan arowana berbanding ikan hiasan yang lain, Adi memberitahu ia disebabkan nilai ikan tersebut dan sisiknya yang cantik.

"Rata-rata semua tahu bahawa ikan ini mempunyai tindak balas terhadap pembelanya. Di samping itu, ada juga pandangan orang Cina yang mengatakan ikan arowana membawa tuah. 

"Namun, sebagai seorang Islam, saya tidaklah mempercayai perkara itu. Saya membelanya kerana minat dengan kecantikan dan keunikan corak sisik ikan tersebut. Paling penting, ia satu terapi yang mampu menyuntik ketenangan dalam diri," tegasnya. 



Ikan arowana atau nama saintifiknya Scleropages formosus juga dikenali sebagai ikan kelisa atau ikan naga. Ia merupakan sejenis ikan hiasan yang popular di dunia. 

Dalam satu artikel yang disiarkan laman web Mental Health Association yang berpangkalan di Delaware, Amerika Syarikat, ia mengatakan ikan boleh menjadi sangat terapeutik untuk dimiliki dan menenangkan untuk dilihat.

Terdapat banyak manfaat mempunyai ikan belaan di dalam rumah termasuklah mengurangkan tekanan, membantu diri menjadi lebih tenang dan meningkatkan emosi secara keseluruhan. - KitaReporters


IKAN emas antara jenis ikan hiasan yang boleh dibela dan ia merupakan satu terapi yang mampu menyuntik ketenangan dalam diri.

19
16
0
12
0
You will be interested