Alam & Sains 24 Sep, 2023

Hari Ahli Farmasi Sedunia 2023: Farmasi perkukuh penjagaan kesihatan! Peranan ahli farmasi komuniti!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Farmasi setempat adalah tempat terdekat dan paling mudah untuk kita dapatkan bekalan ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor, makanan tambahan dan peralatan mandian. Farmasi komuniti ini sudah lama menjadi sebahagian penting dalam mana-mana kejiranan. 

Namun begitu, potensinya sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan utama tidak digunakan sepenuhnya. 

Selaras dengan tema “Farmasi memperkukuh sistem kesihatan” bersempena Hari Ahli Farmasi Sedunia tahun ini (2023), Profesor Madya Dr. Wong Pei Se dari Fakulti Farmasi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), bercakap mengenai peranan ahli farmasi komuniti dalam sistem penjagaan kesihatan.

Tinjauan Kebangsaan Mengenai Penggunaan Ubat (NSUM) oleh pengguna Malaysia pada 2015 menekankan bahawa hanya lima peratus daripada responden akan berunding dengan ahli farmasi mengenai masalah kesihatan. 

Dalam kajian 2021, rakyat Malaysia dilaporkan pergi ke farmasi komuniti secara purata sebanyak 31 kali setahun. Ini adalah setanding dengan purata di negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Setelah bertahun-tahun lamanya, para pengguna sudah semakin sedar mengenai peranan ahli farmasi. Ini berkemungkinan didorong oleh pandemik COVID-19 apabila orang ramai mula bergantung kepada ahli farmasi untuk mendapatkan maklumat dan panduan tentang 'alat' untuk melawan virus tersebut seperti ubat hinggalah pensanitasi dan pelitup muka. 

Walau bagaimanapun, bukti anekdot menunjukkan rakyat Malaysia sering tidak perasan kewujudan permata sebenar di kedai-kedai farmasi ini, iaitu ahli farmasi peramah yang berada di belakang kaunter. Merekalah hentian pertama yang boleh dipercayai untuk nasihat perubatan dan kesihatan am.

"Ahli farmasi komuniti boleh membantu menguruskan penyakit ringan, memberi nasihat dan membantu untuk mendidik orang ramai tentang pelbagai aspek penyakit dan rawatan yang ada," kata Dr. Wong Pei Se. 

Ahli farmasi juga boleh membimbing pelanggan ke laluan perubatan yang betul sekiranya anda tidak pasti sama ada anda perlu berjumpa doktor, atau doktor mana yang anda perlu jumpa.



Potensi pencegahan 

Kajian menunjukkan bahawa adanya perkhidmatan ahli farmasi dalam komuniti membawa kepada hasil perubatan dan penjagaan pesakit yang lebih baik. 

Dr Wong menjelaskan, “Kami mahu mengantara sebelum orang mendapat serangan jantung atau serangan strok dan sebelum diabetes membawa kepada masalah buah pinggang. Ini adalah perkara-perkara yang boleh kita uruskan pad peringkat komuniti supaya orang ramai tidak perli pergi ke hospital.” 

Barangkali, ini menjadi salah satu peranan terbesar yang dimainkan oleh ahli farmasi iaitu menyokong kehidupan sihat dan penjagaan diri dalam komuniti. 

Ahli farmasi berada dalam kedudukan yang optimum untuk membantu orang ramai mencegah penyakit dan kekal sihat melalui nasihat kesihatan asas mengenai rejim senaman, pemakanan dan suplemen kesihatan.

Mereka membantu orang ramai menguruskan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan masalah jantung. Banyak farmasi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan pemantauan tekanan darah, paras gula dan kolesterol. 

Walaupun ada banyak peranti yang boleh digunakan di rumah, perkhidmatan ini menjadi alternatif bagi mereka yang tidak bersedia melabur membeli peranti atau tidak selesa untuk membuat ujian itu sendiri. 

Ia menjimatkan masa orang ramai untuk pergi ke hospital atau klinik. Ini juga bermakna pesakit tidak perlu menangguhkan pemantauan selama berbulan-bulan sebelum ke temu janji susulan mereka.



 Akses yang mudah datang bersama tanggungjawab yang besar

Akhirnya, kesemuanya bergantung kepada menjadikan penjagaan kesihatan itu mudah kepada orang ramai dan ia sebahagian besarnya datang daripada kemudahan untuk mendapatkan apa yang ditawarkan oleh farmasi. 

Terdapat kira-kira 3,000 buah farmasi di Malaysia. “Di kawasan bandar, anda akan berjumpa sebuah farmasi dalam jarak setiap 3 ke 10 kilometer,” jelas Dr. Wong.

Anda tidak perlu mendaftar atau membuat temu janji di farmasi. Perundingan adalah percuma dan anda hanya perlu bertanyakan beberapa soalan, atau jika anda tidak pasti tentang tahap keseriusan keadaan kesihatan anda. Ini adalah faktor-faktor yang memberikan perbezaan yang besar.

