Alam & Sains 13 Nov, 2020

Bomba siap siaga! Musim tengkujuh mula melanda Pantai Timur!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Fenomena Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia yang bermula pada 11 November 2020 dan dijangka berakhir pada Mac 2021 mulai dirasai penduduk di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu apabila  hujan kerap melanda negeri tersebut. Sehubungan itu, penduduk di negeri-negeri tersebut disaran bersiap siaga menghadapi banjir yang mungkin berlaku. : KItaReporters


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu membuat pengujian operasi bot di Sungai Terengganu. - Kredit foto-foto: FB JBPM Terengganu


Lagi kisah-kisah berkaitan musim tengkujuh:

https://kitareporters.com/search?search=tengkujuh


Sudah menjadi kelaziman tiba sahaja bulan November setiap penghujung tahun keadaan cuaca tidak menentu berlaku di negeri-negeri berkenan yang memberi isyarat akan bermula berlakunya banjir berikutan hujan yang berpanjangan menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah mula resah dan gelisah

Musim tengkujuh yang dijangka berlarutan sehingga Mac 2021 bukan lagi baharu kerana ia berlaku pada setiap tahun sejak berzaman lagi berpunca daripada tiupan angin dari Siberia. 



Sepanjang musim berkenaan, hujan lebat, laut bergelora dan banjir berlaku di beberapa tempat terutama kawasan-kawasan Pantai Timur dari November hingga Disember.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dalam tempoh tersebut, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dan semasa fasa awal monsun itu iaitu dari November sehingga Disember ini, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.


Kenyataan Media Jabatan Metrologi Malaysia


"Mulai Januari 2021, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Fasa kedua Monsun Timur Laut pula akan bermula pada hujung Januari 2021 dan seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan Media tersebut.

Menurut MetMalaysia lagi, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari juga boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

"Sekiranya hujan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk. Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan," menurut kenyataan itu lagi.


Anggota JBPM Terengganu menyertai latihan menyelamat di sungai


MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan pihaknya melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengunjungi kawasan berair seperti laut, tasik dan sungai, kawasan rendah mudah ditenggelami air serta tanah tinggi berisiko berlaku runtuhan untuk mengelak tragedi yang tidak diingini.

Namun, setiap tahun masih lagi berlaku tragedi yang meragut nyawa walaupun peringatan telah disampaikan oleh kerajaan melalui pelbagai medium seperti radio, televisyen dan media sosial.

Masih ada segelintir yang degil turun ke laut untuk memancing, masuk ke hutan memanjat gunung dan mandi-manda di sungai kerana pada ketika itu ramai yang menghabiskan cuti tahun, selain membawa anak bercuti sempena cuti sekolah.


Bot penyelamat JBPM Terengganu akan digunakan dalam operasi pemindahan mangsa banjir


Bagaimanapun, berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini memaksa pihak berkuasa mengadakan Prosedur Operasi Standard SOP yang sesuai untuk menghadapi bencana banjir kerana ia tidak permah berlaku sebelum ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sudah membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan tersebut dengan kenderaan menyelamat termasuk bot yang akan dilengkapkan dengan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) semasa bencana banjir nanti.


Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid


Ia sebagai usaha pencegahan di samping melindungi anggota pasukan dan mangsa banjir daripada wabak koronavirus COVID-19. 

Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, ia antara SOP baharu yang akan diguna pakai sebagai perlindungan tambahan kepada semua pihak terlibat.

Menurutnya, walaupun SOP baharu sedikit menyukarkan kerja menyelamat, namun ia perlu dipatuhi bagi memastikan tiada penyebaran COVID-19 semasa bencana. 

Katanya, pakaian PPE yang lengkap termasuk sarung tangan akan diletakkan di semua kenderaan logistik JPBM termasuk bot penyelamat. Selain itu, untuk bot fiber biasa, kita hadkan hanya enam orang dalam bot iaitu empat mangsa dan dua anggota penyelamat.

"Bagi mangsa yang memakai gelang atau yang menjalani kuarantin di rumah, kita akan asingkan dan semua anggota penyelamat dan individu yang dikuarantin itu juga perlu memakai PPE yang kita sediakan,” katanya. 

Beliau berkata, pencegahan awal perlu kerana dalam keadaan bencana sukar untuk dipastikan keadaan setiap mangsa. Sebab itu penilaian awal dan kerjasama mangsa banjir amat diperlukan semasa kerja-kerja penyelamatan dilakukan. 


Bekalan makanan sudah dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara


Sementara itu, Md Hilman berkata, seramai 835 pegawai dan anggotanya serta 250 anggota bomba sukarela bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir dalam musim tengkujuh kali ini. 

Selain itu, katanya, JBPM Wilayah Timur turut membantu dalam operasi banjir dengan kekuatan seramai 25 pegawai dan anggota.

Beliau berkata pihaknya juga akan dibantu agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis, majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan dalam kerja penyelamatan agar berjalan lancar dan tiada kemalangan jiwa berlaku sewaktu banjir.

Ketika ini, Kerajaan Negeri sudah menyediakan sebanyak 568 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dapat menampung 135,045 mangsa banjir di Terengganu dan ia diuruskan mengikut (SOP) baharu ekoran pandemik koronavirus 2019 COVID-19. - KitaReporters 


Sesi taklimat kepada pegawai petugas banjir turut diadakan di seluruh daerah di Terengganu.


 

 

 

1
1
0
0
0
You will be interested