Orang ramai beratur untuk mendaftar sebagai penerima vaksin di PPV bergerak di Dewan Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.
Salah seorang penduduk kampung sekitar Labis, Johor yang datang untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui perkhimatan PPV bergerak di Dewan Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.
PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) bergerak menjadi pilihan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan di beberapa perkampungan di sekitar Labis, Johor untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 berbanding tiga PPV yang terdapat di daerah Segamat.
Melalui tinjauan yang dilakukan, masalah kesihatan, tidak mandaftar aplikasi MySejahtera serta mendapat janji temu suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terletak jauh dari kediaman merupakan antara faktor yang menjadi punca ramai dalam kalangan penduduk di beberapa kampung sekitar Labis sama ada masih belum atau sudah terlepas tarikh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Penduduk dari beberapa kampung sekitar Labis seperti Kampung Tenang, Pekan Ayer Panas, Kampung Sawah Baru, Kampung Juaseh, Felda Tenang dan Kampung Orang Asli Ulu Juaseh yang ditemui semasa hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di PPV bergerak pada 21 Ogos 2021 mengakui mereka terpaksa membatalkan janji temu suntikan yang diterima di PPV Jalan Genuang dan PPV Taman Yayasan yang terletak agak jauh dari kediaman mereka berbanding PPV Labis yang lebih dekat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PPV
Salmah Jantan yang uzur menerima suntikan di PPV bergerak di Dewan Pekan Ayer Panas, Labis selepas dua kali menolak janji temu di PPV lain disebabkan masalah kesihatan dan pengangkutan.
Salmah Jantan,74, dari Kampung Tenang berkata selain masalah kesihatan dan pergerakan yang terbatas ekoran terpaksa menggunakan kerusi roda merupakan sebab utama dia terpaksa menolak janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum ini di PPV Taman Yayasan, Segamat yang disifatkannya terlalu jauh dari kediamannya.
“Sekiranya saya mendapat janji temu di PPV Labis mungkin juga boleh digagahkan untuk ke sana, tetapi janji temu yang diperolehi di PPV Taman Yayasan agak jauh dan memerlukan saya menyewa kereta sewa untuk ke sana yang sudah pasti memerlukan kos.
“Saya bersyukur hasrat saya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menjadi kenyataan hari ini dengan adanya perkhidmatan PPV bergerak di Dewan Pekan Ayer Panas di mana saya boleh menumpang kenderaan rakan sekampung untuk ke sini,” katanya yang ditemani anaknya.
Dalam masa sama dia yang mendapat suntikan pertama itu turut berharap mendapat perkhidmatan sama untuk suntikan kedua nanti kerana dia berdepan masalah pengangkutan untuk ke PPV lain bagi mendapatkan suntikan berikutan anaknya hanya memiliki motosikal sahaja sebagai kenderaan utama.
Orang ramai yang hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin menunggu giliran untuk mendaftar.
Lebih 150 penduduk yang kebanyakanya terdiri daripada warga emas, golongan kurang upaya (OKU) serta mereka yang terlepas janji temu yang telah diterima sebelum ini disebabkan tidak memuat naik aplikasi MySejahtera hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui perkhidmatan PPV bergerak di Dewan Orang Ramai Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.
Bagi Salimin Sarikan, 71, yang menghidapi sakit jantung dan angin ahmar melahirkan rasa syukur berpeluang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui perkhidmatan PPV bergerak yang disifatkannya lebih mudah dan tidak perlu menunggu terlalu lama sebelum diberi suntikan.
Menurutnya, tanpa perkhidmatan PPV bergerak itu, dia mungkin mengalami masalah untuk ke PPV lain berikutan keadaannya yang terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda kerana selalunya kenderaan perlu dipakir ditempatkan yang ditetapkan di PPV lain tidak seperti di PPV bergerak yang membenarkan kenderaan masuk ke dalam pekarangan dewan.
Dalam pada itu, dia turut berharap agar penduduk kampung yang terlepas temu janji atau belum mendapat temu janji mengambil kesempatan untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui perkhidmatan PPV bergerak sekira terdapat perkhidmatan sama pada masa akan datang kerana prosesnya begitu mudah dan cepat.
Salimin Sarikan.
Hamidah Abdullah
Hamidah Abdullah, 65, yang sudah mendaftar dalam aplikasi MySejahtera beberapa bulan lalu tetapi masih belum mendapat tarikh janji temu berkata dia mengetahui mengenai perkhidmatan PPV bergerak pada hari ini mengambil keputusan untuk mencuba nasib dan ternyata bernasib baik kerana dibenarkan untuk menjadi salah seorang penerima suntikan vaksin tersebut.
“Sebelum ini memang saya berasa risau dan ternanti-nanti tarikh serta tempat janji temu yang bakal diterima.
"Saya akui sekiranya mendapat janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin walau di mana PPV sekali pun yang terdapat di daerah ini saya mungkin terpaksa menolaknya disebabkan tiada kenderaan untuk ke sana.
“Namun syukur segalanya dipermudahkan dan dengan adanya perkhidmatan PPV bergerak ini, kebimbangan saya selama ini sekiranya diberikan janji temu di PPV yang terletak jauh dari kediaman saya berakhir.
"Saya juga berharap akan mendapat suntikan kedua nanti melalui perkhidmatan dan lokasi sama,” katanya. - KitaReporters
Proses pendaftaran dan saringan kedua dilakukan sebelum dibenarkan menjadi penerima vaksin Covid-19.