Alam & Sains 17 Aug, 2023

Jelajah Merdeka Tiga Daerah! Sempena Bulan Kemerdekaan! Inisiatif SWM Environment dan SWCorp Melaka!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 pada 31 Ogos ini, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri Melaka bersama-sama menjayakan program Jelajah Merdeka Tiga Daerah iaitu di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah pada 15 Ogos lalu. 

Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, kira-kira 20 kakitangan dengan tujuh jentera SWM Environment Melaka iaitu satu jentera Kompaktor, Ultra-Whack, Water Jet serta empat Pacuan 4 Roda terlibat pada program berkenaan. 

“Setiap tahun SWM Environment tidak terlepas untuk menyertai program-program seumpama ini bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan sempena ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-66 ini yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’. 

"Kami juga amat berbangga kerana program konvoi ini bermula di Pusat Pandu Lalu KitaRecycle Taman Botanikal Melaka, Ayer Keroh yang telah beroperasi pada Mei yang lalu," tambah beliau.



Pelepasan konvoi disempurnakan oleh Pengarah SWCorp negeri, Khairuladha Ab Mutalib bersama Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka, Khaw Su Aun kira-kira jam 8.30 pagi sebelum konvoi singgah di Pusat Tahfiz dan Pengajian Pondok Darul Ulum Al Islamiyyah, Bukit Katil bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dari SWCorp. 

Konvoi seterusnya ke pekan Selandar, Jasin bagi aktiviti ‘plogging’ dan edaran Jalur Gemilang kepada orang ramai sebelum bergerak menuju ke Pantai Bukit Supai, Kuala Linggi, Alor Gajah bagi aktiviti ‘plogging’ di sekitar kawasan peranginan berkenaan. 

Di samping memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini (2023), program ini juga secara tidak langsung menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan aktiviti pembersihan di setiap lokasi persinggahan program dengan sisa-sisa daripada aktiviti plogging terkumpul ditimbang dan sisa yang boleh dikitar semula diasingkan di bawah program KitaRecycle. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
11
0
22
0
You will be interested