Sebagai contoh, Dr. Wong berkata ramai yang mempunyai masalah kulit seperti jerawat tidak akan pergi berjumpa doktor terlebih dahulu. Mereka lebih cenderung untuk mencuba produk di farmasi terlebih dahulu dan jika ini gagal, barulah mereka akan berjumpa doktor. 

Dalam keadaan begini, ahli farmasi boleh membimbing pelanggan memilih penjagaan kulit yang ada, selain menasihati pelanggan seandainya keadaan mereka memerlukan mereka berjumpa doktor.

"Ahli farmasi kini menjadi penyedia perkhidmatan penjagaan primer yang sangat mudah diakses," kata Dr Wong. Apabila klinik sesak dan terdapat beban tidak terjangka pada sistem, farmasi boleh membantu mengoptimumkan sistem penjagaan kesihatan.



Masa hadapan farmasi

Sama seperti industri lain, farmasi turut berkembang bagi memenuhi keperluan masyarakat. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, platform digital telah diketengahkan dek kerana pandemik dan farmasi tidak ketinggalan menerima lonjakan teknologi ini. 

"Semasa sekatan pergerakan dikuatkuasakan, farmasi mula melakukan penghantaran dan platform kesihatan digital menjadi kaedah komunikasi yang sangat biasa," jelas Dr Wong. 

Pelanggan lama akan menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan nasihat serta memesan produk lebih awal untuk memudahkan pengambilan atau penghantaran. Trend ini berterusan walaupun selepas pandemik dan terus menyumbang kepada keselesaan pengguna.

Dalam skala yang lebih besar, satu lagi trend yang membawa industri farmaseutikal lebih terkehadapan adalah perubatan peribadi dan farmakogenomik, terang Dr. Wong. 

Perubatan peribadi adalah pendekatan di mana rawatan pesakit lebih bersifat individu. 

Pendekatan ini berdasarkan fakta bahawa setiap orang itu mempunyai genetik, cara hidup dan keadaan kesihatan yang unik. Oleh itu, setiap pesakit sepatutnya diberikan ubat-ubatan yang berkesan dan bersesuaian dengan mereka sebagai seorang individu. 

Farmakogenomik pula adalah bidang yang melihat bagaimana genetik individu itu mempengaruhi keberkesanan ubat. 

“Ia mengkaji bagaimana genetik kita yang berbeza ini boleh mempengaruhi bagaimana dan bila kita perlu mengambil ubat-ubat tertentu, bagaimana ia diserap ke dalam badan kita, bagaimana ia berinteraksi dengan badan dan kesan sampingan yang mungkin kita alami,” kata Dr. Wong.  

Namun begitu, ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara menyeluruh kepada semua orang kerana kos ujiannya yang sangat tinggi. Jadi, ia hanya boleh didapati untuk ubat-ubatan tertentu sahaja, seperti untuk rawatan kanser yang memang diketahui sangat mahal dan mempunyai banyak kesan sampingan.



Menggerakkan komuniti ke hadapan

Setiap buah catur sudah berada di kedudukan masing-masing dan para pemainnya pun sudah bersedia, tetapi terdapat beberapa aspek tertentu sebuah farmasi yang seakan-akan mencipta penghadang di dalam pemikiran orang ramai. 

“Farmasi dilihat sebagai sebuah perniagaan. Terdapat persepsi bahawa ahli farmasi hanya mahu menjual produk. Orang ramai merasakan bahawa apabila lebih banyak mereka bercakap, maka anda akan lebih lagi mahu menjual sesuatu kepada mereka,” kata Dr Wong.

Privasi juga merupakan isu yang besar. Tidak seperti di klinik, farmasi tidak mempunyai bilik perundingan peribadi dan ini mungkin menghalang orang ramai daripada bertanya lebih banyak isu peribadi. 

Seperti yang diterangkan oleh Dr Wong, "Jika anda mempunyai soalan yang sangat peribadi dan anda mendapati ada sepuluh orang di hadapan anda, berkemungkinan besar anda tidak mahu bertanya apa-apa."

Biarpun terdapat kesangsian-kesangsian tersebut, tidak dinafikan ahli farmasi komuniti masih berada di kedudukan unik sebagai sebahagian daripada komuniti. 

Mereka mengetahui gaya hidup serta tabiat kejiranan dan ini boleh menjelaskan isu kesihatan setempat. Mereka berpeluang untuk membina perhubungan dan bersama-sama dengan pelanggan bukan sahaja ketika sakit, tetapi ketika sihat juga.

Mereka memainkan peranan besar dalam mengembalikan penjagaan kesihatan ke tangan orang ramai, dan menyediakan akses mudah kepada maklumat yang boleh dipercayai. 

Jadi, apabila anda tergoda untuk menaip di Google mencari 'petanda dan gejala' dan cuba mendiagnosis diri sendiri, apa kata pergi sahaja berjumpa ahli farmasi kejiranan anda yang ramah-tamah itu?  - KitaReporters/Kenyataan Media

14
10
0
12
0
You will be interested