Alam & Sains 04 Nov, 2022

Dah kenapa pulak? Perpustakaan Negara Malaysia mahu tamatkan perkhidmatan buku digital pada 2023?

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this


Berita yang agak mengecewakan apabila 330 ribu pengguna digital tempatan bakal kehilangan akses kemudahan meminjam buku digital dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) apabila perkhidmatan tersebut akan ditamatkan mulai tahun hadapan (2023)

Xentral Methods Sdn Bhd dalam kenyataan medianya menegaskan, vendor, ratusan penerbit dan penulis tempatan yang membekalkan kepada perpustakaan elektronik PNM yang lebih dikenali sebagai ELib mula menyuarakan kebimbangan.

Penggunaan servis ELib ini sangat tinggi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan walaupun negara sudah memasuki fasa endemik, permintaan bagi perkhidmatan tersebut kekal tinggi dan lebih relevan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan berita perpustakaan 


Penggunaan tertinggi yang pernah dicatatkan bagi servis ini adalah pada 19 Mac 2020, hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 (PKP), di mana sebanyak 24 ribu pengguna baharu berdaftar dalam masa satu hari.

Malah, penggunaan ELib telah meningkat lebih daripada dua kali ganda sebelum pandemik. 

Dalam erti kata lain, budaya membaca dan penggunaan servis perpustakaan digital telah menjadi kebiasaan dalam hidup harian.

 Terdahulu, PNM sudah pun menghentikan perolehan sejak dua tahun lalu dan hanya mengekalkan koleksi e-buku luar negara sahaja.

Bagi penerbit ilmiah pula, perolehan perpustakaan merupakan pendapatan utama mereka kerana judul-judul ilmiah tidak mudah untuk dijual di pasaran terbuka.



Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd, Faiz Al-Shahab berkata, tindakan PNM ini agak mengecewakan kerana pinjaman buku elektronik atau ELib adalah antara perkhidmatan mereka yang berjaya.

“Saya berasa amat bingung dan tidak faham mengapa Perpustakaan Negara tidak berusaha untuk memperjuangkan peruntukan bajet bagi salah satu perkhidmatan mereka yang berjaya? 

"Saya boleh faham jika mereka mengabaikan perkhidmatan yang tidak berprestasi, tetapi untuk menamatkan satu fasiliti yang sangat efisien untuk orang awam mendapatkan bahan bacaan ia sangat dikesali,"  katanya.



Maklum balas yang diterima daripada Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia pada pertengahan tahun ini menunjukkan terdapat kekangan dalam membuat perolehan secara am walaupun untuk perolehan bersaiz kecil

Ini menunjukkan terdapat krisis kewangan yang lebih besar dalam institusi mereka. 

Fasiliti pinjaman e-buku mula diperkenalkan oleh pihak PNM pada awal tahun 2012 sebagai salah satu usaha negara untuk menggalakkan budaya pembacaan digital apabila mendapati bahawa terdapat penurunan dalam jumlah pengunjung ke perpustakaan. 

Walaupun pada mulanya sambutan terhadap perkhidmatan pinjaman e-buku ini tidak begitu memberangsangkan, ia mula mendapat sambutan yang hangat menjelang tahun 2015 apabila perkhidmatan tersebut menjadi tular dan mula menerima lebih daripada 100 ribu pengguna berdaftar.

Sejak itu, kemudahan pinjaman e-buku banyak menyajikan banyak judul terbitan tempatan termasuk koleksi novel-novel drama adaptasi terkenal dan telah mula mencapai kadar pinjaman yang tinggi berbanding pinjaman buku bercetak dari perpustakaan fizikal.

Pihak industri ini berhasrat untuk bersemuka secara terus dengan pihak Kementerian yang terlibat, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, agar kemelut kesusasteraan ini dapat dibincangkan dan penyelesaian untuk mengatasi krisis ini dapat ditentukan, sebelum budaya membaca di Malaysia terus tenggelam. - KitaReporters


10
13
0
12
0
You will be interested