Alam & Sains 14 Oct, 2022

Video| Terima kasih PM! Pengurangan tol di enam lebuh raya! AKLEH, GCE, LKSA, SILK, LEKAS, Besraya!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengurangan kadar tol bagi empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota  Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) serta dua syarikat konsesi di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad melalui usaha penstrukturan semula.

"Sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat  yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup,  Kerajaan juga telah bersetuju dengan cadangan untuk  penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh  raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.  

"Lebuh raya terbabit ialah Lebuh Raya Bertingkat Ampang– KL (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning–Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK)

"Ia akan berkuat kuasa  pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober 2022.  

"Manakala, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS  dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023," kata beliau pada Majlis Pembukaan Rasmi Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam  (DASH) di Plaza Tol Denai Alam, Shah Alam, Selangor pada Khamis, 13 Oktober 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan prasarana lebuh raya


Sempena pelancaran, Perdana Menteri turut mengumumkan penggunaan lebuh raya DASH ini secara percuma atau  tanpa dikenakan bayaran tol bagi tempoh selama sebulan  bermula pada jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober 2022

Selain itu, katanya, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta  menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah

"Pada masa yang sama, kerja-kerja tebatan banjir di  lebuh raya LPT1 juga akan dilaksanakan susulan daripada  kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuh Raya Pantai  Timur Fasa 1 (LPT1).  

"Kesemua kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan, mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.  

"Melalui penstrukturan terbaharu ini, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam  bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat  konsesi yang terlibat.  

"Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol  yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos  sara hidup," kata Ismail sabri lagi. - KitaReporters  



Teks ucapan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,  Perdana Menteri, sempena Majlis Pembukaan Rasmi Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam  (DASH) pada Khamis, 13 Oktober 2022 di Plaza Tol Denai Alam :


1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH  SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat  bersama-sama pada Majlis Pembukaan Rasmi Lebuhraya  Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) hari ini.  

2. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan  kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga  Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lintasan Kota  Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) kerana mengundang saya  untuk merasmikan Majlis Pembukaan Rasmi Lebuhraya  Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol  Denai Alam, Shah Alam.  

3. Saya berasa amat berbangga apabila melihat banyak projek  berimpak tinggi seperti Lebuhraya DASH menjadi satu realiti  kerana ia bakal memberi kemudahan dan juga manfaat  kepada Keluarga Malaysia. 

4. Projek Lebuhraya DASH ini merupakan salah satu daripada  53 buah projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi  Ekonomi (ETP) yang bertujuan mewujudkan peluang  pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang  serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih  berdaya maju.  

5. Menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, sejumlah 12,000  peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan,  kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan  pekerja kontrak.  

6. Lebuh raya ini yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap  30 September lepas, mampu mengurangkan kesesakan lalu  lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang  Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan  Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.  

7. Tempoh perjalanan juga dijangka dapat dijimatkan kepada  30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak  Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan  laluan sedia ada yang mengambil masa selama satu jam 30  minit. 

8. Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada  pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk melakukan  perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan  kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik  secara lebih berkesan.  



Keluarga Malaysia yang saya kasihi,  

9. Untuk makluman, pembinaan Lebuhraya DASH juga  menerapkan elemen-elemen kelestarian selari dengan  Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.  

10. Lebuhraya DASH juga memenuhi kriteria yang ditetapkan di  bawah Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang  merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan  infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan  penarafan tahap ‘Gold’. Tahniah saya ucapkan!  

11. Penghadang bunyi kepungan penuh turut dipasang  sepanjang 260 meter bagi mengelakkan gangguan bunyi  daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling.  

12. Pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan  besar dalam usaha membangunkan negara terutamanya  daripada aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya kawasan-kawasan pembangunan baharu pada sepanjang  jajaran lebuh raya.  

13. Lebuhraya DASH dijangka mampu merangsang  pembangunan dan pertumbuhan kawasan-kawasan  ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di  sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan  Kwasa Damansara.  

14. Justeru, Kerajaan menyokong penuh usaha dan komitmen  berterusan syarikat konsesi dalam merancakkan  pembangunan infrastruktur negara, sekali gus membuktikan  keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta (Public  Private Partnership atau - PPP) antara pihak PROLINTAS  dan Kerajaan.  



Keluarga Malaysia yang saya kasihi,  

15. Sempena pelancaran lebuh raya ini, saya ingin mengumumkan penggunaannya secara percuma atau  tanpa dikenakan bayaran tol bagi tempoh selama sebulan  bermula pada jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober 2022. 

16. Sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat  yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup,  Kerajaan juga telah bersetuju dengan cadangan untuk  penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh  raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan  mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.  

17. Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang –  KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya  Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran  Penyuraian Trafik Kajang (SILK). Ia akan berkuatkuasa  pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober 2022.  

18. Manakala, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS  dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad  akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.  

19. Selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta  menangani masalah kesesakan lalulintas di Lebuhraya  Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol  Plaza Bentong, Kerajaan akan membina lorong tambahan  dan satu terowong baharu di Genting Sempah. 

20. Pada masa yang sama, kerja-kerja tebatan banjir di  lebuhraya LPT1 juga akan dilaksanakan susulan daripada  kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuhraya Pantai  Timur Fasa 1 (LPT1).  

21. Kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah saya  maklumkan sebentar tadi, mengambilkira penstrukturan  semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan  sedang dimuktamadkan.  

22. Melalui penstrukturan terbaharu ini, Kerajaan telah  menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam  bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat  konsesi yang terlibat.  

23. Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol  yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos  sara hidup.  

24. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi  mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perdana Menteri,  Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia,  PROLINTAS dan semua pihak yang terlibat menjayakan  pelaksanaan Projek Lebuh Raya DASH. 

25. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menasihati  pengguna lebuh raya supaya lebih berhati-hati ketika  memandu bagi mengelakkan kemalangan dan sentiasa  memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan  baik.  


10
8
0
14
0
You will be interested