Alam & Sains 05 Nov, 2022

Terbaik SK Pulau Indah! Manfaat longkang jadi kolam ikan! Untuk pembelajaran habitat, persekitaran!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


KEBIASAAN bagi semua orang akan terlintas pada benak fikiran, longkang akan dikaitkan dengan aliran air kotor bersama-sama sampah sarap lalu menyebabkan suasana menjadi busuk serta tidak selesa untuk berada berdekatan.

Namun begitu, Sekolah Kebangsaan Pulau Indah (SKPI), Jalan Dato’ Haron, Pelabuhan Klang, Selangor menjadikan longkang bersebelahan pejabat pentadbiran sebagai projek Kolam Aliran Lestari Gemilang iaitu berkonsepkan pendidikan kepada murid untuk pembelajaran berkaitan habitat dan persekitaran.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan SK Pulai Indah, Pelabuhan Klang



Projek yang dicetuskan oleh Guru Besar SKPI, Hazi Kadir dimulakan pada awal Januari tahun 2022 itu dan secara tidak langsung membantu dalam memperkasakan pembelajaran berkaitan bidang sains, teknologi, enginering dan matematik (STEM) apabila murid akan mempelajari ilmu matematik dalam pembabitan kos makanan dan jualan.

Hazi berkata, bagi mencapai hasrat itu longkang yang bersaiz 20 kaki panjang, lebar dan dalamnya dua kaki diubah suai menjadi kolam ikan dengan dilengkapi binaan dekor air terjun yang menarik bagi mewujudkan suasana seperti sebuah taman. 


Ikan tilapia merah membiak dengan mudah dalam longkang yang diubah suai menjadi kolam.


Menurutnya, guru serta ibu bapa amat menyokong projek itu dan menjadi sebutan dalam kalangan mereka apabila longkang yang berfungsi sebagai kolam berjaya menternak beberapa jenis ikan seperti tilapia merah, tilapia hitam, kaloi merah, kaloi Sabah dan ikan koi.

Jelasnya, longkang berkenaan tetap berfungsi seperti biasa apabila hujan turun ia akan mengalir bagi mengeluarkan air lebihan dan untuk mengelak ikan yang diternak keluar, jaring penyekat kekal dibina dan jika perlu dikeringkan air kerana injap perlepasan boleh dibuka secara manual.

Tambah beliau, konsep longkang itu amat menarik serta mampu mengubah persepsi masyarakat kepada longkang amnya, apabila boleh diubah suai untuk memnjadi kolam ikan yang secara tidak langsung memberi banyak manfaat terutama kepada murid dalam pembelajaran.


Hazi Kadir menerangkan kepada murid mengenai manfaat yang diperoleh daripada projek Kolam Aliran Lestari Gemilang yang dilaksanakan sejak awal Januari 2022.


“Idea saya juga tercetus selepas membaca kisah seorang remaja di Thailand yang menjadi jutawan dalam perusahaan ternakan ikan hiasan air tawar dan projek ini saya berharap dapat membantu mempersiapkan murid SKPI bagi kehidupan mendatang.

“Bukan suatu mustahil ternakan ikan air tawar akan menjadi pilihan kerjaya yang menguntungkan sepertimana berjaya dicapaikan sesetengah orang dan projek ini sudah pasti mencetuskan idea yang baik kepada murid,” katanya.

Hazi berkata, bagi persepsi dalam kalangan warga sekolah projek kolam berkenaan sesuatu yang luar biasa dan menjadi kebanggaan apabila berfungsi sebagai pusat pembelajaran berkaitan topik pelajaran yang dipelajari murid selain menjadi tumpuan pelawat termasuk dari luar negara. 


Warga pendidik SKPI berdiri di tepi longkang yang menjadi kolam ternakan pelbagai jenis ikan sehingga menarik perhatian pelawat dari luar.


Ramai pelawat yang datang tertarik dengan konsep itu kerana objektif ternakan bertujuan pendidikan dengan memanfaatkan ruang terhad untuk mencari sumber pendapatan amat berkesan

Bagi projek kolam SKPI berkenaan warga sekolah dan masyarakat sekitar menjadi pelanggan utama untuk membeli ikan yang diternak itu.

Menurutnya, bagi proses penjagaan ia membabitkan dalam kalangan murid iaitu kumpulan Student Voice Grup (SVG) dan warga sekolah serta kakitangan sokongan yang dipilih khusus untuk membantu dalam memberi makanan, membersih atau mencuci penapis air selain menghulurkan bantuan jika berlaku masalah.


Dekor kolam dilengkapi air terjun menambah daya tarikan yang menjadi habitat untuk pelbagai jenis ikan.


Jelasnya, pada setiap kali cuti penggal persekolahan yang panjang selain menjadi budaya SKPI mereka akan menangkap sebahagian ikan diternak itu untuk dimasak secara bergotong-royong dan diadakan jamuan bagi menghargai jasa semua yang terbabit.  

“Amat membanggakan kami semua warga SKPI apabila kawasan longkang yang bertukar rupa menjadi sebuah kolam  kini menjadi pusat maklumat pembelajaran sains berkait dengan habitat.

“Bagi mereka yang melalui kawasan kolam ini akan berasa seperti berada dalam dunia yangg tersendiri apabila mendengar deruan air terjun serta kicauan 20 burung nuri yang berada dalam sangkar tepi kolam,” katanya. - KitaReporters


Dekor kolam yang menarik menjadi habitat ikan untuk mudah membiak.

26
15
0
9
0
You will be interested